3 Jun 2022, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia telah berlangsung dengan jayanya pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 di Dewan Bahasa dan Pustaka, anjuran Pejabat Perdana Menteri, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Tamadun dan Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, dengan kerjasama Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, telah menampilkan tokoh pelbagai bidang dari dalam dan juga luar negara untuk menyampaikan cadangan dan saranan bagi memperkasakan dan memperluas penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Simposium yang bertemakan “Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa” mempunyai kaitan dengan satu daripada inisiatif pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (2020-2030) ke-empat, iaitu mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama di ASEAN, dan menjadikan Malaysia sebagai pusat persuratan Melayu terulung di dunia. Pada kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan semoga segala cadangan yang dilontarkan akan dapat direalisasikan. Penulis percaya kemeriahan simposium ini tidak akan pudar bahangnya, malah semakin mekar dari sehari ke sehari.

Kepetahan berbicara dengan idea yang bernas dan logik misalnya dalam simposium yang disebutkan tadi akan menimbulkan rasa kagum kepada pembicara tersebut. Namun begitu, daripada manalah hadirnya pengetahuan tersebut jika tidak daripada aktiviti membaca dan menelaah buku. Dengan membaca, seseorang itu akan dapat mengetahui pelbagai ilmu yang bermanfaat yang umpama jambatan ilmu dan berasa seronok untuk berkongsi atau bertukar-tukar maklumat dengan pembaca lain. Aktiviti ini sangat menarik kerana bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan erat tetapi akan dapat meningkatkan kecerdasan emosi dan juga intelektual para pembaca. Selain itu, aktiviti ini akan melahirkan generasi yang berfikiran kritis, kreatif dan berinovatif yang mampu memberikan kesan kepada pembangunan intelek negara.

Hebatnya sesebuah negara itu apabila mempunyai masyarakatnya gemar mencari gali ilmu. Lupakan sebentar tentang konotasi negatif yang mengaitkan Malaysia dengan masyarakatnya yang hanya membaca tidak melebihi tiga jam seminggu atau yang tidak berminat membeli buku. Kita perlu fokus kepada anjakan paradigma serta ke arah yang lebih memotivasikan masyarakat. Transformasi kaedah bacaan secara digital dan mudah akses sebenarnya banyak membantu mengubah tabiat membaca masyarakat Malaysia.

Data statistik peminjaman bahan bacaan secara digital, tidak kira dalam bahasa Melayu ataupun bahasa asing menerusi u-Pustaka, Perpustakaan  Negara Malaysia (PNM) menunjukkan peningkatan dua kali ganda jumlahnya pada 2020, iaitu sebanyak 367 306 peminjaman berbanding dengan tahun sebelumnya. Hal ini bermakna, kempen “Sila Duduk di Rumah dan Baca Buku” oleh PNM ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah berjaya.

Selain itu, kajian firma Picodi juga menyatakan bahawa Malaysia adalah antara negara tertinggi yang progresif membeli buku secara dalam talian. Hal ini seharusnya diraikan tanpa perlu memberikan konotasi negatif atas keterujaan positif rakyat Malaysia. Hal ini kerana kita perlu mengakui bahawa mengubah sesuatu yang sudah menjadi kelaziman masyarakat itu adalah sukar. Memang betul, kadang kala kita perlu mengambil pendekatan mendesak untuk ke arah yang lebih baik, namun percayalah perkara ini akan lentur mengikut peredaran masa seperti alah bisa, tegal biasa.

Bagi meraikan dan memotivasikan masyarakat yang mencintai ilmu dengan membaca, terdapat pelbagai inisiatif daripada pihak kerajaan dan swasta. Baru-baru ini, pemberian Baucar Buku Semarak Membaca 2022 yang bernilai RM10 setiap satu sudah boleh ditebus mulai 1 April hingga 31 Ogos 2022 di bawah Program Semarak Seni Budaya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui PNM dan rakan-rakan industri buku Malaysia. Perkara ini dilihat sebagai satu dorongan yang sangat baik dan memberikan peluang kepada masyarakat memiliki buku yang digemari untuk dibaca di kedai-kedai buku terpilih seluruh negara.

