20 Jun 2022, 17:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Antropomorfisme ialah metafora yang menggunakan kata atau bentuk lain yang mengaitkan ciri atau tingkah laku manusia kepada perkara bukan manusia. Antropomorfisme ini boleh ditafsirkan secara berbeza-beza berdasarkan masyarakat yang mempunyai budaya yang berbeza-beza.

Unsur antropomorfisme merujuk unsur keserupaan atau persamaan antara ciri atau sifat hakikat manusia dengan sesuatu unsur bukan manusia, seperti haiwan, tumbuhan, fenomena alam (angin dan ribut), konsep abstrak (kesepian dan kerinduan), dan objek (batu, boneka).

Istilah antropomorfisme yang diambil daripada bidang sosiologi dan antropologi yang dicipta pada pertengahan tahun 1700 ini ialah istilah gabungan daripada kata Yunani, iaitu antara kata ánthrōpos yang bermaksud manusia dengan kata morphē yang bermaksud bentuk.

Jika diamati dengan lebih terperinci, dapat dilihat bahawa unsur antropomorfisme menjelaskan proses psikologi yang bermula daripada fahaman animisme yang melihat adanya tautan yang kuat antara manusia dengan alam dalam kehidupan manusia. Keadaan ini menyebabkan wujudnya perasaan keserupaan atau persamaan antara ciri dan sifat yang ada pada manusia dengan unsur alam yang begitu luas.

Antara yang paling mendapat perhatian termasuklah keserupaan atau persamaan ciri dan sifat manusia yang ada pada haiwan. Fenomena ini telah berkembang luas sehingga menjadi suatu perkara yang menarik untuk diamati dalam pelbagai cabang disiplin ilmu. Sebagai contohnya, dalam bidang bahasa dan kebudayaan, unsur antropomorfisme ini boleh diselusuri dalam lirik lagu yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud secara halus.

Contoh penggunaan antropomorfisme dapat dilihat dalam lirik lagu dikir Barat, iaitu “Kucing yang ditulis oleh Cikgu Naim dan dinyanyikan oleh Pokya Mangkuk. Penulis lirik ini memberikan persamaan beberapa sifat manusia kepada kucing, seperti emosi, ciri psikologi dan sosial, serta perwatakan dan perlakuan.

Lirik lagu dikir Barat ini telah menonjolkan sifat empat jenis manusia yang dijelmakan menerusi watak kucing. Jenis manusia pertama ialah lelaki Bangladesh yang ditonjolkan menerusi lirik “Kucing bangla warna hite bulu tebal”. Sifatnya pula ditonjolkan menerusi lirik “Perangai serupo ular”.

Jenis manusia kedua ialah wanita Siam yang dapat diperhatikan dalam lirik “Kucing paling bahayo kucing tino bako Siam”. Sifatnya dapat diperhatikan dalam lirik “Panda kecek oghe kito”.

Jenis manusia ketiga ialah orang Amerika yang dapat dilihat dalam lirik “Kucing Amerika kulit bala mata biru”. Sifatnya dapat dilihat dalam lirik “Kucing nih tak leh harap sanggup make ore Melayu”.

Jenis manusia terakhir ialah orang Israel yang bersifat zalim yang terserlah dalam lirik “Kucing Israel hidung tinggi mulut tajam” dan “Kucing nih sungguh zalim dia benci ore Islam”. Keempat-empat jenis manusia ini diberikan watak antagonis kerana dilabelkan dengan ciri yang negatif.

Lagu dikir Barat tidak terkecuali daripada mengetengahkan unsur antropomorfisme dengan tujuan untuk menyindir secara halus akan tindak-tanduk manusia yang tidak lagi bersifat dengan sifat manusiawi. Masyarakat Melayu dikatakan bijak menyampaikan pesanan dan teguran dengan cara yang sangat halus.

Namun begitu, bagi memahami dan menghayati lagu dikir Barat, pendengar mungkin menghadapi masalah untuk memahami alasan atau sebab penulis lirik menggunakan binatang, seperti kucing, itik, tupai dan lintah dalam lagu dikir Barat untuk menggambarkan perbuatan manusia.

Salah faham pasti berlaku jika makna yang diinterpretasikan oleh pendengar tidak sama dengan maksud asal yang ingin disampaikan oleh penutur (penulis lirik). Oleh sebab itu, kajian terhadap unsur antropomorfisme perlu dilakukan supaya pendengar memahami maksud komunikasi yang ingin disampaikan menerusi lirik lagu dikir Barat.

Kebanyakan kajian linguistik terhadap peribahasa/bahasa kiasan hanya tertumpu pada bidang makna, metafora dan leksikal tanpa melihat aspek peristiwa komunikasi yang berlaku dalam setiap lirik lagu dikir Barat yang disampaikan.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, penggunaan lirik lagu dikir Barat yang berunsurkan antropomorfisme bertujuan untuk menyindir secara sinis dan halus perlakuan dan sifat manusia. Unsur kognitif yang terselindung dalam makna sesuatu bahasa ialah suatu fenomena yang menarik untuk dikaji dan diperhatikan.

Lirik lagu dikir Barat dicipta dengan pelbagai kiasan, ibarat dan seumpamanya, seterusnya menjadi suatu bentuk bahasa yang kreatif yang memperlihatkan kepelbagaian maksud yang tersirat di balik kata yang tersurat.

Contoh tajuk lagu dikir Barat lain yang memaparkan unsur antrapomorfisme ialah “Lalat”, “Anak Tupai”, “Ayam Serama”, “Burung Ngobok”, “Kambing”, “Belut Pisang”, “Anak Kera Anak Beruk”, “Cicak”, “Lintah”, “Buaya”, “Itik”, “Penyu”, “Nyamuk”, “Lembu”, “Beruk”, “Lembu”, “Ulat Bulu”, “Dikir Frog” dan “Burung Keput”.

Secara keseluruhannya, antropomorfisme melambangkan ciri, bentuk rupa dan sifat manusia kepada unsur bukan manusia, seperti objek dan haiwan. Antropomorfisme juga memberikan bentuk rupa manusia kepada benda tersebut atau haiwan sehingga memiliki bentuk rupa dan wujud seperti manusia dengan sifat yang ada pada manusia. Namun begitu, penggunaan kata yang kurang sopan mungkin sedikit banyak menjejaskan tanggapan pendengar terhadap lirik lagu dikir Barat.

Oleh sebab itu, aspek penggunaan bahasa sangat penting supaya penggunaan bahasa dalam dikir Barat lebih sopan bagi menjamin keutuhan dan kelestarian dikir Barat, serta memberikan impak yang besar terhadap industri budaya amnya dan pendengar atau penonton khususnya. Hal ini dikatakan demikian kerana perubahan masa dan zaman telah banyak mengubah penggunaan bahasa dalam masyarakat atau komuniti yang menggunakan dikir Barat, sama ada perkembangan dalam penggunaan bahasa ketika persembahan biasa atau dalam pertandingan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.