Oleh Aninah Janang
22 Mei 2022, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setiap negara yang berdaulat mempunyai bahasa utama dengan pengertian bahasa yang paling ulung dalam sejumlah bahasa di negara berkenaan, sebagai alat hubungan antara rakyat, serta antara pemerintah dengan rakyat, dan tidak kurang pentingnya dalam membina dan mempertingkatkan anak negeri dalam keupayaan intelektual dan kemahiran dalam setiap bidang kehidupan.

“Pengertian ‘bahasa utama’ ini diwujudkan dalam nama lain seperti ‘bahasa kebangsaan’ dan ‘bahasa rasmi’. Di Asia, ‘bahasa kebangsaan’ atau national language digunakan antara lain oleh Malaysia, Brunei, Filipina, Thailand dan Cambodia. Indonesia pula memilih bentuk serapan, iaitu “bahasa nasional”. Istilah “bahasa rasmi” digunakan antara lain oleh India, Republik Rakyat China, dan Papua New Guinea. Di Singapura pada mulanya digunakan istilah national language, dengan bahasa Melayu sebagai pemegang peranannya. Kemudian, istilah ini digantikan dengan first language dan penghormatan diberi kepada bahasa Inggeris. Walau apa pun nama yang diberi, setiap negara tentu sahaja memilih bahasa yang baginya adalah bahasa yang martabatnya melebihi bahasa lain di bawah langitnya,” ujar Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, dalam  Ucap Utama 1: Martabat Bahasa Kebangsaan, bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang kini berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, kata “martabat”, asalnya bahasa Arab, bermakna “pangkat tinggi di atas segala yang lain”. Ciri-ciri penting dari segi penggunaan bahasa, penciptaan sastera dan budaya telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Unsur-unsur itu yang dalam pemerhatiannya boleh diletakkan dalam dua paksi, iaitu paksi dalaman dan paksi luaran. Sementara itu, paksi dalaman ialah keupayaan yang ada pada bahasa itu sendiri, pada aspek filogenetiknya, yakni sistem dan struktur yang mewujudkan daya kognitif penutur dengan konsep-konsep yang sedia ada dan yang baru tumbuh, sesuai dengan kemajuan hidup komuniti penuturnya. 

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar turut menyentuh bahawa pengalaman Malaysia, Indonesia dan Brunei dalam MABBIM (Majlis Bahasa Brunei- Indonesia-Malaysia) menyediakan panduan mencipta istilah baharu dalam bidang akademik dan profesional ialah contoh keupayaan yang ada pada bahasa Melayu. Keupayaan sebegini bukan baru bermula dalam tahun 1972 dengan terbentuknya MBIM (Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia), tetapi sudah wujud ratusan tahun sebelumnya, mungkin juga ribuan tahun.

Batu Bersurat abad ke-7 di Sumatera Selatan dan Pulau Bangka memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu dalam pemerintahan empayar Melayu Srivijaya. Bahasa tersebut menggambarkan ciri-ciri bahasa Melayu tinggi (high language – LH), sebagai lawan bahasa Melayu rendah (low language – LL) yang antara lain ialah bahasa Melayu lingua franca sebagai bahasa pengantar antara penutur berlainan bahasa di pelabuhan-pelabuhan Gugusan Pulau-pulau Melayu.

Beliau turut menjelaskan bahawa kepentingan “lama-waktu” (time-depth) pertumbuhan bahasa, iaitu  bahasa Melayu tinggi tidak muncul secara tiba-tiba dengan adanya Srivijaya. Pertumbuhannya berlaku jauh lebih lama dari itu. Istilah-istilah Sanskrit dalam batu-batu bersurat itu terdiri daripada nama pangkat, takwim dan unsur-unsur agama dan budaya Hindu-Buddha. Selainnya, teks-teks itu sudah menggambarkan bahasa Melayu yang sesuai dengan peradabannya. Dari bukti-bukti ini, kesimpulannya ialah bahasa Melayu pada zaman itu sudah mencatat lama-waktu, iaitu lama-waktu atau sejarah, yang cukup panjang. Lama-waktu penting bagi pertumbuhan bahasa dari segi filogenetik dan juga peraturan-peraturan sosiolinguistiknya yang menunjukkan adanya adab tertib yang sangat penting dalam peradaban Melayu, dan ini diperkuatkan lagi dengan budaya hidup yang dibawa oleh agama Islam.

