11 Jun 2022, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Buku Revolusi Bahasa dan Asas Tamadun memperlihatkan perkembangan sejarah bahasa dalam tamadun awal manusia menerusi bukti sejarah yang ditinggalkan seperti batu bersurat epik Gilgamesh, yang berusia sekitar 4000 tahun Sebelum Masihi. Demikian menurut YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob, yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Falsafah Tatabahasa Arab yang berkongsi banyak maklumat menerusi buku tersebut.

YBhg. Profesor Dr. Solehah Yaacob ketika membicarakan buku tulisannya.

Tambahnya lagi, menerusi bukti yang ada, penggunaan bahasa Mesopotamia terawal, iaitu bahasa Akkadiah yang ditulis dalam tulisan paku (Mismariyyah) dapat dikesan. Melalui tulisan yang terdapat pada batu bersurat tersebut, bahasa dan tulisan mengalami proses evolusi sehingga lahirnya bahasa al-Quran (bahasa Arab) dan dikenal pasti tamadun bangsanya. Ahli sejarah bahasa juga mempercayai bahawa evolusi tulisan dan kata dalam bahasa berlaku seiring dengan perubahan pemikiran umat dan bangsanya ketika itu.

Generasi baharu perlu didedahkan kepada sejarah nabi. Justeru, kita perlu memberikan maklumat yang jelas kepada generasi baharu supaya mereka tidak terpesong dengan maklumat yang diberi oleh Barat yang tidak benar. Terjemahan bahasa Arab yang dibuat sebelum ini banyak yang tidak betul dan menyebabkan banyak fakta yang terpesong.

Menurutnya lagi, kemunculan para nabi sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW membuktikan kebenaran agama tauhid Allah SWT menerusi suhuf Ibrahim, Zabur, Taurat, dan Injil. Dengan kata lain, buku ini cuba membongkarkan maklumat silam tentang asal usul bahasa al-Quran, iaitu bahasa Arab Fushah yang berkait rapat dengan tamadun bangsanya.

Majlis “Bicara Buku Revolusi Bahasa dan Asas Tamadun” yang berlangsung di Bilik Kuala Lumpur, Aras 5, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada pukul 12.00 tengah hari tadi dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Bahasa. Penganjuran majlis ini yang bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur turut menampilkan Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Buku Sekolah sebagai pemudah cara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP), YM Tengku Fuziah Ku Mat (Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Jabatan Penerbitan DBP), ahli akademik, mahasiswa universiti dan para pengunjung pesta buku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.