21 Jun 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka lahir di ambang kemerdekaan negara, dan dalam gelora jiwa bangsa yang ingin bebas daripada belenggu penjajahan yang sekian lama terpendam. Roh perjuangan dan semangat kebangsaan, khususnya dalam kalangan orang Melayu ketika itu bagaikan api yang marak membakar semangat setiap lapisan rakyat untuk bangkit berjuang membebaskan jiwa dan minda bangsa daripada terus tertawan.

Satu daripada tonggak utama bangsa dan negara yang merdeka ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya. Justeru, kebangkitan kebangsaan yang tinggi menjelang kemerdekaan bangsa dan negara ketika itu merupakan agenda utama perjuangan kebangsaan, iaitu mengangkat serta mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Demi melaksanakan amanah dan memaknakan hasrat bangsa itu, maka tertubuhlah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 Jun 1956.

Berbekalkan pengalaman lalu yang sarat hikmah dan perjuangan lestari, DBP terus melangkah ke hadapan ̶ membina, memajukan, menyebarluaskan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bersempena dengan ulang tahun ke-66 DBP, molek kiranya ditinjau beberapa ceritera kejayaan DBP, dan sumbangan besarnya kepada pembinaan tamadun bangsa Malaysia, sekali gus melakukan muhasabah bagi diri dan organisasi demi melangkah ke hadapan dengan semangat berapi, peribadi berintegriti dan citra berwibawa.

Sumbangan yang paling utama DBP ialah dalam pengekodan atau penyeragaman bahasa Melayu, iaitu dengan menghasilkan satu variasi bahasa standard yang sempurna dan seragam dari aspek tatabahasa, ejaan, makna dan sebutan yang telah membolehkan bahasa Melayu menjadi satu-satunya bahasa yang digunakan serta diutamakan dalam konteks rasmi dan pelbagai situasi formal yang lain.

Dalam aspek ejaan, sumbangan signifikan DBP ialah dalam penghasilan daftar ejaan Rumi yang paling lengkap yang sekali gus menjadi rujukan utama dalam pengejaan dan penulisan kata yang betul  ̶  garis panduan tersebutlah yang menjadi pedoman untuk menulis buku-buku teks dan sokongan pendidikan yang sifar kesalahan bahasa, sekali gus standard ejaan dan penulisan katanya untuk semua sekolah di seluruh negara.

Sebagai bahasa moden yang kian berkembang, bahasa Melayu juga perlu disempurnakan, diperkaya dan dilengkapkan dengan perbendaharaan kata, baik perbendaharaan kata biasa mahupun yang bersifat khusus dan teknikal. Maka itu, bagi memenuhi keperluan tersebut, DBP telah membina dan menerbitkan pelbagai jenis kamus, dan yang paling mutakhir ialah terbitnya Kamus Dewan Perdana (2020)  ̶  kamus yang mengandungi lebih daripada 120 ribu entri dan subentri itu ialah kamus bahasa Melayu yang terbesar dan terlengkap di dunia.

Sesungguhnya, DBP juga memainkan peranan yang sangat penting dalam pemupukan ataupun pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang lengkap dan cekap sehingga bahasa itu mencapai tahap saling terjemah dengan bahasa-bahasa moden lain. Hasil daripada perancangan yang tersusun dan terarah yang telah dilaksanakan DBP, maka ribuan istilah baharu dalam pelbagai bidang, termasuklah bidang sains dan teknologi telah dicipta dan digubal  ̶ tinggal lagi masyarakat, khususnya dalam kalangan sarjana, ilmuwan dan profesional perlu mengambil inisiatif untuk memanfaatkan istilah-istilah itu sepenuhnya dalam bidang masing-masing.

Dalam bidang persuratan, terutamanya dalam pembinaan serta pengembangan Kesusasteraan Kebangsaan dan Sastera Melayu, pun DBP tekal menjadi pemuka yang tiada duanya. DBP pernah melahirkan tujuh orang Sasterawan Negara, dan ramai lagi dalam kalangan karyawan DBP yang menjadi sosok yang menjulang tinggi atau towering figure dalam bidang persuratan dan kebahasaan seperti Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan. Selebihnya juga ramai yang dihormati dan disegani pada peringkat kebangsaan sebagai penulis, pemakalah, ilmuwan dan kritikus sastera. Justeru, sosok karyawan DBP yang berbakat besar dalam bidang kesusasteraan, dan kesenian yang lain perlu menyerlahkan kepengarangan kendiri dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan kesusasteraan, di samping peri perlunya usaha-usaha berterusan untuk mengangkat harkat mereka sebagai penulis, kritikus dan sasterawan.

Kata orang tua-tua, sudah terang lagi bersuluh. Sejauh yang berkaitan dengan penerbitan dalam bahasa Melayu, DBP ialah penerbit kerajaan yang terkemuka, khususnya dari segi bilangan judul buku dalam bahasa Melayu yang diterbitkan pada setiap tahun. Bahkan, seperti yang diketahui umum, DBP juga mengungguli penerbitan majalah dalam bahasa Melayu. Tambahan pula, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa DBP ialah lubuk emas bagi para penulis, dan pencetak Bumiputera  ̶  DBP menyediakan peluang dan ruang yang terbentang luas kepada para penulis untuk menerbitkan puisi, cerpen, novel, skrip drama, esei, jurnal, rencana, buku teks, dan sebagainya.

Tahun-tahun mendatang jauh lebih mencabar kepada DBP kerana DBP akan berhadapan dengan berbagai-bagai perubahan persekitaran, khususnya persekitaran ekonomi, politik, dasar, budaya, sosial, demografi, teknologi dan pendidikan. Persekitaran yang tidak menentu itu, sesungguhnya menuntut DBP dan seluruh warga kerjanya untuk senantiasa sensitif,  responsif, kreatif, inovatif dan produktif untuk membina, memajukan, mencekapkan serta mengembangkan bahasa, sastera dan penerbitan agar bahasa Melayu menjadi bahasa negara, bahasa ilmu, bahasa ekonomi, bahasa persuratan serta bahasa antarabangsa yang lengkap, cekap dan berwibawa.

Seyogianya, aneka ceritera kejayaan, keberadaan dan kepentingan DBP yang penulis paparkan selayang pandang ini hendaknya menjadi pendorong dan pemangkin kepada karyawan DBP di seluruh negara untuk membentuk serta memurnikan jiwa, emosi, rohani dan intelek diri yang jitu agar DBP tekal serta kekal menjadi obor kebangsaan, lidah rakyat yang sakti dan pustaka bangsa yang berwibawa.

Akhirulkalam, dirgahayu DBP, dan didoakan agar DBP senantiasa menjadi tenaga jiwa bangsa nan abadi dan keramat nian untuk seribu tahun lagi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.