14 Jun 2022, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Budaya sering kali dikaitkan dengan cara hidup atau amalan sesebuah masyarakat. Di Malaysia, terkandung pelbagai jenis budaya kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik. Budaya boleh juga didefinisikan sebagai hal yang berkaitan dengan akal budi. Akal budi menurut pendapat Tenas Effendy dalam bukunya yang bertajuk Tunjuk Ajar Melayu ialah berfikir adalah cerminan orang yang berakal budi. Menurut Tenas, kearifan berfikir orang Melayu tidak dapat dilepaskan daripada budaya Melayu yang menggalakkan orang untuk berfikir, menggunakan akal dan hati nuraninya dengan cermat.

Rohana Yusof melalui bukunya yang bertajuk Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pula menyatakan bahawa istilah budi membawa maksud asli, pertama, sejati dan dipandang sempurna manakala daya pula dimaksudkan sebagai akal, jalan fikiran dan ciptaan.

Begitu juga dengan kata-kata daripada seorang tokoh budayawan, iaitu Dato’ A. Aziz Deraman tentang konsep budaya, iaitu “Budaya itu adalah satu cara hidup kita, yakni meliputi seluruh cara hidup satu-satu masyarakat baik dalam pengumpulan daripada idea dan perasaan, kepercayaan, lambang, nilai dan bentuk kemasyarakatan serta objek kebendaan yang diwariskan turun-temurun”.

Dato’ A. Aziz juga memberikan penekanan terhadap beberapa aspek budaya. Antaranya termasuklah sistem idea, perasaan kelompok, nilai dan kepercayaan masyarakat tersebut, lambang serta objek kebendaan ciptaan masyarakat tertentu, selain mengaitkan budaya dengan konsep warisan masyarakat. Menurut beliau, budaya adalah kesemua perkara yang difikirkan, dibuat dan dimiliki sebagai ahli masyarakat yang meliputi seluruh cara hidup masyarakat. Bagi orang Melayu yang sememangnya berasal dari negara ini sudah terbiasa dengan amalan budaya yang telah dipraktikkan oleh ahli keluarga mereka secara turun-temurun.

Tidak kira dari segi cara hidup, makanan, pakaian, permainan dan lain-lain budaya, hal tersebut sudah menjadi serasi. Namun begitu, hal ini berbeza daripada pengalaman yang dilalui oleh penulis apabila melihat dan mendengar akan reaksi dan pandangan yang diberikan oleh para pelajar luar negara yang datang untuk mempelajari bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

ATMA juga merupakan antara institut terawal dibina di universiti watan tersebut yang bermula sebagai Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) yang telah ditubuhkan pada 1 Disember 1972. Tujuan penubuhan ATMA adalah untuk menawarkan program pengajian pascasiswazah, iaitu Sarjana Persuratan dan Doktor Falsafah, yang menjalankan penyelidikan dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu serta menjadi pusat rujukan bidang tersebut.

Penukaran nama IKKBM kepada ATMA pada tahun 1992 telah meluaskan kajian ATMA dengan penambahan beberapa tujahan baharu. Yang terkini, ATMA telah dilantik sebagai peneraju Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Asia oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Satu daripada kursus yang ditawarkan di ATMA adalah berkenaan dengan Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu (KIKBM) bagi pelajar luar dan dalam negara. KIKBM telah diwujudkan pada tahun 1999 di bawah program Consortium of Teaching Indonesia-Malaysia (COTIM). Bermula dengan hanya dua orang pelajar dari Amerika Syarikat, kini sudah memiliki lebih daripada 300 orang pelajar dari seluruh dunia, seperti  Australia, Kanada, England, Finland, Jerman, Jepun, Hong Kong, Iran, Korea Selatan, Zew Zealand, Filipina, Perancis, Singapura, dan Vietnam, telah mengikuti kursus ini.

KIKBM turut mendapat pengiktirafan daripada Constanz University of Applied Sciences (Jerman), La Trobe University, Melbourne (Australia), Tokyo University of Foreign Studies (Jepun), Setsunan University (Jepun) dan Korea Tourism Organization (Korea Selatan) sebelum ini.

Bermula pada tahun 2022, KIKBM sudah mula menerima pelajar baharu dari luar negara untuk kelas Keterampilan Bahasa Melayu secara bersemuka. Di ATMA, kursus bahasa Melayu tidak hanya dipelajari melalui pembelajaran dalam kelas semata-mata namun para pelajar turut diberi peluang untuk merasai sendiri cara hidup dan mengenali budaya masyarakat Melayu secara fizikal.

Bertepatan dengan seruan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang berusaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, maka usaha menyebarkan bahasa Melayu tidak sekadar pembelajaran secara formal sahaja. Usaha ini seharusnya diselangi dengan pengetahuan budaya dan warisan masyarakat tersebut. Hal ini demikian kerana melalui budaya, pembelajaran menjadi lebih efektif dan berkesan.

