21 Jun 2022, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Enam puluh enam tahun yang lalu atau lebih tepatnya pada 22 Jun 1956, tertubuhnya sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran, yang dikenali sebagai Balai Pustaka di Johor Bahru. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang telah berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada bulan September 1956 menjadi titik tolak bermulanya penggunaan nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz telah menjadi pengarah pertama badan bahasa ini. Beliau mengusahakan perpindahan DBP ke Kuala Lumpur pada tahun 1957. Hasilnya, badan bahasa ini berjaya ditempatkan di sebuah bangunan bekas wad hospital di Jalan Young.

Di rumah baharu ini, DBP terus mengorak langkahnya selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Tahun 1959 menjadi sejarah apabila DBP berubah statusnya kepada badan berkanun setelah Akta Dewan Bahasa dan Pustaka diluluskan oleh Parlimen. Badan bahasa ini telah diberikan kuasa autonomi untuk melaksanakan beberapa matlamat yang termaktub dalam akta tersebut.

Antaranya termasuklah memajukan dan memperkaya bahasa kebangsaan, mencetak dan menerbitkan buku dan risalah, serta menyusun dan menerbitkan kamus dalam bahasa kebangsaan. Selain matlamat ini, terdapat beberapa lagi matlamat yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera.

Selepas 21 tahun ditubuhkan, DBP mengembangkan lagi sayapnya ke Malaysia Timur pada tahun 1977 dengan membuka dua cawangan, iaitu di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. Di Malaysia Barat juga tidak ketinggalan apabila DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan, dibuka pada tahun 1999.

Hal ini diikuti oleh pembukaan DBP Wilayah Selatan di Johor Bahru, Johor, pada tahun 2000 dan DBP Wilayah Tengah di Kuala Lumpur pada tahun 2011. Kini, DBP megah beroperasi di bangunan baharunya, iaitu Menara DBP, di Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada tahun 2011 juga, DBP mengembangkan sayapnya dengan memberikan khidmat dari segi penggunaan bahasa dan visual pada iklan. Hal ini suatu syarat yang perlu dipenuhi oleh pihak yang ingin membuat permohonan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila ingin menyiarkan iklan.

Syarat ini ditetapkan kerana penggunaan bahasa Inggeris dalam medium pengiklanan dilihat lebih diutamakan berbanding dengan penggunaan bahasa Melayu di Malaysia. Kini, DBP juga mempunyai Anjung DBP yang terdiri daripada tiga komponen, iaitu kedai buku, kafe buku dan kaunter pengesahan bahasa, yang dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom pada bulan Oktober 2018.

DBP tidak jemu-jemu berusaha untuk menjadikan bahasa Melayu gah pada pandangan mata semua pihak dengan melancarkan kempen Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa menerusi gerakan massa yang diketuai oleh Pengarah DBP pada masa itu, Tun Syed Nasir Syed Ismail, yang juga dikenali sebagai Panglima Bahasa.

Kempen ini mengalami beberapa penjenamaan dari segi namanya, seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS), Minggu Sastera dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Pada tahun 1999, YAB Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu telah melancarkan kempen BBSN yang pertama. Akhirnya, pada tahun 2009, BBSN telah diberi nama baharu, iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).

Dari aspek penerbitan, DBP menerbitkan 11 majalah terkenal, iaitu Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Pelita Bahasa, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Tunas Cipta dan Dewan Tamadun Islam. Tatkala banyak penerbitan majalah oleh penerbit lain telah ditutup, penerbitan majalah DBP masih kekal hingga hari ini.

Selain majalah, terdapat penerbitan lain yang dikelolakan oleh DBP. Penerbitan ini ialah buku teks, buku bahasa, buku sastera, buku umum, buku ilmiah dan buku kanak-kanak.

Di samping itu, menerusi program Munsyi Dewan, penceramah bahasa Melayu atau lebih dikenali sebagai Munsyi Dewan dilantik oleh DBP untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu di sektor awam dan swasta. Program ini telah bermula sejak tahun 1995 lagi. Munsyi Dewan ini perlu aktif menggalas tanggungjawabnya sebagai pakar rujuk dalam bahasa Melayu. Khidmat dan kepakaran Munsyi Dewan ini digunakan dalam usaha membantu memartabatkan bahasa Melayu.

DBP juga menyediakan kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai menjadi kedai buku bergerak atau dikenali sebagai Ujana Buku. Ujana Buku ini telah dirasmikan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin di UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 29 April 2015.

Konsep Ujana Buku ini adalah untuk mengajak masyarakat menambahkan ilmu agar dapat membentuk masyarakat berkelas minda pertama. Kedai buku bergerak ini akan berkunjung ke lokasi terpilih untuk membuat jualan bahan terbitan DBP secara terus kepada pelanggan di tempat tersebut.

Ujana Buku ini juga mampu membawa sebanyak 500 buah buku terbitan terkini pada satu-satu masa untuk memenuhi keperluan pelanggan. Banyak lokasi yang telah dikunjungi oleh Ujana Buku ini, seperti sekolah, institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan dan karnival jualan. Kini, terdapat tiga buah Ujana Buku di DBP Hulu Kelang dan sebuah Ujana Buku di DBP Wilayah Timur, DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak.

Pada awal tahun ini, iaitu pada bulan Mac 2022, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 untuk membolehkan DBP mengambil tindakan terhadap individu atau pihak yang melanggar akta tersebut.

Hal ini dikatakan demikian kerana akta yang tersedia ini tidak memberikan kuasa kepada DBP untuk melaksanakan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa yang dilakukan. Hal ini dikuatkan lagi dengan persetujuan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad bahawa semua pelajar asing yang belajar di negara ini wajib mempelajari bahasa Melayu.

Kini, sudah tiba masanya bagi semua rakyat Malaysia bersama-sama DBP untuk menjulang slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” di pentas antarabangsa dan tidak ada sebab untuk berasa malu atau janggal apabila berbahasa Melayu.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!