23 Mei 2022, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur “Pada tahun 2010, kerajaan Malaysia telah menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam sektor utama negara, termasuklah sektor perkhidmatan awam. Penubuhan jawatankuasa tersebut berperanan dalam menentukan pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan masing-masing. Dalam perkhidmatan awam khususnya, jawatankuasa kecil pelaksanaan bahasa kebangsaan berperanan untuk menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan, merancang dan melaksanakan program kebahasaan, dan melaporkan tahap pencapaian penggunaan bahasa kebangsaan kepada jawatankuasa induk. Sekiranya terdapat permasalahan, pelaksana boleh melaporkan kepada jawatankuasa induk tersebut.” Demikian menurut YBhg. Datuk Dr. Alauddin Sidal sewaktu membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Pemartabatan Bahasa Melayu Menerusi Wahana Latihan Penjawat Awam: Peranan dan Tanggungjawab Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Sidang 9, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.

YBhg. Datuk Dr. Alauddin Sidal.

Tambah beliau, “INTAN sebagai sebuah agensi kerajaan berperanan untuk membangunkan modal insan yang kompeten melalui pembelajaran berkualiti. Maka itu, INTAN dan JPA bertanggungjawab untuk membantu kementerian dan agensi kerajaan dalam merancang dan melaksanakan program kebahasaan yang meliputi empat perkara.”

Empat perkara tersebut meliputi peluasan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi tidak ketara yang merujuk semangat yang mendasari bahasa sektor awam, sama ada pelaksanaannya dilakukan secara menyeluruh dan penggunaan bahasa yang betul. Yang seterusnya ialah pembangunan duta bahasa di jabatan melalui pelantikan Munsyi Muda Bahasa dalam kalangan penjawat awam. Mereka ini diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu dan perlu melepasi tahap penilaian kefahaman bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Yang ketiga ialah latihan penataran bahasa dan kursus penulisan dokumen rasmi. INTAN melaksanakan latihan dan kursus penulisan dokumen rasmi bertujuan untuk meningkatkan penggunaan format yang ditetapkan untuk penulisan dokumen rasmi dalam kalangan penjawat awam. Yang terakhir ialah pembudayaan bahasa Melayu melalui keterampilan yang bersifat halus dan konkrit.

YBhg. Datuk Dr. Alauddin Sidal juga berkongsi tentang pelaksanaan Pertandingan Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam oleh INTAN sejak tahun 2015. Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memberikan peluang kepada penjawat awam untuk mengartikulasikan pendapat mereka bertepatan dengan peranan penjawat awam sebagai ejen penyebar maklumat dan penyebar dasar kerajaan.

YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican.

Sidang ini diteruskan dengan pembentangan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican yang mengutarakan pendapatnya bahawa bahasa Melayu harus mengalami proses penjenamaan semula. Sepanjang tempoh negara Malaysia mencapai kemerdekaan, iaitu dalam tempoh 65 tahun ini, bahasa Melayu tidak pernah sekalipun dijenamakan semula. “Simposium ini menjadi salah satu strategi untuk menjenamakan semula bahasa Melayu,” kata YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican pada awal ucapannya.

Menurut YBhg. Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican lagi, persekitaran alam bina perlu diubah dari segi bentuk, sikap dan kelakuan masyarakat di sesebuah negara. Selain itu, beliau mencadangkan satu tribunal bahasa kebangsaan diwujudkan. Contohnya di negara luar seperti Filipina dan Jepun telah diwujudkan tribunal sejarah untuk menimbang tara dan menyelesaikan masalah pendidikan sejarah.

Di sini kita menghadapi pertelingkahan Melayu selama 65 tahun, namun tidak ada tribunal yang menjadi badan untuk menyelesaikan pertelingkahan tersebut. Jadi, di manakah kita mahu membuat aduan berkaitan dengan masalah penggunaan bahasa Melayu, termasuklah masalah budaya dan identiti Melayu? Tribunal ini boleh diletakkan di bawah penyemakan semula kuasa DBP. DBP perlu diberikan kuasa untuk mentadbir tribunal, namun yang penting tribunal ini mempunyai kuasa untuk mendenda kesalahan yang dilakukan secara langsung ataupun tidak langsung berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu.

Beliau turut menyebut tentang tindakan yang boleh dilakukan dalam konteks penjenamaan semula. “Penjenamaan semula bermaksud menceritakan semula atau membuat satu naratif yang lain kerana sejak tahun 1957 atau sebelum itu, terdapat penurunan imej kebangsaan negara bangsa dan orang Melayu. Apabila imej orang Melayu rendah, maka tahap penggunaan bahasanya juga rendah. Bagi mengatasi masalah penurunan imej ini, kita harus mempopularkan tradisi lisan melalui media massa, menghasilkan kartun dalam bahasa Melayu, menceritakan semula sejarah Melayu, dan menyebarkan pautan laman web berkaitan dengan esei atau artikel yang terbaik dalam bahasa Melayu.”

Usaha lain yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan kempen untuk mempromosikan bahan berkaitan dengan kesusasteraan Melayu dan menjenamakan semula majalah Dewan Sastera melalui pelbagai pelantar digital. Pemberian Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu juga harus diangkat statusnya lebih tinggi daripada anugerah akademik negara yang sedia ada dan penganugerahannya disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peranan media dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu juga harus diperkemas, termasuklah media secara dalam talian. Manfaatkan sepenuhnya penggunaan papan iklan dalam mempromosikan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Pada papan iklan itu juga dipaparkan rangkap pantun, peribahasa, dan pepatah dalam bahasa Melayu. Yang paling penting, papan iklan itu diletakkan di sepanjang lebuh raya, persimpangan jalan, dan ruang awam. Secara tidak langsung, penggunaan bahasa Melayu yang indah dan menarik akan dibaca oleh sesiapa sahaja yang melihat papan iklan tersebut.

YBhg. Profesor Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah selaku pembentang yang seterusnya dalam Sidang 9 berkata, “Apabila bercakap tentang bahasa Melayu dan pembinaan negara, hal itu memperlihatkan seolah-olah kita gagal untuk membina sebuah negara yang berteraskan perpaduan.” Beliau berkata demikian kerana asas dalam pembinaan negara meliputi empat perkara penting, iaitu jati diri yang merupakan agenda besar negara, termasuklah kedudukan bahasa Melayu. Selagi bahasa Melayu tidak dijadikan syarat untuk menjadi warganegara, kita akan gagal memartabatkan bahasa Melayu. Maka itu, sudah sampai masanya kedudukan bahasa Melayu selaku bahasa negara dan agenda negara diangkat ke tahap yang paling tinggi dalam proses pembinaan negara. Yang penting, jadikan bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan kewarganegaraan.

YBhg. Profesor Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Aspek yang seterusnya ialah kedudukan bahasa Melayu harus diperkasakan bermula daripada pendidikan asas lagi. Pendidikan berasaskan kaum hendaklah dikaji semula secara serius kerana bentuk pendidikan itu kurang membantu dalam pembinaan negara. Mata pelajaran asas seperti Sejarah mesti diajar dalam bahasa Melayu tanpa kompromi di sekolah vernakular.

“Jangan tunduk pada tekanan badan bukan kerajaan yang bersifat rasis. Jangan memperjudikan agenda negara yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Buat kajian secara mendalam tentang bilangan rakyat Malaysia yang tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Dalam pembinaan negara khususnya dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu, rakyat harus didik dengan kuasa.” Demikian ucap YBhg. Profesor Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam menyampaikan pesanannya bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, yang berlangsung pada 22 Mei 2022 hingga 24 Mei 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.