27 Mei 2022, 08:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Media memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Keberkesanan dalam menyampaikan maklumat juga dipengaruhi oleh penggunaan bahasa yang betul dan baik. Adalah menjadi tanggungjawab para pengamal media untuk menggunakan bahasa Melayu yang baik sama ada dalam penulisan mahupun dalam penyampaiannya.

Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022, BERNAMA TV telah menjemput Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari berkongsi isu tersebut dalam rancangan Malaysia Petang Ini (MPI) bersama-sama pengacaranya, Hillman Jamil dan Ziana Nasir yang bersiaran pada malam tadi.

Dr. Hazami memulakan perkongsiannya dengan menyatakan bahawa hasil kecangggihan teknologi maklumat kini, masyarakat begitu selektif dalam memilih media untuk menerima maklumat. Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat, media arus perdana seperti BERNAMA TV masih menjadi rujukan utama.

Secara keseluruhannya, penggunaan bahasa dalam media dalam kalangan pengamal media arus perdana adalah baik tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki dan dipertingkatkan. Tambah beliau lagi, pengamal media arus perdana dapat mendukung usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara kita. Namun begitu, bagi media alternatif, penggunaan bahasa  Melayu berada pada tahap yang membimbangkan kerana banyak penggunaan bahasa yang tidak betul dan tidak tepat berlaku.

Kesalahan lazim yang kebanyakannya dibuat oleh pengamal media adalah yang berkaitan dengan tatabahasa dan kesalahan ejaan bagi media bercetak. Contohnya ialah ejaan perkataan “jalan raya” dan “lebuh raya” yang perlu dieja secara berasingan tetapi acap kali dieja sebagai satu perkataan.

Dr. Hazami Jahari ketika bersiaran secara langsung.

Menurutnya lagi, kesalahan yang selalu berlaku ketika pengamal media bersiaran secara langsung ialah penggunaan perkataan “dari” dan “daripada”. Kebanyakan penyampai juga menggunakan perkataan “…bersiaran langsung daripada Parlimen” dan ayat itu tidak betul kerana perkataan yang betul dan tepat ialah “…bersiaran langsung dari Parlimen”.

Selain itu, wartawan juga seringkali menggunakan perkataan “hati-hati di jalan raya” sedangkan ayat yang tepat ialah “berhati-hati di jalan raya”. Kesalahan tersebut terjadi secara berulang kali tanpa sedar yang akhirnya boleh mempengaruhi masyarakat yang beranggapan bahawa penggunaan bahasa tersebut sebagai betul dan tepat.

Sistem sapaan juga adalah antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pengamal media. Menurut Dr. Hazami, bahasa bukan sahaja digunakan untuk menyampaikan maklumat, bahkan mengandungi nilai budaya dan budi bahasa.

“Jika kita menyapa seorang tokoh dan pemimpin yang hebat secara santai, kita dilihat seolah-olah tidak begitu memberikan penghormatan sewajarnya. Contohnya, penggunaan Yang Berhormat yang disingkatkan kepada YB dalam temu bual. Penggunaan tersebut walaupun tidak salah tetapi antara bentuk penambahbaikan yang boleh dibuat oleh para pengamal media,” jelas beliau.

Dari sudut penyampai berita yang mempunyai skrip, tidak timbul penggunaan bahasa rojak dan bahasa slanga. Walau bagaimanapun, bagi pengamal media yang melaporkan berita siaran langsung, kesalahan bahasa tersebut jelas berlaku dalam penyampaian mereka.

Penggunaan bahasa yang baik adalah perlu kerana wartawan merupakan duta bahasa bagi masyarakat. Jika penggunaan bahasa rojak dan slanga digunakan, sedikit banyak akan mempengaruhi masyarakat.

Penyampaian dalam bahasa tinggi juga perlu digunakan oleh pengamal media dalam usaha untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Tambahnya lagi, seorang duta Perancis yang datang ke Malaysia pernah menyatakan bahawa beliau tidak dapat belajar bahasa Melayu di negara ini melalui radio kerana penggunaan bahasa Melayu yang ada bercampur aduk tetapi berlainan dengan halnya di negara jiran, Indonesia.

Sebagai duta bahasa, para pengamal media perlu menguasai aspek tatabahasa dan yang paling penting, tidak sesekali mencampuradukkan kod bahasa dalam penyampaian mahupun penulisan masing-masing.

DBP juga mempunyai Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang boleh diakses 24 jam secara dalam talian bagi pengamal media selain pelbagai kursus pemantapan bahasa Melayu oleh pihak Akademi DBP dalam usaha untuk menambah baik penggunaan bahasa Melayu.

Wartawan dan pengamal media juga boleh membantu hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui penyiaran laporan dalam bahasa Melayu yang betul dan baik dan hanya mengunakan bahasa asing jika ada keperluan tertentu.

Bersempena dengan sambutan HAWANA 2022, beliau menyatakan bahawa wartawan perlu meletakkan diri mereka sebagai wakil barisan hadapan yang boleh dibanggakan masyarakat, duta bahasa Melayu dan memantapkan penguasaan bahasa Melayu dari semasa ke semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.