Oleh Awang Sariyan
2 Jun 2022, 21:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terdapat kekeliruan fakta dan pendapat dalam pernyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor, YB Tuan Lim Kit Siang tentang isu penggunaan bahasa Melayu (yang disiarkan menerusi sebuah media secara dalam talian pada 29 Mei 2022).

Sokongan dan jaminan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Zuki Ali tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu dilihat dalam konteks pematuhan penjawat awam kepada dasar dan undang-undang negara. Penegasan KSN bermaksud bahawa semua penjawat awam, selaras dengan aku janji untuk mematuhi dasar dan undang-undang negara, mesti melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. YB Tuan Lim Kit Siang perlu merujuk Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Selama ini, ada penjawat awam termasuklah di peringkat atasan yang agak lalai memenuhi amanah itu sehingga banyak mesyuarat berlangsung dalam bahasa Inggeris. Demikian juga bahasa dalam sebahagian dokumen rasmi kerajaan. Program Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 2013 mengesahkan masalah ketidakpatuhan sejumlah jabatan dan agensi kerajaan dalam penggunaan bahasa Melayu untuk urusan rasmi.

Data 76 peratus jabatan dan agensi yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam urusan rasmi seperti yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu baru-baru ini menjadi satu lagi bukti. Sesudah negara Merdeka 65 tahun, keadaan sebegitu tidak patut dibiarkan berterusan. Maka ucapan dan pernyataan KSN untuk membetulkan keadaan itu menepati peranan beliau sebagai ketua pentadbiran awam. Beliau boleh didakwa sebagai tidak amanah dan tidak cekap jika tidak memastikan dasar dan undang-undang negara terlaksana.

Soal hukuman tidak berbangkit jika penjawat awam mematuhi dasar dan undang-undang negara. Bagi penjawat awam yang ingkar, apakah pilihan lain yang dapat dicadangkan oleh YB Tuan Lim Kit Siang selain tindakan tatatertib? Sebagai penjawat awam yang pernah mengetuai sebuah agensi kerajaan, saya amat maklum betapa sulitnya sesuatu tindakan tatatertib dapat diambil kerana begitu banyak tatacara dan birokrasi yang perlu dilalui.

Tentang arahan Tan Sri Rafidah Aziz agar komunikasi di Kementerian Perdagangan Antarabangsa yang pernah dipimpinnya menggunakan bahasa Inggeris, perkara itu jelas bertentangan dengan Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan meskipun beliau berhujah mendapat kelulusan Jemaah Menteri. Jemaah Menteri sendiri tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Jika badan eksekutif negara sendiri tidak akur kepada undang-undang tertinggi negara, kepada siapakah dapat diharapkan perkara itu dipatuhi? Inilah antara inti sari hasrat dan keputusan Perdana Menteri yang disokong oleh KSN tentang usaha meningkatkan martabat bahasa Melayu.

Pendapat lain yang perlu dibetulkan adalah bahawa bahasa Melayu bukan sahaja untuk tujuan perpaduan kebangsaan malahan ada tujuan lain yang sama pentingnya, iaitu untuk menjadi alat komunikasi jentera pentadbiran negara. Itulah semangat dalam Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan. Sebagai ahli Parlimen yang menjadi badan penggubal undang-undang negara, YB Tuan Lim Kit Siang dan ahli Parlimen yang lain, termasuk Tan Sri Rafidah patut faham dengan sebaik-baiknya tentang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan itu.

Isu yang sering dimomokkan ialah terencatnya kemajuan negara jika penjawat awam tidak fasih berbahasa Inggeris. Yang lebih utama ialah keterampilan dan kecekapan pengurusan serta adanya fikiran yang tinggi dan kreatif dalam kalangan penjawat awam. Mahir berbahasa Inggeris tanpa adanya sifat kreatif dan berfikiran tinggi tidak membantu negara menjadi maju.

Seperkara lagi, adakah penegasan kepada penggunaan bahasa Melayu untuk urusan rasmi negara bererti kerajaan mengetepikan bahasa Inggeris? Hal sebaliknya sebenarnya yang berlaku. Pejuang bahasa Melayu menyaksikan keadaan yang agak berlebihan tentang usaha kerajaan dalam bahasa Inggeris sehingga menjejaskan bahasa Melayu. Program pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kuliah kursus sains dan teknologi dan beberapa bidang lain di IPT dalam bahasa Inggeris adalah antara contoh keprihatinan berlebihan kerajaan pada satu waktu dahulu kepada bahasa Inggeris. Apabila Perdana Menteri dan KSN sekarang menginsafi kesilapan kerajaan masa lalu, mengapakah YB Tuan Lim Kit Siang dan orang lain yang senada dengan beliau menjadi resah dan panas punggung?

Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penjawat awam dapat ditingkatkan melalui kursus dalam perkhidmatan dengan berasaskan modul bahasa Inggeris untuk kegunaan khas, seperti diplomatik dan perdagangan. Itulah yang dilakukan oleh negara-negara maju, bukan mengajarkan bahasa Inggeris untuk tujuan peragaan kehebatan berbahasa Inggeris setanding dengan penutur jatinya, tetapi untuk berjaya menggunakan bahasa Inggeris sebagai komunikasi yang berkesan dalam perundingan dan pengutaraan idea besar.

Berdasarkan pengalaman saya semasa ditugaskan sekitar lima tahun di Republik Rakyat China, lebih 100 bahasa asing diajarkan di Beijing Foreign Studies University tetapi bahasa utama dalam bidang diplomasi, pengajian, penyiaran dan lain-lain adalah menggunakan bahasa negara, iaitu bahasa Mandarin. Keadaan yang sama diamalkan di Korea Selatan dan Jepun serta banyak negara lain.

Perjuangan mengangkat martabat bahasa Melayu tidak sama sekali berkaitan dengan penafian akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa asing lain yang penting. Adakah YB Tuan Lim Kit Siang, Tan Sri Rafidah dan yang seangkatan dengan beliau berfikir bahawa pejuang bahasa tidak menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa lain ketika berinteraksi di peringkat antarabangsa? Usah memperlekeh kemampuan pejuang bahasa.

Saya menutup tulisan dengan menggunakan ayat yang sama yang diujarkan oleh YB Tuan Lim Kit Siang tetapi dengan seruan yang 360 darjah berlainan. Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mempunyai keberanian untuk melaksanakan dasar dan undang-undang negara, termasuk dalam soal dasar bahasa kebangsaan. Demikian juga, KSN mesti membuktikan bahawa di bawah pimpinannya, penjawat awam berlaku amanah dalam melaksanakan dasar-dasar negara, termasuklah Dasar Bahasa Kebangsaan.

_________________________

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!