KIKBM, ATMA turut menganjurkan Program Selami Budaya Masyarakat Melayu yang melibatkan para pelajar yang berasal dari Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun. Melalui kursus ini, pelajar antarabangsa yang berdaftar turut diberikan kesempatan merasai sendiri suasana kehidupan masyarakat Melayu di kawasan perkampungan yang sebenar. Pada kali ini, lokasi yang menjadi pilihan ialah sebuah kampung di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Pemilihan Kampung Sungai Dua Besar ini atas dasar hubungan erat keluarga angkat di kampung tersebut dengan KIKBM, ATMA sejak tahun 2017. Sebelum ini, penulis pernah mengadakan program kemasyarakatan di kampung tersebut sambil mengkaji dialek yang digunakan oleh masyarakat sekitar kampung itu dan akhirnya, hubungan tersebut menjadi semakin rapat.

Pada kali ini, terdapat sedikit kelainan kerana program ini diadakan berdekatan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Di sana, pelajar antarabangsa berpeluang mempelajari cara pembuatan dan penyediaan lemang tradisi Negeri Sembilan. Mereka bukan sahaja belajar untuk berinteraksi dengan orang kampung secara verbal dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya malah dapat memahami gastronomi Melayu melalui tatacara penghasilan lemang tradisi masyarakat Melayu itu sendiri.

Pelajar antarabangsa berpeluang mempelajari cara pembuatan dan penyediaan lemang tradisi Negeri Sembilan.

Pelajar antarabangsa, Robert Hoegerl (Jerman) dan Brian (USA) mengatakan bahawa di negara mereka tiada masakan yang dimasak dengan menggunakan buluh seperti lemang. Hal ini demikian kerana di Jerman agak sukar untuk mendapatkan buluh seperti buluh lemang yang ada di Malaysia. Di sebalik penghasilan lemang tradisi ini terkandung pelbagai falsafah yang mendasari nama dan cara pembuatan lemang itu sendiri.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa istilah “lemang” tercipta daripada sejenis makanan orang asli Negrito di Kelantan pada satu ketika dahulu. Selain itu, berdasarkan kenyataan Profesor Madya Datuk Paduka Dr. Rosli Saludin (Raja Teromba), istilah “melemang” dimulakan oleh suku Asli Temuan dan juga pada zaman Penghulu Naam sekitar tahun 1700. Namun begitu, setakat ini penghasilan istilah “lemang” belum lagi menemui kajian mengenainya. Apa-apa pun, kajian yang lebih mendalam harus dijalankan terlebih dahulu.

Aktiviti melemang yang dijalankan bersama-sama pelajar antarabangsa bukanlah sekadar memasukkan beras pulut dan santan semata-mata atau makan bersama-sama selepas membakar lemang itu. Namun begitu, secara ringkasnya, penulis cuba menghuraikan beberapa falsafah Melayu yang terselit di sebalik proses menghasilkan lemang dan berkongsi kepada para pelajar antarabangsa.

Proses memasukkan santan ke dalam buluh.

Lemang juga boleh melambangkan kemeriahan dan kegembiraan kerana juadah ini sering kali dihidangkan semasa sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Kebersamaan ketika membuat lemang itu diibaratkan seperti permuafakatan yang terjalin dalam sesebuah masyarakat mahupun keluarga kerana orang Melayu tidak lekang dengan cara hidup bermasyarakat, bergotong-royong dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Kandungan santan yang berlemak bersama-sama garam dan gula yang menyaluti beras pulut pula menunjukkan asam garam kehidupan yang dilalui oleh setiap insan yang bergelar manusia. Beras pulut di dalam buluh yang dibakar atau dipanggang juga menggambarkan sikap orang Melayu yang pada luarannya tampak keras tetapi masih mempunyai kelembutan dalam berbicara seperti lembutnya isi lemang yang sudah masak.

Setiap tafsiran manusia itu berbeza dan tafsiran penulis terhadap lemang juga sebegitu. Sambutan Hari Raya Aidilfitri kurang dirasai jika juadah lemang tradisi ini tidak dilengkapi dengan juadah utama, iaitu Rendang daging cili api yang asli dari Kuala Pilah. Hasil sentuhan resipi Azlina Ibrahim (anggota keluarga angkat ATMA), yang merupakan penduduk asal Negeri Sembilan membuatkan keenakan rendang tersebut menjadi sebutan dan buah mulut para pelajar antarabangsa yang menikmatinya.

Dalam memacu pemartabatan bahasa Melayu di negara-negara ASEAN, pengamatan dari sisi budaya masyarakat Melayu juga perlu diselitkan supaya pembelajaran bahasa Melayu menjadi lebih mudah dan berkesan melalui aktiviti di lapangan. Semoga lebih banyak aktiviti menyelami budaya masyarakat Melayu di negara ini dianjurkan supaya bahasa Melayu dapat diangkat seiring dengan budaya dan adat resamnya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.