Oleh Suria Janib
23 Mei 2022, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Pengerusi  Sosiobudaya Warisan Dunia Melayu Dunia Islam, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (Malaysia) menyambut baik saranan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersama-sama pemimpin ASEAN untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di rantau ASEAN. Beliau yang berkongsi pandangan sebagai panel Sidang 8 bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu mengulas lanjut tentang peranan bahasa dan bangsa Melayu yang turut mewarisi budaya yang tinggi dalam peradaban Melayu.

Menurut YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, perjuangan bahasa tetap diteruskan walaupun bertukar ganti pemimpin negara.

Katanya, bahasa Melayu sebagai tunjang peradaban. Sebagai ilmuwan, aktivis dan pejuang bahasa, beliau sering mengingatkan kerajaan dan masyarakat awam untuk sama-sama memartabatkan bahasa Melayu sebagai teras peradaban. Dari umur 30-an hingga 70-an, beliau bersama-sama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) memperjuangkan bahasa. Baginya, buat pertama kalinya di bawah Unit Pejabat Perdana Menteri merealisasikan gagasan memartabatkan bahasa Melayu secara jelas. Pertemuan dalam simposium ini merupakan lanjutan daripada saranan YAB Perdana Menteri untuk memperjuangkan dan memartabatkan bahasa Melayu.

Dalam konsep geopolitik budaya warisan Melayu, terdapat satu kumpulan yang idealistik untuk memperjuangkan bahasa dan budaya. Walaupun berlaku pelbagai halangan, perjuangan ini tetap tidak berubah untuk menaikkan kedudukan bahasa Melayu dan bukannya bahasa Malaysia, yang sudah termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan. Dalam hal ini, GAPENA menjadi penghubung antara perjuangan Melayu serumpun dengan dunia Islam.

Menurutnya, perjuangan memartabatkan bahasa sebagai tunjang peradaban dan maruah bangsa bukan suatu perkara yang mudah. Semangat jitu yang ditonjolkan oleh para ilmuwan terdahulu tetap tidak berganjak walaupun negara silih bertukar ganti pucuk pimpinan.

Bagi membuktikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, GAPENA turut bertegas dalam tuntutannya supaya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu. Ternyata perjuangan ini berjaya dan diteruskan hingga peringkat institusi pengajian tinggi.

GAPENA selain memberikan teguran membina terhadap mana-mana pihak yang cuba menggagalkan usaha memartabatkan bahasa, malah menyambut baik Akta DBP 1959 diperkasakan supaya menjadi badan penguat kuasa bahasa yang disegani, seterusnya pertubuhan ini menuntut supaya diadakan pelapis baharu sebagai penyambung warisan bahasa dan istilah bahasa Melayu perlu dikekalkan sebagai bahasa warisan bangsa.

Dalam sidang yang sama, menurut Sasterawan Negara (SN), YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (Malaysia), “Bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa dan bahasa hidup saya. Saya juga manusia sejagat hidup dengan orang lain, dan ditakdirkan melalui perjalanan panjang untuk menyeberang beberapa buah bahasa.”

YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menjiwai bahasa Melayu dengan cara tersendiri.

Beliau lahir dalam dua zaman kolonialisme, iaitu pada era pendudukan Jepun dan Inggeris di negara ini. Beliau juga sempat memasuki sekolah Melayu untuk beberapa tahun sahaja. Pada masa itu, penjajah Inggeris menganggap bahasa Melayu tiada hak dan tidak layak untuk memberikan ilmu pada peringkat tertinggi. Beliau mendapat pendidikan bahasa Melayu daripada guru yang tidak terlatih. Akhirnya, beliau belajar sendiri, mengambil peperiksaan sendiri dan lulus sendiri. Beliau juga mempelajari bahasa Inggeris daripada guru yang terlatih dan mahir.

