6 Jun 2022, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menganjurkan sesi Wawancara Sofa Putih pada pukul 1.00 tengah hari tadi di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan topik menarik “Bahasa Melayu: Kukuh di Dalam, Meluas di Luar”.

Memulakan sesi wawancara tersebut, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong menyatakan bahawa semangat dan momentum perjuangan bahasa Melayu pada hari ini berada pada skala lapan daripada 10 kerana kebanyakan masyarakat begitu teruja dengan gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara selain daripada bahasa kedua Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagaimana yang telah dilafazkan oleh YAB Perdana Menteri.

Semangat perjuangan ini penting untuk diwartakan sebagai satu dasar negara  dan tidak cukup sekadar hanya menjadikannya sebagai agenda negara sahaja. Kita perlu mencontohi negara jiran kita, Indonesia yang mewartakan kewajipan kepada setiap Presiden negara tersebut mengantarabangsakan bahasa Indonesia pada tahun 2009.

Tambahnya lagi, Malaysia tidak mempunyai budaya terus membina sesuatu agenda yang diangkat tetapi hanya budaya terus ganti yang menjadikan negara ini masih kekal di takuk lama dan tidak akan ke mana-mana.

Beliau juga berkata, masyarakat tidak ada jati diri atau identiti sehingga membiarkan bahasa Melayu dilacurkan. Situasi ini juga menunjukkan bahawa Malaysia gagal untuk membentuk sebuah negara bangsa kerana hanya 80 peratus yang mengangkat martabat bahasa Melayu dan selebihnya bukan sahaja tidak peduli bahkan menentang perjuangan tersebut.

Sebagai warganegara, pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu sepatutnya bersifat sukarela dan bukannya seperti sekarang ini yang lebih berbentuk paksaan. Bahkan, kita juga boleh melihat ada nya bantahan daripada tokoh-tokoh Melayu sendiri tentang gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Situasi ini merupakan bukti kegagalan kita kerana orang Melayu sendiri menentang pemartabatan bahasa Melayu.

Menurut beliau, aspek ketulenan bahasa Melayu sangat penting dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara ini. Kebanyakan masyarakat negara ini kekurangan jati diri dan lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa lain berbanding dengan menggunakan bahasa Melayu tulen. Contohnya, kebanyakan masyarakat pada hari ini lebih gemar menggunakan perkataan “deposit” berbanding dengan perkataan “cengkeram”, “iftar” berbanding dengan “berbuka puasa” dan lain-lain lagi.

Menutup perkongsiannya, beliau turut menyatakan bahawa sikap orang Melayu sebagai penutur jati bahasa Melayu itu perlulah diubah. Beliau mengemukakan teori, iaitu orang Melayu Malaysia bukan kelompok etnobahasa dan berharap agar teori tersebut adalah salah. Hal ini kerana etnobahasa akan bermati-matian memperjuangkan bahasanya dan tidak sesekali memperlekeh dan mempersendakan bahasa tetapi sikap ini tidak ada dalam diri orang Melayu di negara ini.

Para panel dan pemudah cara ketika bersiaran secara langsung.

Menurut Pegawai Khas Perdana Menteri, iaitu YBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff yang merupakan ahli panel kedua pula menyatakan bahawa perjuangan memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walaupun hanya pada skala lapan daripada 10, tetapi beberapa komponen penting telah terlibat dalam perjuangan tersebut. Antaranya termasuklah Pejabat Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, para penjawat awam dan lain-lain lagi.

Jadi, saya melihat polisi pemerkasaan bahasa Melayu tidak akan menjadi perkara yang bersifat sementara sahaja seperti yang dibimbangi oleh segelintir masyarakat. Walau bagaimanapun, kita memerlukan perancangan yang lebih teliti dan rapi berkaitan dengan setiap polisi untuk memperkasakan bahasa Melayu.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong supaya agenda ini menjadi satu dasar dan diinstitusikan agar jika berlakunya perubahan pada peringkat kepimpinan negara, usaha pemartabatan bahasa Melayu tidak akan terkesan.

Kita juga perlu mewujudkan insentif bagi menjadikan bahasa Melayu menarik untuk digunakan oleh masyarakat selain hukuman yang akan dikenakan sebagaimana cadangan dalam pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau juga berkata, antara resolusi dalam simposium bahasa Melayu yang berlangsung baru-baru ini ialah jika kerajaan benar-benar mahu merealisasikan pemartabatan bahasa Melayu, kesilapan mesti diubah dan dibetulkan.

Walaupun terdapat segelintir orang Melayu yang menentang agenda pemartabatan dan pemerkasaan Melayu, jumlahnya kecil dan penentangan tersebut juga mampu menyemarakkan lagi semangat perjuangan pihak yang ingin memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.

Menurut beliau, segala kritikan yang disuarakan akan diambil perhatian termasuklah perkara yang menyatakan bahawa bahasa Indonesia sewajarnya menjadi bahasa rasmi ASEAN berbanding dengan bahasa Melayu. Dalam simposium yang berlangsung baru-baru ini juga, para pembentang dari negara Indonesia turut mengakui dan bersetuju bahawa bahasa Indonesia berasal daripada bahasa Melayu dan menyanggah kenyataan awal oleh seorang menteri dari negara tersebut.

Kita mungkin perlu meminda akta pertubuhan bagi memastikan setiap pertubuhan yang ingin didaftarkan di negara kita selepas ini diwajibkan menggunakan kata singkatan dalam bahasa Melayu. Bagi akronim pula, kementerian yang menggunakan bahasa Inggeris juga boleh dipinda melalui aspek pentadbiran.

Tambahnya lagi, segala langkah untuk pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu ini telah dikumpulkan dalam resolusi simposium bahasa Melayu yang berlangsung baru-baru ini. Beliau turut menyatakan bahawa akan ada perubahan besar dan drastik dalam usaha memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu selepas ini namun masih belum boleh diumumkan secara terbuka kepada umum. Pemartabatan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu sebenarnya usaha jitu YAB Perdana Menteri dan memerlukan sokongan daripada masyarakat.

Mengakhiri sesi Wawancara Sofa Putih, pemudah caranya, Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar berkata, beliau kurang gusar tentang orang Melayu yang bersifat etnobahasa kerana melihat bahasa ini elemennya budaya. Jika budayanya baik, maka orang Melayu menjadi etnobahasa yang baik. Orang Melayu perlu diperkukuh institusinya dengan pemimpin yang bagus dan budaya yang betul untuk menjadikan bangsa yang paksinya etnobahasa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.