Oleh Mimi Musa
5 Jun 2022, 20:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Pada hari ini, Bilik Kuala Lumpur, di Aras 5, World Trade Center menjadi tumpuan hampir 100 orang peserta Seminar X: Bermula Dengan Apa yang Ada di Tangan. Acara ini berlangsung bagi mengisi pelbagai aktiviti sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung pada 3 Jun hingga 12 Jun 2022.

Kira-kira 100 peserta menghadiri Seminar X: Bermula dengan Apa yang Ada di Tangan.

“Bahasa ialah alat mengukur kebijaksanaan seseorang,” tegas Puan Suhaili Ikhsan, dalam slot pertama seminar yang bertajuk “Mencipta Hasil Menggunakan Modal Diri”. Tambahnya lagi, walaupun seseorang itu tidak menjalani pendidikan formal di sekolah, kebijaksanaannya dapat dilihat melalui bahasa yang diungkapkan dan perkara yang diperkatakannya.

Dalam seminar itu, beliau memberikan beberapa contoh teknik bahasa persuasif yang banyak menggunakan konotasi positif, menggunakan bahasa yang jelas dan mudah difahami, serta menggunakan gaya bahasa futuristik seperti akan, supaya dan sehingga.

Penulis buku Kod Kepimpinan Perempuan yang diterbitkan oleh PTS Publication ini telah berkongsi empat teknik untuk meningkatkan modal diri. Menurut Puan Suhaili, perkara pertama yang harus ditekankan ialah fokus kepada ketampanan sosial, iaitu karisma diri. “Karisma diri kita akhirnya akan mempengaruhi orang lain seterusnya mencipta hasil yang baharu”, ujar beliau.

Teknik kedua ialah pendidikan, iaitu ilmu yang ada pada diri. Seterusnya, bakat dan kepandaian yang dikuasai secara mendalam dan yang terakhir ialah nilai yang ada dalam diri  yang diukur dengan menilai manfaat yang telah diberikan kepada orang lain.

Sehubungan dengan itu, para pengunjung PBAKL bolehlah mendapatkan buku penulisan beliau bagi mempelajari pelbagai perkara penting dan menarik mengenai pembangunan diri terutamanya berkenaan dengan kepimpinan wanita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.