15 Jun 2022, 19:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Kebangsaan Malaysia sudahpun berlalu beberapa minggu yang lalu, kobar dan semangat berkaitan dengan isu bahasa kebangsaan sentiasa mendapat tempat yang tidak bermusim di dada dan jendela media tempatan.

Pada hari ini, masih lagi menyala api dari satu zaman yang juga telah dipilih sebagai tema bersempena dengan sambutan hari ulang tahun DBP ke-66. Semarak bahasa dalam diri panel yang dipilih oleh penerbit BERNAMA Radio, iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ini terus sahaja membara dan menjanakan kuasa bahasa dengan begitu aktif sekali. Menerusi perkongsian dalam slot KARTINI yang bertajuk “Kepentingan Psikologi Bahasa dengan Jati Diri Bangsa” yang dikendalikan oleh penyampai Ziana Nasir dan Hanie Hamid, penampilan Dr. Jessica sebagai ikon bahasa sememangnya amat tepat.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw bersama-sama penyampai BERNAMA Radio, iaitu Ziana Nasir dan Hanie Hamid ketika bersiaran secara langsung.

Dalam perkongsiannya Dr. Jessica menjelaskan bahawa kesamaan inti pati minda yang dibangunkan oleh bahasa kebangsaan kepada generasi Keluarga Malaysia amat penting dalam membina jati diri bangsa Malaysia secara menyeluruh. Berdasarkan kajian beliau, inti pati minda ini merupakan bukti kesinambungan memori diri oleh setiap diri individu yang menjadi bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan etnik.

Memori diri yang berpusat kepada jati diri bangsa Malaysia yang berteraskan bahasa kebangsaan akan menjelmakan pula jati diri dari segi bahasa lakuan dan juga unsur dalaman seseorang bangsa Malaysia. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan inilah yang menjadi teras dalam membina inti pati minda bangsa Malaysia untuk mengukuhkan jati diri bangsanya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia mestilah didaulatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia tidak kira apa-apa pun latar belakang kerana hal ini membuktikan citra penghormatan tertinggi Keluarga Malaysia kepada Rukun Negara. Mendaulatkan bahasa kebangsaan ini tegasnya lagi adalah cerminan lahiriyah jati diri bangsa Malaysia.

Menurutnya lagi, pembelajaran terhadap kepatuhan kepada Rukun Negara juga merupakan paksi pembinaan pati minda rakyat Malaysia sejak mereka kecil lagi. Pemupukan semangat cinta akan Rukun Negara akan dapat direalisasikan apabila Keluarga Malaysia khususnya guru-guru memainkan peranan dengan lebih kreatif terhadap anak murid.

Tambahnya lagi, pendekatan daripada industri kreatif amat perlu bagi memastikan kelestarian usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Permintaan terhadap pembelajaran bahasa Melayu di luar negara ketika ini telah berkembang dengan pesat seperti yang berlaku di China dan di negara-negara lain juga.

Apabila kita di dalam negara tidak mengambil perhatian terhadap perkembangan ini malah memperkecilkan usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan, maka sudah pasti kita akan berdepan dengan lebih banyak halangan berbanding dengan kejayaan. Bahasa Melayu juga mempunyai impak ekonomi di dalam negara ini.

Beliau menyeru semua pihak agar mempunyai iltizam yang teguh untuk mengukuhkan minda dengan berteraskan bahasa Melayu dan citra sastera serta budaya tempatan. Sudah pasti hasrat menjelmakan citra budaya bangsa Malaysia yang unik ini akan dapat dilakukan.

Menerusi industri kreatif juga Anugerah Telenovela ialah satu daripada penganjuran anugerah berprestij yang mengiktiraf pengkaryaan dalam bahasa kebangsaan yang diadaptasikan kepada medium baharu. Sudah tentu usaha ini akan dapat menyemarakkan lagi penghargaan kepada bahasa Melayu dalam bidang industri kreatif. Menerusi penganjuran yang berpotensi diangkat ke peringkat antarabangsa, Malaysia akan dilihat sebagai perintis dalam menghargai karya-karya daripada buku yang menggunakan bahasa lain.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.