Oleh Yusaida Yusof
22 Mei 2022, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mahu skop kerjasama diperluas, termasuklah merancang dengan rapi aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan agar bahasa Melayu kembali dijadikan lingua franca. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada pagi ini.

YAB Perdana Menteri semasa merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.

Menurut Perdana Menteri, Kerajaan juga sedar betapa pentingnya pelibatan golongan cendekiawan dalam merancang dan melaksanakan gagasan pemimpin dan dasar negara selain pandangan seluruh Keluarga Malaysia. Beliau turut yakin bahawa simposium ini dapat mengenal pasti segala halangan yang ada untuk memartabatkan bahasa Melayu serta mengemukakan satu rangka kerja khusus untuk mengatasi halangan tersebut.

“Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihannya yang tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan diyakini boleh dijadikan satu daripada bahasa rasmi ASEAN. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuklah meminda Akta DBP 1959 bagi memberikan kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan penggunaan bahasa berkenaan.”

Tambah beliau, usaha memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu bukan kerja mudah kerana terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh pejuang bahasa. Sementara itu, usaha sewajarnya juga perlu dilakukan untuk memperluas pengajaran dan penggunaan bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi.

Beliau turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam agar memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan dan ini antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan. Berkenaan dengan pindaan Akta DBP 1959, DBP juga telah mengadakan beberapa bengkel untuk memastikan urusan pindaan akta itu capai secepat yang boleh.

“Saya ingin menegaskan betapa pentingnya semua sektor menggunakan bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana bahasa Melayu merupakan bahasa urusan rasmi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam. Perluasan penggunaannya hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Jadikanlah peribahasa “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” sebagai pegangan kerana dengan cara itu barulah bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan negara.”

Tegas beliau, DBP juga perlu menjalani proses transformasi dan peralihan paradigma daripada Akta DBP 1959 yang hanya memperuntukkan kuasa Lembaga Pengelola dalam pelaksanaan prasarana badan itu pada peranannya yang sewajarnya. Peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan dengan lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.