Saya cepat jatuh cinta dengan karya William Shakespeare melalui guru saya, Mr. Baird. Saya terus mengikut jalan sasteranya hingga ke Brinsford Lodge di Wolverhampton dan Universiti Singapura. Maka itu, di sebelah pihak, emas dan permata dilukis dan diserlahkan dan di pihak lain, mutu manikam di kebun kita sendiri tidak dikenali dan masih tidak diberikan watak dan penampilan yang sewajarnya.

Di taman bahasa Melayu, beliau mengakui bahawa beliau menemui belantara dengan tumbuhannya yang luar biasa, bunyinya yang merdu dan khazanah yang hampir jarang-jarang disentuh.

Saya menghidap semacam penyakit gangguan disebabkan bahasa ini dan manuskrip serta teks yang belum dialih aksara. Jadi, saya mencari teks tertua Sulalat al-Salatin, mentranskripsi dan mengkaji, serta akhirnya menulis sejumlah sajak yang didasarkan pada bab-babnya.

Setelah itu, beliau menterjemahkannya kembali ke dalam bahasa Inggeris kontemporari untuk generasi baharu. Projek yang sama dilakukannya untuk naskhah tertua Hikayat Hang Tuah versi terawal tahun 1762. Sajak beliau yang hampir 80 buah sudah siap dan ada yang sedang diusahakannya.

Dua orang lagi pembentang kertas kerja, iaitu Profesor Dr. Su Yingying atau nama Melayunya, Suria dari China pula membentangkan kertas kerjanya secara maya berkaitan dengan perkembangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China. Menurutnya, sejumlah 41 orang pensyarah China jurusan Bahasa Melayu dan tujuh orang pakar asing dari Malaysia menjadi tenaga pengajar di 13 institusi pengajian tinggi China. Sejumlah 457 orang siswa jurusan Bahasa Melayu peringkat sarjana muda dan enam orang sarjana sedang belajar di kampus. Sejumlah 965 orang lepasan peringkat sarjana muda dan 10 orang sarjana telah berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh 60 tahun.

Menurut Profesor Dr. Su Yingying, negara China menyambut baik perkembangan bahasa di universiti negara itu.

“Dalam tempoh 60 tahun yang lalu, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China telah mendapat pencapaian yang cukup membanggakan dengan bantuan dan sokongan daripada pihak Malaysia yang terlibat, biarpun kadangkala menghadapi cabaran dan kesukaran. Sebagai perkongsian kejayaan pelajar, setakat ini mahasiswa jurusan Bahasa Melayu di China pernah muncul johan dua kali, naib johan lima kali dan tempat ketiga satu kali dalam sejumlah 14 sesi Pertandingan Pidato Antarabangsa Piala Perdana Menteri. Inilah satu daripada bukti kejayaan pendidikan program pengajian Melayu di China.”

YBrs. Dr. Faridah Yaakob menyatakan bahawa masyarakat Cham mudah menerima bahasa Melayu.

Sementara itu, YBrs. Dr. Faridah Yaakob (Kampuchea) pula berkongsi pandangannya tentang perkembangan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Kemboja. Menurutnya, dalam dunia era globalisasi negara itu juga memperlihatkan ilmu yang begitu pantas. Kemajuan dalam teknologi maklumat memberikan kesan secara langsung terhadap perkembangan bahasa Melayu di negara itu. Penerimaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Kemboja makin meningkat ekoran beberapa siri pertemuan atau hasil hubungan baik antara DBP dengan kerajaan di sana dalam pengembangan bahasa Melayu sejak tahun 1999, pengaruh massa seperti penghijrahan rakyat Kemboja ke Malaysia, pendidikan dan penyebaran bahasa Melayu.

Bahasa Melayu amat sesuai bagi masyarakat Kemboja disebabkan bahasa Melayu digunakan dalam sistem pendidikan pengajaran agama di sekolah. Terdapat kebolehan bahasa dan kebersamaan bahasa. Misalnya, banyak perkataan Cham yang mempunyai maksud yang sama dengan bahasa Melayu seperti mata, tangan, kaki, betis, jalan dan kerbau.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!