23 Mei 2022, 22:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Tahun 2022 menjadi penanda aras dalam usaha mengangkat taraf bahasa Melayu menjadi bahasa ASEAN dan bahasa antarabangsa apabila berlangsungnya Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bertemakan “Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa” pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022, di Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Simposium yang menjadi pentas untuk menyampaikan cadangan dan pandangan yang berkaitan dengan usaha memartabatkan kedudukan bahasa Melayu dan menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan ini menampilkan barisan pembentang dari dalam dan luar negara. Sidang 11 yang berlangsung pada hari kedua menampilkan tokoh bahasa dan sastera dari negara luar, iaitu Dr. Victor A. Pogadev (Rusia) dan Dr. Yanhar Jamaluddin (Indonesia). Dari Malaysia pula ditampilkan tokoh akademik dan pentadbir yang cukup dikenali, iaitu Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah.

Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

Melalui tajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu Menerusi Sastera Melayu dan Kerangka Ecoshift untuk Pelestarian Alam Sekitar”, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang selaku Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air menyatakan pandangannya bahawa bahasa Melayu berpotensi untuk disemarakkan sebagai bahasa ilmu dan wahana komunikasi utama, khususnya di Alam Melayu. Sebagai tokoh akademik yang berlatarkan pendidikan dalam bidang sains, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang mengakui bahawa pada ketika ini peranan bahasa Melayu tidak begitu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak selari dengan perkembangannya sebagai bahasa ilmu pada peringkat pengajian tinggi.

Keadaan ini banyak dipengaruhi oleh pembuat dasar serta pengamal sains dan kejuruteraan alam sekitar yang masih menggunakan bahasa Inggeris secara meluas dari segi wahana dokumen kontrak. Selain itu, penggunaan bahasa Melayu hanya berlaku dalam urusan pentadbiran kerajaan dan sistem pendidikan kebangsaan, manakala penggunaannya dalam kalangan bukan Melayu masih tidak meluas, khususnya dalam bidang perniagaan.

Selaku tokoh yang terlibat dalam urusan pentadbiran negara, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang menyatakan bahawa inisiatif bersifat sinergi dalam usaha pengembangan bahasa Melayu di Malaysia tidak diadakan dengan negara jiran, khususnya Indonesia dan Brunei. Maka itu, beliau mencadangkan pelibatan semua pihak secara menyeluruh, yang merangkumi pemakluman, perundingan, penyertaan, kerjasama dan pemerkasaan.

Tokoh akademik seterusnya, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah pula lebih mengutamakan penekanan nilai-nilai baik yang sememangnya ada dalam bahasa Melayu. “Dengan adanya kesedaran bahawa dalam bahasa Melayu itu memiliki nilai yang baik, maka kita harus menghargai bahasa itu dengan memartabatkan kedudukannya dan menyemarakkan penggunaannya. Hal ini sama seperti kita menyedari nilai baik yang ada pada agama Islam, yang menjadikan kita menjulang agama tersebut kerana kita tahu nilai tinggi yang ada pada agama itu. Jadi, ada nilai baik yang akan kita peroleh apabila mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu. Nilai ini juga tidak menjadikan kita terkebelakang apabila belajar menggunakan bahasa Melayu”. Demikian ulasan Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, selaku pembentang kedua dalam Sidang 11.

Selaku peneraju UUM, beliau berkata, “UUM akan menawarkan program pengajian akademik yang memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Melayu. Hal ini bermakna, pengajaran dan pembelajaran akan berlangsung dalam bahasa Melayu. Berkaitan dengan hal ini, pelajar juga tidak seharusnya berasakan diri mereka bertaraf kelas kedua apabila mengikuti program pengajian yang disampaikan menggunakan bahasa Melayu.”

Tambah Profesor Dr. Haim Hilman, bahasa yang menjadi pertuturan setiap hari itulah yang seharusnya dipelajari dan dijadikan bahasa perantara dalam pengajian pada peringkat universiti. Setiap rakyat Malaysia seharusnya menguasai bahasa Melayu, namun penguasaan terhadap bahasa lain juga digalakkan sebagai nilai tambah diri untuk mencapai kemajuan. Yang penting, usaha mendalami ilmu itu dilakukan dalam bahasa Melayu, yakni bahasa yang dituturkan oleh rakyat di Malaysia.

Dr. Victor A. Pogadev.

