Oleh Azlina Ahmad
16 Jun 2022, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kubang Kerian – “Nenek saya tidak pandai membaca tetapi dia kenal lambang kipas, iaitu logo Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).” Demikian antara kata-kata menarik daripada Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Pemangku Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) sewaktu merasmikan program Bicara Santai Penerbitan Karya Ilmiah dalam Bahasa Melayu bersama-sama DBP di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan. Kenyataan beliau itu membuktikan kepentingan DBP sebagai institusi yang memacu kegemilangan bahasa Melayu semenjak sekian lama.

Profesor Dr. Shaharum Shamsudin mengajak seluruh warga USM untuk berkarya dengan DBP.

Program yang dianjurkan oleh Pejabat Pengarah Kampus Kesihatan, USM, yang berlangsung selama separuh hari ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada 100 orang peserta yang terdiri daripada warga kampus, termasuklah para pelajar. Program yang dilaksanakan secara bersemuka dan secara dalam talian ini menampilkan dua orang editor profilik dari Bahagian Majalah DBP, iaitu Puan Aninah Janang, Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah, dan Puan Yusaida Yusof, Editor Kanan Bahagian Majalah yang juga merangkap Editor Dewan Bahasa, telah memberikan perkongsian secara menyeluruh mengenai penerbitan artikel untuk majalah DBP.

Program yang berlangsung turut mendapat penyertaan daripada peserta secara dalam talian.

Dalam sesi pertama, Puan Aninah berkongsi maklumat tentang 11 buah majalah DBP, selain menyentuh secara ringkas mengenai platform digital DBP, iaitu JendelaDBP. Menurut beliau, semua majalah tersebut mempunyai tema khusus dan warga USM berpeluang untuk menulis artikel yang bersesuaian mengikut tema sesebuah majalah.

“DBP membuka banyak peluang kepada penulis untuk berkarya menerusi majalah bercetak atau JendelaDBP” – Aninah Janang

Sementara itu, semua warga USM juga digalakkan untuk menulis artikel ilmiah dalam bentuk santai untuk perkongsian dengan masyarakat awam seperti yang dinyatakan oleh Puan Yusaida. Semenjak beliau mengambil alih majalah Dewan Bahasa pada Januari 2021, beliau telah menukar konsep majalah tersebut supaya lebih mesra masyarakat dan tidak terlalu fokus kepada akademik semata-mata. Menurut beliau, sesuatu isu boleh diolah supaya bersesuaian dengan tema kebahasaan untuk majalah Dewan Bahasa.

Yusaida Yusof berkongsikan banyak panduan penulisan merentas 11 majalah DBP kepada peserta program.

Pada sesi akhir program, peserta turut berpeluang mengajukan beberapa soalan dan bertukar-tukar pandangan, malah yang lebih membanggakan, ada dalam kalangan peserta turut berpeluang menyerahkan hasil karya penulisan mereka yang berpotensi untuk diterbitkan. Ternyata program sebegini akan lebih mendedahkan lebih banyak warga USM untuk menghasilkan penulisan yang bermutu pada masa akan datang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!