Oleh Kho Thong Eng
24 Mei 2022, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Di seluruh mayapada, segala hidupan berkaitan dengan sifat jantinanya, iaitu sama ada lelaki atau perempuan, jantan atau betina. Walaupun terdapat ikan yang dapat bertukar jantina dan sesetengah siput hermafrodit yang dwijantina, hal tersebut merupakan kecualian daripada kebiasaan alam.

Oleh sebab terdapat perbezaan jantina antara hidupan ciptaan Tuhan, ada bahasa yang mengutamakan mekanisme penandaan jantina untuk manusia atau hidupan lain, dan ada pula bahasa yang kurang mengutamakannya.

Bagi bahasa Melayu, perbezaan jantina pada umumnya tidak menghasilkan nama khusus tetapi dijelaskan dengan kata penerang lelaki, perempuan, jantan atau betina. Keadaan yang serupa juga pada umumnya dimanifestasikan oleh bahasa tertentu, seperti bahasa Cina dan bahasa Jepun. Namun demikian, pada umumnya, bahasa Inggeris membezakan jantina dengan kata nama khusus. Sila lihat contoh yang berikut:

Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
daughter anak perempuan
son anak lelaki
brothers adik-beradik lelaki
sisters adik-beradik perempuan
bull, ox lembu jantan
cow lembu betina

 

Bagi bahasa Melayu, penandaan jantina kurang penting berbanding dengan penandaan kedudukan. Hal ini kelihatan pada contoh seperti gelaran tuan puteri, dan gelaran tuan pengarah bagi pengarah lelaki atau perempuan.

Walau bagaimanapun, apabila bahasa Melayu bertembung dengan bahasa lain seperti bahasa Sanskrit, bahasa Arab dan bahasa Inggeris yang mengutamakan pembezaan wanita, penandaan jantina mendapat tempat bagi sesetengah perkara dalam masyarakat kita. Sila lihat contoh yang berikut:

Golongan Manusia Lelaki Perempuan
saudara yang lebih tua abang kakak
orang tua ayah, bapa ibu, emak, umi
ibu bapa orang tua datuk nenek
penyanyi biduan biduanita
model peragawan peragawati
sapaan kepada rakan saudara saudari
orang muda pemuda pemudi
penggiat seni seniman seniwati
pembaca Quran qari qariah

 

Padanan antara bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu dapat kita kesan bagi perkara tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
ladies and gentlemen tuan-tuan dan puan-puan
hero dan heroine hero dan heroin, wira dan wirawati, srikandi
air steward and stewardess pramugara dan pramugari
king and queen permaisura dan permaisuri, raja dan ratu, raja perempuan
prince and princess putera dan puteri
emperor and empress maharaja dan maharani

 

Walau bagaimanapun, ada kalanya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tidak ada nama khusus yang berkaitan dengan perbezaan jantina, terutamanya bagi kata nama umum atau kata superordinat. Sila lihat contoh yang berikut:

Perkara Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
bunga male and female flowers bunga jantan dan betina
haiwan male and female animals haiwan jantan dan betina

 

Walau bagaimanapun, disebabkan gerakan feminisme dan usaha untuk menyamakan kedudukan lelaki dengan perempuan, kini terdapat juga kecenderungan untuk menggunakan kata umum yang neutral jantina dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:

Golongan Manusia Lelaki Neutral
pengerusi chairman chairperson
ahli bomba firemen firefighters
jurucakap spokesmen spokesperson

 

Ada kalanya kata jantina menampakkan perbezaan dari segi tahap penghormatan. Sebagai contoh, kata wanita dianggap lebih mulia berbanding dengan kata perempuan.  Malahan, kata betina ada kalanya menjadi panggilan kesat kepada perempuan yang kelakuannya menyimpang daripada norma masyarakat.

Ada kalanya kata jantan dikaitkan dengan benda tetapi mendukung maksud yang lain daripada perbezaan jantina. Sila lihat contoh yang berikut:

Contoh Maksud
embun jantan, busut jantan besar
kasau jantan bahagian alat yang dimasukkan ke lubang alat lain
pahat jantan tajam

 

Satu hal yang menarik ialah sifat jantina ada kalanya berkaitan dengan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Adjektif Umum Perempuan
taat dan patuh kepada perintah allah soleh solehah

 

Ada kalanya, bentuk nama ahli masyarakat kita juga menggambarkan pembezaan jantina. Selain itu, mungkin terdapat padanan dengan menggunakan penambahan akhiran -ah. Sila lihat contoh yang berikut:

Nama Lelaki Nama Perempuan
Mohamad, Roslan, Rosli Fatimah, Rosnah, Sarimah
Hasan Hasanah
Amin Aminah
Hashim Hashimah

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!