Selain itu, bagi melestarikan bangsa yang hebat dan berjaya dengan membaca, program berskala besar diadakan seperti Pelancaran Program Nilam dan Program Jom Baca Bersama 10 Minit pada 22 April 2022 di seluruh negara secara serentak sebagai tanda komitmen semua pihak dan simbolik kepada rangsangan budaya terhadap kepentingan membaca dalam kitaran hidup. Kempen galakan membaca saban tahun juga dilihat sebagai suatu usaha tekal oleh pihak terlibat bagi memastikan masyarakat tidak berenggang dengan medium bacaan serta melahirkan masyarakat yang kaya dengan gedung maklumat.

Program jangka panjang yang dirancang bagi merealisasikan pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2021-2030 yang bermatlamat untuk  menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca bukanlah untuk mengubah secara drastik sikap masyarakat dengan timbunan bahan bacaan kerana hal ini akan cenderung kepada pesimistik. Justeru itu, amalan sikit-sikit lama-lama jadi bukit, iaitu biar sedikit namun bertambah dan konsisten menjadi fokus untuk menyeimbangkan tanggapan tersebut serta menghidupkan keseronokan dengan aktiviti yang tidak membebankan dan menjurus kepada motivasi membaca.

Seterusnya, bagi menyahut slogan #MALAYSIAMEMBACA, kita juga perlu menyemarakkan lagi kelangsungan industri buku. Bagi menyemai masyarakat berilmu yang bertaraf dunia, sokongan daripada industri buku sangat diperlukan untuk menerbitkan ilmu baharu dan juga terbitan buku terjemahan dari luar negara ke dalam bahasa Melayu agar masyarakat tidak ketinggalan memperoleh ilmu yang pelbagai. Oleh itu, bantuan dana penerbitan sama ada daripada pihak kerajaan ataupun swasta disalurkan kepada pemain industri buku untuk membantu meringankan kos penerbitan.

Dalam situasi menang-menang ini, tidak ada pihak yang akan menanggung kerugian kerana semua lapisan masyarakat akan dapat menerima tebaran ilmu tersebut. Kita perlu tanamkan dalam diri bahawa bangsa berjaya ialah bangsa yang membaca. Oleh itu, rasa waswas perlu dinyahkan dan mengambil tindakan berani dengan membuat pelaburan yang tinggi terhadap industri buku. Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan pada 3 Jun hingga 12 Jun 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur merupakan antara platform yang perlu disokong oleh masyarakat Malaysia.

Aktiviti lain yang lazim dan perlu dilakukan adalah seperti program bedah buku, bicara ilmu, wacana dan debat mengenai karya agung atau karya terkenal akan mampu mencaknakan minda masyarakat. Secara tidak langsung, masyarakat akan berusaha meneroka ilmu dan mencabar pemikiran aras tinggi masing-masing. Hal ini suatu petanda yang baik dalam memupuk dan membugarkan minda agresif masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan sekali gus membentuk kematangan dalam melontarkan sesuatu idea apabila diminta.

Penulis melihat pengaruh media sosial sebagai medan penerangan yang perlu digunakan dengan semaksimumnya untuk menyebarluaskan aktiviti galakan membaca dalam kalangan masyarakat. Kini, telefon pintar seakan “pendamping terbaik” kepada masyarakat. Oleh itu, pihak yang terlibat perlu mengambil peluang untuk menguar-uarkan aktiviti yang telah dirancang kepada masyarakat. Namun demikian, aktiviti tersebut mestilah sesuatu yang bercorak kreatif dan interaktif seiring dengan kecanggihan teknologi agar masyarakat bukan sahaja fokus kepada aktiviti membaca bahkan mendapat pengetahuan tentang perkembangan teknologi.

Bangsa hebat dan berjaya dengan amalan membaca tidak akan menjadi kenyataan jika masyarakat Malaysia tidak sama-sama berganding bahu mencapai objektif tersebut. Masyarakat yang terpimpin akan mudah menyedari dan memberikan tindak balas positif terhadap sesuatu perancangan. Janganlah bersikap acuh tak acuh terhadap setiap usaha hebat yang dilakukan oleh pelbagai pihak kerana sudah tentu perkara yang dilakukan akan memberikan kemaslahatan kepada semua. Oleh itu, jadikanlah amalan membaca sebagai gaya hidup kerana anda semua ialah bangsa yang hebat dan berjaya. Tanpa ilmu hati akan mati.

 

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.