Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Bangi – Sejajar dengan saranan dan hasrat Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa rasmi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pelbagai wacana yang berkaitan dengan pengantarabangsaan bahasa Melayu giat berlangsung mutakhir ini. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir pihak yang masih ragu-ragu terhadap kemampuan pengantarabangsaan bahasa Melayu.
Sehubungan dengan itu, Institusi Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan wacana yang bertajuk “Keantarabangsaan Bahasa Melayu: Bukti Sejarah”, yang disampaikan oleh Profesor Antarabangsa Tersohor, iaitu Prof. Dr. James T. Collins dari Institut Kajian Etnik (KITA), UKM pada pagi tadi.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM, Prof. Madya Karim Harun pula bertindak selaku pemudah cara bagi wacana ini yang turut disiarkan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan laman sosial Facebook ATMA. Yang turut hadir dalam program wacana tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang juga merangkap Pengarah ATMA, iaitu YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.
Bagi prakata bahasa Melayu, Prof. Dr. James memetik kenyataan daripada seorang profesor Indonesia, iaitu Prof. Dr. Anton Moeliono yang menyebut “Bahasa Indonesia masih sama dengan bahasa Melayu dan kita tidak akan jujur jika hendak mengatakan bahawa bahasa Indonesia bukan bahasa Melayu lagi”. Sejarah pula merujuk sesuatu yang harus ada dokumentasi sama ada yang ditulis atau dirakam.
Beliau turut menerangkan tentang konsep kosmopolis Sanksrit yang diutarakan oleh Profesor Pollock pada tahun 2006. Kosmopolis itu membawa maksud sesuatu lingkungan budaya, politik dan astetik yang jauh lebih besar daripada hanya satu negara atau wilayah. Menurut Prof. Pollock, kosmopolis Sanskrit bergerak dari Asia Selatan ke Asia Tenggara. Sehubungan dengan itu, beliau ingin melihat impak kosmopolis Sanskrit kepada masyarakat di kepulauan Asia Tenggara.
Tambahnya lagi, pada tahun 385, batu prasasti telah dipahat dalam bahasa Sanskrit di tenggara Pulau Borneo dan merupakan bahasa Sankrit pertama yang ditemui di seluruh kepulauan alam Melayu. Permulaan sejarah bahasa Melayu bermula sejak 1600 tahun lalu dengan penemuan beberapa batu prasasti seperti Prasasti Talang Tuwo dan Prasasti Kedukan Bukit. Sudah terbukti bahawa sejak zaman tersebut, bahasa Melayu sudah ditulis, dibaca dan digunakan untuk mendokumentasikan situasi politik di Sumatera Selatan. Namun begitu, pada waktu itu, tulisan Sanskrit dipinjam untuk menulis bahasa Melayu.
Bahasa Melayu sudah sampai di Manila pada tahun 900 yang dibuktikan melalui sekeping tembaga yang ditulis dalam bahasa Melayu dan baru ditemui pada tahun 1987. Penemuan ini menjadi bukti bahasa Melayu sudah menjadi bahasa antarabangsa walaupun masyarakat di Filipina berbahasa Tagalog.
Selanjutnya, penerangan beliau beralih pula pada abad ke-16. Pada masa itu, telah ada surat diplomatik yang ditulis dalam bahasa Melayu menerusi tulisan Jawi dan merupakan surat tertua dalam bahasa Melayu. Surat tersebut merupakan surat yang diutus oleh Sultan Abu Hayat di Pulau Ternate kepada Raja John III, dari Portugal. Walaupun masyarakat di pulau tersebut tidak menggunakan bahasa Melayu Polinesia tetapi hubungan diplomatiknya di peringkat antarabangsa menggunakan bahasa Melayu.
Pada tahun 1521, seorang rakyat Itali, Antonio Pigafetta telah sampai di Pulau Tidore dan mencatatkan kata-kata dalam bahasa Melayu walaupun bahasa masyarakat di sana bukanlah menggunakan bahasa yang bukan sekeluarga dengan bahasa Melayu. Prof. Dr. James turut menganggap bahawa daftar ini merupakan daftar kata yang paling tua untuk bahasa Melayu.
Pada abad ke-17 pula, telah banyak surat dalam bahasa Melayu yang dijumpai. Antaranya termasuklah Perjanjian Bongaya antara kerajaan Belanda dengan kerajaan Makassar. Perjanjian tersebut tidak ditulis dalam bahasa Makassar sebaliknya menggunakan bahasa Melayu. Pada tahun 1623, warganegara Belanda telah menulis kamus bahasa Belanda-bahasa Melayu dan bahasa Melayu-Belanda di Pulau Ambon dan bukannya di Melaka. Kamus tersebut digunakan oleh orang-orang Belanda yang datang ke Kepulauan Melayu. Kedua-dua bukti yang ada jelas menunjukkan bahasa Melayu sudah pun menjadi bahasa antarabangsa pada masa tersebut.
Pada abad ke-18, terdapat surat diplomatik yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh Sultan Nuku kepada Gabenor Inggeris di Bengkulu (Sumatera). Pada tahun 1780, wujudnya kamus Belanda-Melayu-Portugis bagi kegunaan orang di Jakarta dan Melaka pada waktu itu.
Tambahnya lagi, pada abad ke-19, iaitu pada tahun 1872, terdapat satu surat yang ditulis oleh imam di sebuah kawasan terpencil di Kampung Walai, Aru, Maluku Tenggara dalam bahasa Melayu yang bertulisan Jawi. Menurut Sarjana Evolusi Inggeris, iaitu Alfred Wallace, walaupun masyarakat di kawasan itu masih tidak bertamadun, sebenarnya mereka telah mempunyai tulisan. Surat tersebut menjadi bukti bahawa bahasa Melayu telah tersebar jauh hingga ke kawasan terpencil dan bukannya hanya menjadi bahasa antara raja dengan kerajaan semata-mata. Pada tahun 1819, terhasilnya kamus bahasa Melayu yang diterbitkan di London.
Pada abad-20, tiba-tiba bahasa Melayu bertukar menjadi bahasa Indonesia berdasarkan kandungan Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928. Pada tahun 1943, sebuah buku yang bertajuk Malay. A Guide to the Spoken Language telah diterbitkan untuk kegunaan askar Amerika yang menyerang orang Jepun di Pulau Jawa dan sekitarnya. Sebuah kamus, iaitu A Malay-English Dictionary: Romanised telah diterbitkan di Greece pada tahun 1932.
Sudah lebih dari 500 tahun bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa dan bahasa Melayu sudah pun berstatus bahasa antarabangsa berdasarkan segala bukti sejarah yang ada. Walau bagaimanapun, usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu kini lebih bertumpu kepada memberikan kesedaran dan keyakinan kepada penutur bahasa Melayu tentang keupayaan bahasa ini menjadi bahasa antarabangsa.
Beliau turut memetik kata-kata F. Valentyn pada tahun 1726, iaitu “Bahasa Melayu sudah digunakan di seluruh Nusantara dan di semua negara Timur sebagai sebuah bahasa yang difahami di mana-mana dan oleh sesiapa pun serta di bandar-bandar perdagangan dan pedalaman Teluk Parsi dan sejauh Filipina.