Sementara itu, Dr. Victor A. Pogadev dari Rusia dengan tajuk kertas kerjanya, iaitu “Bahasa Melayu Merentas Segala Sempadan: Kes Rusia”, membentangkan usaha pendokumentasian dan penterjemahan yang dilakukannya di Rusia. Beliau membuka pembentangannya dengan menyatakan bahawa karya ilmiah pertama dalam bahasa Melayu telah muncul di Rusia pada abad ke-18, iaitu kamus komparatif yang diterbitkan atas arahan Ratu Catherine Agung. Seterusnya, sejak tahun 1990-an, bahasa Melayu diperkenalkan di Institut Sains Kemanusiaan, Institut Pelajaran Timur Amali dan Institut Ketimuran (swasta). Tambah Dr. Victor A. Pogadev, kini terdapat sebanyak 62 orang mahasiswa di institut berkenaan yang menawarkan diri untuk mengikuti pembelajaran dalam bahasa Melayu.

Dr. Victor juga berkongsi berita baik dengan menyatakan bahawa para sarjana Rusia berjaya menerbitkan karya ilmiah yang mendapat sambutan baik dalam kalangan para ilmuan antarabangsa. Karya ilmiah yang dimaksudkan itu ialah Tatabahasa Indonesia (1972), Kamus Besar Bahasa Indonesia (1990), Kamus Besar Bahasa Rusia-Bahasa Malaysia (1986), Sejarah Kesusasteraan Melayu (1983), Sejarah Malaysia (2010) dan Kamus Besar Melayu-Rusia (2014).

Yang menariknya, Dr. Victor turut menyelitkan pantun dalam pembentangannya apabila membuat perbandingan antara pantun Melayu dengan pantun Rusia. Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan bahawa perhatian juga ditumpukan terhadap kajian sastera rakyat Melayu, terutamanya pantun. Begitu juga dengan penterjemahan beberapa karya sastera Melayu ke dalam bahasa Rusia seperti novel Usman Awang, iaitu Tulang-tulang Berserakan dan novel Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto.

Yang turut diselitkan dalam pembentangannya ialah hal yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Rusia yang cukup aktif dan mencakupi pelbagai aspek seperti penyelidikan bahasa, penyusunan kamus, penyelidikan sastera tradisional seperti pantun dan syair, dan penterjemahan karya sastera. Mengakhiri pembentangannya, Dr. Victor mengakui bahawa hubungan antara Malaysia dengan Rusia begitu rapat kerana berlakunya pengaksesan bahan pembelajaran dalam bahasa Melayu di Malaysia oleh pelajar di Rusia.

Dr. Yanhar Jamaluddin.

Membuka kata-katanya dengan ungkapan “tabik”, Dr. Yanhar Jamaluddin yang mewakili Universiti Islam Sumatera Utara (UISU), Indonesia, menceritakan usaha “Membumikan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Indonesia”. Berkaitan dengan ungkapan “tabik” itu, Dr. Yanhar Jamaluddin menjelaskan bahawa sapaan yang menggunakan “tabik” akan menimbulkan rasa gembira dan bahagia, selain melahirkan rasa saling menghormati. Kata beliau, “Ada kekuatan, kekerabatan, dan kebersamaan di sebalik ungkapan tabik.”

Para pembentang dalam Sidang 11 Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.

Berkaitan dengan usaha membumikan bahasa dan kesusasteraan Melayu, Dr. Yanhar Jamaluddin mengakui bahawa pihak UISU begitu bersemangat untuk membumikan bahasa Melayu di Indonesia. Lantaran itu, beliau menceritakan beberapa “aroma Melayu” yang terdapat di UISU, antaranya termasuklah penerbitan buku dalam bahasa Melayu, penganjuran seminar pantun, dan mengangkat kearifan daerah yang didokumentasikan dalam bahasa Melayu. Tambah beliau, walaupun komunikasi dan pembelajaran di UISU kadangkala perlu berlangsung dalam bahasa asing, namun pertuturan dalam bahasa Melayu tetap diutamakan dalam kalangan pelajar di situ. Menutup pembentangannya, Dr. Yanhar Jamaluddin menyatakan bahawa beberapa negara di ASEAN mempunyai badan bahasanya, maka badan itu harus berperanan untuk mengikat masyarakat serumpun dalam satu bahasa, iaitu bahasa Melayu.

Berlangsung selama satu jam setengah, Sidang 11 memperlihatkan beberapa perkara seperti keyakinan setiap individu untuk menggunakan bahasa Melayu pada peringkat negara dan antarabangsa, keberkesanan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi terutama di beberapa kementerian dan sektor kerajaan dan potensi bahasa Melayu di pentas antarabangsa. Yang paling penting, seseorang itu perlu membuang rasa malu untuk berbahasa Melayu dan perlu menyedari bahawa simposium ini memberikan impak yang besar kepada anak muda dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.