“Lama-waktu memungkinkan penghasilan sastera rakyat, bahkan sebelum orang Melayu mempunyai sistem tulisan. Khazanah Melayu cukup kaya dengan sastera rakyat seperti pantun dan cerita binatang, jenaka, dan tauladan, dengan kaedah bercerita yang cukup canggih yang tidak mungkin ada jika tidak ada bahasa tinggi.

Pertumbuhan pesat dengan adanya tulisan Jawi. Apabila datangnya tulisan Arab bersama-sama dengan agama Islam, tidak ada sekatan bagi orang Melayu mencapai setakuk lagi tingkat dalam budaya tinggi, iaitu celik huruf. Dengan keupayaan mereka sendiri, tulisan Arab disesuaikan dengan sistem bunyi bahasa Melayu, menghasilkan tulisan yang kita kenal sekarang sebagai tulisan Jawi. Mereka menerapkan alat ini sepenuh-penuhnya dengan merakam semua hasil sastera yang selama itu terdapat dalam bentuk lisan sahaja, termasuklah hasil sastera yang dibawa dari luar. Maka muncullah juga ciptaan teks dalam genre-genre baharu seperti kitab agama Islam, tafsir Quran juz demi juz, serta teks undang-undang dan hukum kanun yang digunakan dalam pemerintahan negeri-negeri Melayu.”

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar turut mengajak semua pihak untuk memahami sejarah bahasa pemerintahan Kesultanan Melayu, iaitu sebelum lahirnya Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, sembilan kesultanan Melayu, sudah pun menggunakan bahasa Melayu, dialek masing-masing, sebagai bahasa rasmi. Perbezaan dialek terletak pada sebutan dan sejumlah kecil perkataan (antara 15 peratus dan 16 peratus). Perbezaan seperti itu tidak merosakkan jalan perbualan antara mereka, disebabkan adanya komponen teras, merangkumi aspek- aspek filogenetik dan sosiolinguistik, yang mengikat dialek-dialek itu dalam kesatuan yang kukuh di bawah nama “bahasa Melayu”.

Selain itu, tiap-tiap negeri Melayu mempunyai karya agung seperti hikayat dan syair yang dihasilkan oleh rakyatnya. Selama ini orang Melayu diperkenalkan dengan warisan sastera lama yang terdiri daripada Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, seolah-olah itulah sahaja karya agung peradaban Melayu, sehingga orang luar menganggap bakat Melayu terhenti di situ sahaja. Dari segi sejarah, ada empat karya agung, iaitu Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Terong Pipit, Selindung Bulan Kedah Tua dan Syair Sultan Maulana. Negeri-negeri Melayu yang lain juga mempunyai khazanah yang setaraf.

Tidak dilupakan, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar juga menyentuh tentang budaya tinggi dalam seni surat-menyurat. Katanya, hubungan antara raja-raja Melayu banyak melalui surat-menyurat yang menggunakan bahasa Melayu; demikian juga antara mereka dengan raja-raja lain serta dengan kuasa penjajah di Alam Melayu. Seni surat-menyurat Melayu sudah mencapai taraf budaya tinggi dalam abad ke-19, bukti panjangnya lama-waktu seni tersebut. Koleksi Surat-Surat Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang memerintah Kedah dari tahun 1881 hingga tahun 1943, diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia. Bukan sahaja isi kandungan surat-surat itu memberikan maklumat sejarah kehidupan masyarakat Kedah, tetapi bahasa yang digunakan oleh Sultan ialah bahasa tinggi dengan gaya yang berbeza-beza sesuai dengan kedudukan orang yang ditujukan suratnya.

