Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – “Api dari Suatu Zaman” yang terkandung dalam bait-bait lagu Dewan Bahasa, ciptaan Saiful Bahri dan seni kata oleh Sasterawan Negara Usman Awang, sering dinyanyikan oleh para karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Menurut YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP, ungkapan “Api dari Suatu Zaman”dapat dilihat dari dua sudut pandang, iaitu yang berkait rapat dengan isu kenegaraan dan perjuangan gerakan kesedaran sosial demi mendaulatkan bahasa Melayu pada peringkat yang lebih luas.
Tambah beliau, ekoran daripada hal tersebut, kegiatan bahasa dan persuratan tidak terhenti, malah dilihat semakin rancak dengan kemunculan pengarang-pengarang besar yang meniup semangat perjuangan kebangsaan. Selain itu, ada kaitannya dengan kemerdekaan Tanah Melayu yang berjaya meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan akhirnya tertubuhlah DBP. Beliau turut menegaskan bahawa persuratan tidak ditinggalkan dalam perjuangan kebangsaan.
Beliau turut menyatakan bahawa cabaran DBP adalah berkenaan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) yang pencapaiannya dilihat masih pada tahap yang tidak memuaskan. Tambahnya, beberapa strategi dalam memartabatkan, memantapkan dan memperkasakan bahasa Melayu, kesusasteraan dan persuratan bangsa dilaksanakan termasuklah melalui ketegasan dan peranan kepimpinan yang peka, sedar dan insaf serta berpegang teguh kepada aspirasi Perkara 152 Perlembagaan.
Selain itu, perlu ada tindakan pemantapan semula status pemartabatan bahasa Melayu melalui penegasan semula dasar bahasa kebangsaan dengan keazaman atau tekad politik (political will) yang baharu dan seterusnya oleh para pejuang bahasa dan perjuangan tokoh dengan mengikuti beberapa visi dan misi DBP untuk generasi pelapis DBP.
Kita perlu memahami sejarah dan erti sejarah itu tentang penubuhan DBP serta cabaran dan perjuangan kebangsaan untuk memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.
Selain itu, pemantapan jati diri ke arah kecintaan terhadap bahasa Melayu dapat ditangani dengan tiga perkara, iaitu bahasa, budaya dan agama. Oleh itu, masyarakat perlu memperteguhkan bahasa, sastera, dan budaya serta patriotisme dalam diri yang merupakan teras kepada jati diri kebangsaan.
Untuk memusnahkan sesuatu bangsa itu adalah dengan menghilangkan penghayatan sesuatu bangsa itu terhadap agamanya, iaitu iman dan melalui budayanya.
Demikianlah penerangan menarik daripada YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman dalam program Syarahan Bicara Tokoh yang berjudul “DBP: Api dari Suatu Zaman” anjuran Akademi DBP, yang diadakan pada pukul 2.30 petang di Dewan Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP. Moderator program ialah YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin.
Majlis yang berlangsung selama hampir tiga jam itu turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP), YBhg. Datuk Dr. Firdaus Abdullah (Mantan Ketua Pengarah DBP), YBrs. Dr. Haji Santrol Abdullah (Ketua Akademi DBP), Encik Azhar Mohamad Dora (Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik) dan karyawan DBP.