22 Mei 2022, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Apabila tiba abad ke-21, aspek status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia tidak lagi dipersoalkan. Namun begitu, banyak cabaran dan isu tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperkatakan pada abad ke-21 ini.

YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah ketika membentangkan kertas kerjanya.

Menurut YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dengan kertas kerja yang berjudul “Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21 dalam Pengurusan dan Sektor Awam” menyatakan bahawa penggunaan bahasa Melayu di peringkat kementerian awam berada pada tahap yang baik. Namun begitu, masih terdapat ruang bagi penambahbaikan ke arah memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam. Oleh itu, JPA amat komited dalam menjalankan dasar-dasar bahasa Melayu, iaitu penjawat awam mempunyai peranan yang penting dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Tambahnya lagi, terdapat tiga isu dan cabaran yang telah dikenal pasti berkenaan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam pengurusan dan sektor awam, iaitu jati diri individu, penggunaan bahasa Melayu di peringkat organisasi, dan peranan bahasa Melayu dalam penyampaian perkhidmatan.

Perkhidmatan awam perlu menjadi contoh dan merupakan benteng hadapan dalam memartabatkan bahasa Melayu. Perkhidmatan yang utuh diterjemahkan melalui tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik. Usaha serta komitmen yang berterusan adalah perlu bagi memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa. Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab dan amanah penjawat awam untuk memastikan bahasa Melayu sentiasa dimanfaatkan sepanjang zaman.

YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim.

Sementara itu, bagi YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dengan kertas kerjanya yang berjudul “Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21: Sudut Pandangan Malaysia”, isu dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam konteks dasar dan pelaksanaannya di Malaysia dapat dilihat dari segi sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan, keupayaan bahasa Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Selain itu, tambah beliau, cabaran globalisasi dan peranan bahasa Inggeris bukan sahaja dalam konteks negara Malaysia tetapi juga dunia yang lebih luas.

Semua cabaran dan isu ini dapat diatasi sekiranya langkah diatur dengan cermat berserta sikap yang perlu diubah dapat dipupuk.

YBrs. Prof. Dr. Harun Joko Prayitno.

Menurut YBhg. Prof. Dr. Harun Joko Prayitno dari Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia dengan kertas kerjanya yang berjudul “Penguatan Perjuangan, Politik dan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Dunia Abad 21, Era Komputasi-Komunikasi Global”, menjelaskan fungsi bahasa adalah untuk memartabatkan dan memanusiakan masyarakat penggunanya. Usaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat dunia sama fungsinya dengan usaha memartabatkan masyarakat pengguna bahasa Melayu.

Tambahnya lagi, antara sebab bahasa Melayu boleh diangkat ke peringkat dunia adalah kerana bahasa Melayu mempunyai ciri kekuatan dan kesantunan dalam peradaban kebudayaan dan perkembangan keilmuan.

Bahasa Melayu mempunyai inovasi kebudayaan serta kosa kata bahasa Melayu yang memberikan kesantunan dalam bidang kesenian. Santun dalam bahasa Melayu dapat dilihat dari segi sikap masyarakat dan dukungan politik dalam bidang bahasa, yang bukan hanya sebagai bahasa rasmi di ASEAN tetapi perlu diangkat ke peringkat dunia. Bahasa Melayu juga ialah bahasa komunikasi dan perlu dimartabatkan khususnya kepada anak-anak muda generasi kini.

YBhg. Prof. Dr. Karl Alexander Adelaar.

Peserta akhir, iaitu YBhg. Prof. Dr. Karl Alexander Adelaar dari Universiti of Melbourne, Australia pula membentangkan kertas kerjanya yang berjudul “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Kawasan Lautan India” menyatakan bahawa orang Melayu yang membawa kemasukan Islam ke Madagaskar. Dapat dilihat bahawa dukungan daripada masyarakat setempat dan buku-buku dalam bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk setempat banyak membuktikan bahawa kebudayaan dan infrustruktur Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa Melayu. Begitu juga dengan kesusasteraan yang juga banyak dipengaruhi oleh unsur Melayu.

Demikianlah penerangan menarik daripada para peserta Sidang 1: Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21, dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang telah berlangsung pada pukul 10.00 pagi tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Moderator Sidang 1 ialah YBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff dari Universiti Utara Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.