Paling penting menurut Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, penghasilan buku bahasa dan kamus yang meliputi fonologi dan nahu, yang sudah banyak dihasilkan oleh pegawai-pegawai Inggeris sejak abad ke-19 lagi. Tidak kurang juga usaha daripada pihak penutur Melayu sendiri, bukan sahaja di Tanah Melayu bahkan juga di kawasan-kawasan Melayu yang sekarang ini menjadi bahagian Republik Indonesia. Semuanya cukup baik, memberikan tumpuan pada pembentukan ayat, sesuai dengan zaman penulisannya bahkan hingga sekarang ini.

“Daripada kajian saya, huraian nahu Melayu yang paling terkemuka dalam zamannya ialah hasil karya Za’ba. Dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu tahun 1934, yang diikuti oleh Pelita Bahasa Melayu pada tahun 1941, dalam tiga jilid, nahu Za’ba sudah dapat mengenal pasti perkaitan fonologi dengan aspek-aspek nahu. Nahunya bukanlah seperti yang diajarkan di sekolah-skolah di Malaysia yang berasaskan ‘Ayat sama dengan FN-FK’. Nahunya berasaskan wacana dan konteks. Za’ba sendiri menjelaskan bahawa beliau mendapat idea nahunya itu setelah mengkaji nahu yang digunakan dalam pengajaran bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Za’ba tidak menggunakan istilah ‘wacana’ dan ‘konteks’, tetapi penjelasannya seharusnya dapat ditafsirkan oleh mana-mana ahli linguistik. Teori linguistik aliran London yang berasaskan konteks dalam situasi baharu diterbitkan sepenuhnya dalam tahun 1966 oleh Profesor J. R. Firth tidak lama sebelum beliau meninggal dunia,” ujar Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar.

Tambahnya lagi, dalam bukunya Rahsia Ejaan Jawi 1931, Za’ba sudah dapat memberikan huraian bunyi-bunyi bahasa Melayu berserta dengan ciri artikulasi dan akustik bunyi-bunyi itu, dengan menggunakan istilah ciptaannya sendiri. Hal ini juga menunjukkan  bahawa kehandalan linguistiknya yang mendahului zamannya.

Perkamusan Melayu sudah bermula dari abad ke-19 sebagai kamus dwibahasa dengan entri bahasa Melayu dan padanan bahasa Inggeris, Belanda atau Perancis. Bidang ini terus hidup subur hingga sekarang, terutama dengan adanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menghasilkan kamus ekabahasa dan dwibahasa, serta juga kamus simpulan bahasa dan pepatah petitih. Dalam tiga dekad kebelakangan ini, DBP juga menghasilkan kamus istilah dalam berbagai-bidang bidang ilmu pengetahuan.

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, turut menyentuh tentang kepentingan paksi luaran yang terdiri daripada konteks budaya dan keluasan geografi yang mewujudkan komuniti bahasa. Hal ini bermakna martabatnya boleh dilihat dalam konteks tersebut. Hal yang demikian juga dengan martabat nama, iaitu dalam “Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu” pada 31 Ogos 1957, wasiat yang bertepatan dengan tema ucapannya ialah Wasiat Pertama dan Wasiat Kelima. Wasiat Pertama berbunyi: “Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, Persekutuan Tanah Melayu”. Bunyi Wasiat Kelima ialah: “Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”.

Penggunaan nama “bahasa Malaysia” yang tidak selaras dengan kehendak raja-raja Melayu, hanya untuk tujuan mengembalikan suasana aman damai selepas konflik perkauman Peristiwa 13 Mei 1969. Nama “bahasa Melayu” dalam Perlembagaan tidak diusik. Kehendak raja-raja Melayu secara tidak langsung menyatakan lama-waktu ada pada perkataan “Melayu” yang mengikat asal usul bahasa itu dengan nama etnik penuturnya.

