Oleh Periasamy Muthan
7 Jun 2022, 14:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkah kerajaan pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk memartabatkan bahasa Melayu hingga ke peringkat antarabangsa sewajarnya disokong dan bukannya ditepis begitu sahaja. Kita perlu sedar bahawa pihak kerajaan berusaha untuk menghidupkan kembali pusaka bangsa, di samping mendukung apa-apa yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Tanpa mengira bangsa, agama ataupun ideologi politik, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga dan menyokong kuat perjuangan Perdana Menteri dalam mengangkat bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN. Hujahan bernas Yang di-Pertua Dewan Negara dan Pengasas Yayasan Budi, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, seorang negarawan dan pejuang tersohor bahasa Melayu, iaitu tidak ada sebuah negara di dunia yang akan jatuh mundur kerana memperjuangkan bahasa kebangsaannya sememangnya tepat sekali.

Berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara tercinta ini. Walaupun bahasa Melayu ialah bahasa pertuturan kaum Melayu, tetapi dari segi kesahan dan moralnya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi hak semua rakyat Malaysia. Sama ada orang Melayu ataupun orang bukan Melayu, mereka haruslah mengutamakan dan mendahulukan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi, lebih-lebih lagi dalam urusan rasmi.

Kita tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris yang digunakan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan meluasnya akibat daripada kesan penjajahan British sekian lama dan juga sebagai  bahasa ilmu atau komersial dewasa ini. Namun begitu, hal tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membelakangi kedudukan dan peranan bahasa kebangsaan di Malaysia. Sebaliknya, rakyat perlu yakin bahawa bahasa Melayu mempunyai kemampuan jitu untuk menjadi bahasa ilmu dan komersial sekiranya pihak kerajaan dan rakyat mengutamakan penggunaannya baik dalam urusan seharian mahupun di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, masih wujud segelintir pihak yang masih menyangkal dan mencurigai kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi sehinggakan ada yang mendakwa bahawa kononnya penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa akan merencatkan dan meranapkan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara Malaysia yang terbina sejak merdeka. Ada juga yang mengkritik secara “pedas” usaha pihak-pihak yang berusaha mengangkat bahasa Melayu ke persada antarabangsa sebagai “orang gila”. Persoalannya, adakah penggunaan bahasa kebangsaan boleh memundurkan pembangunan ekonomi sesebuah negara?

Pada hari ini, kita dapat melihat negara-negara seperti Jepun, Korea, Rusia, China, Jerman, Finland, Perancis, Belanda dan sebagainya masih terus mencipta pelbagai kejayaan sehingga muncul sebagai jaguh ekonomi. Adakah mereka berjaya disebabkan oleh penggunaan bahasa Inggeris yang bukannya bahasa kebangsaan mereka? Sudah tentunya tidak sama sekali! Negara-negara tersebut tetap mendaulatkan bahasa kebangsaan masing-masing dan menggunakannya secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan, baik di peringkat nasional, mahupun di peringkat global.

Bagi rakyat negara-negara ini, bahasa kebangsaan dilihat sebagai penyuntik semangat untuk mereka terus berusaha dan bekerja keras sehingga maju dan mengatasi negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komersial. Justeru itu, dakwaan kononnya penggunaan bahasa Melayu di Malaysia akan menghalang pembangunan ekonomi  Malaysia adalah tidak berasas, malah tidak masuk akal sama sekali.

Namun begitu, dalam keghairahan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, penggunaan bahasa Inggeris tidak seharusnya ditolak sama sekali. Peluang mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa lain harus diteruskan kerana mempelajari pelbagai bahasa adalah aset tambahan.

Pada masa yang sama, kerajaan serta pihak yang terlibat dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu harus memastikan untuk tidak mengaitkan bahasa Melayu, yang sudah diterima dan diakui sebagai bahasa kebangsaan dengan sesuatu kaum, kebudayaan serta kepercayaan agama. Kita perlu sedar bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan hak dan pusaka nasional rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Yang penting dan diperlukan pada ketika ini ialah rakyat perlu berasa bangga serta yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu, bukan sahaja sebagai bahasa perhubungan malah sebagai bahasa ilmu. Pakar-pakar dalam pelbagai bidang seperti teknologi, perubatan, sains, sosial dan sebagainya perlu menghasilkan buku dalam bahasa Melayu untuk dijadikan sumber pendidikan dan rujukan di negara ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka juga harus mempertingkatkan peranannya dalam penghasilan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu untuk pembacaan orang ramai. Apakah kita sudah lupa akan sejarah kononnya negara al-Andalusia yang wujud sekitar abad ke-7 hingga ke-14 telah menghasilkan banyak karya sains dan teknologi dalam bahasa mereka yang bukannya bahasa Inggeris, terutamanya dalam bidang trigonometri, astronomi, pembedahan, farmakologi dan agronomi sebelum penggunaan   bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.

Sehubungan dengan itu, pegawai kerajaan serta diplomat sebagai pegawai barisan hadapan yang bertugas di luar negara perlulah mengutamakan penggunaan bahasa Melayu bersama dengan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi untuk menarik perhatian orang luar terhadap bahasa Melayu. Apakah kerajaan yang berhasrat mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik di peringkat antarabangsa akan menyediakan dan menempatkan pegawai-pegawai yang mahir dalam bahasa Melayu serta Inggeris di pejabat-pejabat kerajaan di luar negara? Apakah kerajaan bersedia melalui paradigma baharu seiring dengan hasrat kepimpinan kerajaan dalam usaha pelantikan pegawai-pegawai diplomat serta kakitangan yang bertugas di luar negara yang mewakili kerajaan Malaysia dalam menjayakan usaha pemartabatan bahasa Melayu?

Pendek kata, usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN akan berjaya sekiranya rakyat mengubah minda dan pemikiran mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu, sambil kerajaan mengambil daya usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi serta ilmu seiring dengan peredaran masa dan keperluan zaman.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!