23 Mei 2022, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sidang ketujuh bagi pembentangan dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dengan tema “Bahasa Melayu di Forum Antarabangsa” telah disampaikan oleh empat orang pembentang yang terdiri daripada Sasterawan Negara, iaitu YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan, YBhg. Prof. Emeritus Dr. Dustin Cowell dari Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat, YBrs. Dr. Surya Suryadi, iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Asia Selatan dan Asia Tenggara Universiti Leiden Belanda, dan YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, iaitu Mantan Naib Canselor Universiti Malaya. 

Pembentangan yang diadakan secara langsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada hari ini dimulakan oleh YBrs. Dr. Surya Suryadi dengan tajuk “Sumbangan Belanda dalam Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”. Beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu mula berkembang apabila penjelajah Belanda yang dipenjarakan di Acheh pada tahun 1599 hingga tahun 1602, iaitu Fredrick de Houtman menyusun sebuah kamus pertama yang mencatatkan kosa kata bahasa Melayu dalam bahasa Belanda dan contoh perkataan Belanda yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan tajuk “Percakapan dan Kamus dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Madagaskar- dengan Banyak Perkataan Arab dan Turki”.

Menurut YBrs. Dr. Surya Suryadi, buku tersebut digunakan oleh orang Belanda untuk berkomunikasi dengan masyarakat Melayu dan turut diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai rujukan untuk para pelayar Barat berinteraksi dengan orang Melayu di Timur. Hal ini merupakan bukti bahawa Belanda sudah menyumbang dalam pengantarabangsaan bahasa Melayu sejak abad ke-16 lagi.

YBhg. Prof. Emeritus Dr. Dustin Cowell.

Tambah YBhg. Prof. Emeritus Dr. Dustin Cowell menerusi kertasnya yang bertajuk “Perkembangan Pengajian Bahasa Melayu di Amerika Syarikat” pula bermula dengan program antarabangsa di bawah naungan Akta Fulbright-Hays 1961, yang menggalakkan orang Amerika Syarikat mempelajari bahasa terkemuka di wilayah tertentu dan memahami secara mendalam mengenai budaya yang berkaitan dengan wilayah sasaran.

Universiti Cornell di bawah arahan Profesor John U. Wolf menubuhkan sebuah konsortium untuk Pengajaran Bahasa Indonesia pada tahun 1976, seterusnya konsortium tersebut dinamakan semula sebagai Konsortium Pengajaran Bahasa Indonesia dan Melayu pada tahun 1998 apabila konsortium tersebut diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tambah beliau lagi, terdapat sebuah program yang sangat berjaya, iaitu pelajar yang merupakan warganegara Malaysia atau Indonesia boleh memohon untuk menyertai program Fullbright yang bernama “Program Fullbright untuk Pembantu Pengajar Bahasa Asing”, sama ada melalui Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia dengan Amerika Syarikat atau Yayasan Pertukaran Indonesia. 

Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan.

Menurut Sasterawan Negara, iaitu YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan dengan tajuk kertas kerjanya, iaitu “Karya Sastera Mewakili Bahasa Melayu di Pentas dan Forum Antarabangsa”, terdapat empat cadangan untuk mengatasi empat isu yang berkait dengan penterjemah, penerbit dan penerbitan, kekurangan ejen sastera, dan program antarabangsa.

Antara cadangan yang dikemukakan bagi isu penterjemah adalah dengan melantik penterjemah yang menguasai bahasa asing dengan baik supaya nilai kesusasteraan dalam teks terjemahan dapat disampaikan dengan baik.

Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya karya sastera kebangsaan diterbitkan oleh syarikat penerbitan antarabangsa mengikut bahasa yang diterjemahkan agar karya terjemahan tersebut mampu disebarkan kepada negara sasaran dengan lebih meluas.

Bagi merealisasikan gagasan pengantarabangsaan bahasa Melayu, beliau turut mencadangkan supaya melantik ejen sastera yang sesuai bagi rantau Eropah, Amerika Syarikat dan Amerika Selatan, Afrika dan Asia. Hal ini demikian kerana tanpa ejen sastera, hasrat tersebut agak sukar untuk dilaksanakan. Pada masa yang sama, beliau turut memberikan penekanan terhadap program pengantarabangsaan karya sastera supaya dapat diwujudkan untuk diketengahkan kepada masyarakat dunia.

YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob.

Sidang ketujuh ini diakhiri dengan pembentangan dan persembahan sajak yang bertajuk “Antara Pengantarabangsaan dan Pengembangsaan” oleh YBhg. Kapten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, yang memberikan suntikan motivasi untuk terus memperjuangkan pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Mantan Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya ini menamatkan pembentangannya dengan menyatakan bahawa sesuatu bahasa itu tidak akan dimuliakan dan dimartabatkan sekiranya penuturnya tidak berwibawa.

Kita sebagai penutur bahasa Melayu mestilah mempunyai kewibawaan yang tinggi supaya kita bukan sahaja dihormati di kampung kita, malah di mana-mana sahaja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.