17 Jun 2022, 19:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 memberikan idea kepada BERNAMA TV untuk mendedikasikan slot Ruang Bicara yang bertajuk “Bahasa dan Kualiti Insan”. Program yang dikendalikan oleh penyampai, Sherkawi Jirim pada pukul 9.00 malam tadi menampilkan Prof. Dr. Salmah Jan Noor Muhammad (Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia) dan YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (Profesor Madya di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang, yang juga pengasas Jurisprudens Watan).

Dr. Salmah Jan berkongsi maklumat tentang bahasa Melayu yang berkembang maju dengan pantas sehingga bertaraf bahasa lingua franca ketika era kegemilangan kerajaan pesisir pantai seperti kerajaan Funan, Majapahit dan Srivijaya. Kerajaan pesisir pantai yang berada di lokasi strategik telah memberikan sumbangan besar kepada tumbuhnya kerajaan yang lebih berpengaruh sehingga membentuk empayar yang mentadbir wilayah kerajaan yang lebih luas.

Kesemuanya bertitik tolak daripada sebuah kerajaan yang mempunyai ketatanegaraan yang berdaulat yang dipaksikan oleh bahasa yang menjadi komponen penting dalam menentukan bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi dan bahasa rasmi pentadbiran empayar tersebut.

Prof. Dr. Salmah Jan Noor Muhammad dan Sherkawi Jirim ketika membicarakan tentang bahasa dan kualiti insan.

Tambah beliau, empayar Kesultanan Melayu Melaka, Johor-Riau-Lingga dan Kerajaan Kedah ialah tiga empayar yang telah membuktikan kedaulatan bahasa itu berteraskan ketatanegaraan yang berdaulat dan unggul. Empayar yang berdaulat ini mempunyai hubungan diplomatik yang melibatkan urusan pentadbiran kenegaraan, ekonomi dan rakyatnya. Kesemua ini berlangsung dengan megah dan cemerlang disebabkan oleh penggunaan bahasa Melayu dan satu daripada teras dalam ketatanegaraan melalui naskhah atau teks yang dijadikan panduan dalam pentadbiran seseorang raja.

Kajian ketatanegaraan menerusi teks tersebut memang merujuk kualiti insan, iaitu raja yang berkuasa itu ialah raja yang bijaksana dalam menggunakan fikirannya yang sudah tentu memberikan kesan kepada akal dan lidah (bahasa).

YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ketika bersiaran secara dalam talian.

Sementara itu, YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi menjelaskan bahawa sudah wujud peruntukan undang-undang tentang bahasa seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia. Menerusi perlembagaan ini tegasnya lagi, sudah jelas kedudukan istimewa atau berdaulatnya bahasa Melayu dan sudah tentu polisi baharu yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri dan ditenagakan oleh sokongan semua khususnya Ketua Setiausaha Negara akan dapat merealisasikan usaha mendaulatkan bahasa Melayu ini.

Namun begitu, negara tetap berdepan dengan cabaran dari sudut kualiti amalan berbahasa kebangsaan. Oleh yang demikian, beliau memberikan saranan agar pendekatan pendidikan diperkasakan atau diupayakan dengan lebih dinamik supaya kualiti amalan berbahasa kebangsaan dalam kalangan Keluarga Malaysia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Tidak sewajarnya masih ada warganegara yang ketika ini tidak boleh berbahasa kebangsaan. Oleh yang demikian, mengupayakan PdP atau kaedah pembelajaran bahasa dengan lebih terancang dan sistematik perlu dilakukan agar generasi seterusnya akan secara automatiknya dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik, begitu juga bahasa asing yang menuntut pelibatan mereka kelak di arena industri masa depan.

Beliau juga mengesyorkan agar satu semakan secara berkala dilaksanakan di semua peringkat termasuklah dalam kalangan pemimpin kerana kesarjanaan seseorang itu dilihat daripada penguasaan bahasanya yang baik. Teknik penguasaan bahasa perlu diteliti semula agar kaedah yang paling berkesan dapat diaplikasikan kepada rakyat supaya penguasaan bahasa ini tidak dipandang ringan.

Tambahnya, penggubalan Akta DBP akan memperkukuh DBP sebagai badan penguasa bahasa bagi memastikan pematuhan dan pelaksanaan amalan berbahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.