“Nama bahasa penting kerana di dalam nama itulah terletak sejarahnya, iaitu suku etnik tempat tumbuhnya bahasa tersebut, dan dengan itu lama-waktunya. Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan New Zealand berasal daripada ibu kandung yang sama yang menggunakan bahasa Inggeris, dan mempertahankan nama bahasa berkenaan. Singapura juga demikian untuk perkataan pertamanya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa nama bahasa ialah eksponen martabat bahasa tersebut. Jika bahasa Melayu digantikan dengan nama lain, maka akan tenggelamlah nama asal dan sejarahnya seperti hilangnya nama ‘Tasik Melayu’, yakni ‘Laut Melayu’ yang digantikan dengan nama ‘Selat Melaka’. Nama Selat Melaka menggambarkan seolah-olah tidak ada sejarah perairan yang penting di alam Melayu sebelum abad ke-15, sebelum Parasmeswara bersandar kepenatan di bawah pohon melaka setelah Singapura diserang oleh Majapahit. Hasilnya, di Kepuluan Melayu, tidak ada laut Melayu,” jelas Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar.

Penyebaran luas dan komuniti baharu juga amat penting dalam penyebaran bahasa Melayu yang luas, dengan syarat ada kawasan komuniti penutur yang jelas dalam kawasan-kawasan penyebaran itu, sama ada sebagai komuniti bahasa pertama atau bahasa kedua. Bahasa Melayu mempunyai komuniti yang jelas di daratan Asia Tenggara, iaitu Thailand, Cambodia dan Vietnam dengan variasi masing-masing. Hal ini berlaku sejak zaman silam lagi sebagai kesinambungan kawasan bahasa Melayu yang ada di Tanah Melayu. Juga terdapat komuniti baharu bahasa Melayu di tanah besar Australia di pantai timur dan barat, dan juga di Pulau Christmas dan Kepulauan Cocos (Keeling) di Lautan Hindi. Sama halnya di Mekah dengan komuniti Melayu yang sudah wujud sejak abad ke-19 lagi.

“Adanya institusi-institusi yang mengajar bahasa tertentu di berbagai-bagai negara asing dalam mata kasar menaikkan taraf sosial bahasa berkenaan. Faktor ini boleh diterima jika insititusi-institusi itu membawa kepada wujudnya komuniti etnolinguistik baharu di kawasan berkenaan. Jika tidak, maka pengajaran bahasa itu samalah seperti pengajaran kursus-kursus elektif, yang ditawarkan kepada pelajar atas keperluan akademik tertentu. Di School of Oriental and African Studies (SOAS), London, suatu waktu dahulu, pengajaran bahasa Melayu, mendapat sambutan yang baik dengan adanya dua golongan pelajar, iaitu pegawai kerajaan British yang akan bertugas di Malaysia, dan mubaligh Kristian yang bertujuan untuk menyebarkan agama Kristian kepada bumiputera bukan Melayu di Sabah dan Sarawak. Sekarang sudah tidak ada lagi minat seperti dahulu. Lebih cepat orang belajar bahasa Melayu di kelas-kelas yang dijalankan oleh kelas-kelas swasta. Bagi mubaligh Kristian lebih cepat dan mudah mereka menggunakan Kitab Injil yang sudah ada terjemahannya dalam bahasa Indonesia. Bahasa asing juga diajar di institut bahasa angkatan tentera yang dijalankan oleh negara-negara tertentu dengan tujuan tertentu. Jika bahasa kita tidak dimasukkan dalam senarai tersebut, kita tidak perlu gelisah, kerana pemilihannya belum tentu menambah kepada martabat bahasa kita,” Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar.

Mengakhiri ucap utamanya, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar menegaskan bahawa hanya dengan meletakkan unsur-unsur yang boleh diterima sebagai keunggulan bahasa, dan sebaliknya, dalam paksi dalaman dan luaran barulah bahasa Melayu dapat diperkasakan. 

“Dengan meneliti eksponen paksi-paksi itu, kita dapat memilih yang mana yang boleh diambil sebagai penentu martabat, dan yang mana tidak. Eksponen yang penting dan wujud dalam kedua-dua paksi itu ialah lama-waktu yang merupakan konteks kemantapan budaya tinggi serta juga tiang kestabilan bahasa, yang tidak ada pada bahasa yang tidak cukup lama-waktunya,” ucapnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.