22 Jun 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mutakhir ini, kerancuan bahasa dilihat semakin kerap berlaku dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pejuang bahasa Melayu. Menurut Siti Haliza Yusop dalam artikelnya, “Bahasa Rojak Melekat di Bibir Penyiar Radio”, bahasa rojak ialah suatu bentuk gejala linguistik bahasa Melayu yang termasuk dalam kerancuan bahasa.

Azura Halid dalam artikelnya,“Kerancuan Penggunaan Bahasa di Radio” juga berpendapat bahawa penggunaan bahasa rojak ini seolah-olah suatu lesen besar kepada penyampai radio untuk meningkatkan kadar populariti. Sebilangan penyampai radio swasta kini dikatakan tidak mempunyai disiplin berbahasa sehingga menjadikan penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris sebagai suatu trend dan kebiasaan.

Dalam kertas kerja “Bahasa Melayu di Media: Analisis dari Sudut  Morfologi”, Suzanti Abd. Aziz pula mendapati bahawa kesalahan percampuran kod dari aspek mofologi adalah antara kesalahan tertinggi yang dilakukan oleh penyampai radio awam dan penyampai radio swasta pada lima minit siaran pertama. Hal ini jelas menunjukkan bahawa gejala kerancuan bahasa benar-benar berlaku dalam kalangan penyampai radio. Gejala ini perlu diberikan perhatian yang serius agar gejala ini dapat dibendung.

Walaupun buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Media Massa telah pun diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak pada tahun 2013, gejala kerancuan bahasa tetap berlaku dalam kalangan penyampai radio.

Sekiranya program radio dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, atau menggunakan bahasa Melayu tidak rasmi supaya suasana menjadi lebih santai, isu kerancuan bahasa ini tidak akan timbul. Namun begitu, realiti yang berlaku ialah penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.

Bukan itu sahaja, penyampai radio turut menggunakan bahasa Melayu bertaraf rendah, seperti korang, mende, ko, lantak dan ilek lok. Keadaan ini diburukkan lagi dengan penggunaan kata ganti nama bagi pembesar dan pemimpin negara yang tidak tepat dan penggunaan bahasa Melayu yang tidak sopan serta tidak bermoral.

Oleh sebab itu, bagi memastikan bahasa Melayu digunakan secara betul dan bermoral di radio, suatu mekanisme terbaik diperlukan untuk membantu penyampai radio memantapkan penggunaan bahasa Melayu di radio. Sehubungan dengan itu, komuniti praktis dilihat sebagai mekanisme terbaik kerana membolehkan penyampai radio berinteraksi, bekerjasama dan belajar bersama-sama bagi membina dan mengembangkan pengetahuan yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan bermoral.

Menerusi amalan ini, penggunaan bahasa Melayu di radio dapat dimantapkan secara berperingkat. Lama-kelamaan, pembudayaan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan bermoral di stesen radio dapat berlaku secara tekal, khususnya dalam program yang bersifat formal dan separa formal.

Secara amnya, terdapat model asas bagi komuniti praktis, iaitu model yang diperkenalkan oleh Wenger pada tahun 1998. Model ini diperkenalkan dalam makalahnya, “Knowledge Management as a Doughnut: Shaping Your Knowledge Strategy through Communities of Practice”. Menurut Wenger, komuniti praktis merujuk sekumpulan individu yang berkongsi keprihatinan atau minat yang sama dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cara terbaik secara bekerjasama dan berkala, khususnya dalam usaha untuk mengatasi masalah yang berlaku berulang-ulang dalam komuniti.

Istilah “komuniti” pula merujuk perkumpulan individu dalam bidang ilmu atau pekerjaan yang sama, mempunyai kualiti hubungan yang baik antara ahli dan mengetahui matlamat penubuhan komuniti tersebut. Bagi kumpulan individu yang ingin membentuk sesebuah komuniti praktis, anggotanya mesti berkumpul bersama-sama dengan idea atau topik yang menarik dan saling berinteraksi untuk belajar bersama-sama.

Istilah “praktis” pula merujuk kerangka pengetahuan, kaedah, alat, cerita, kes, dokumen dan sebagainya yang dikongsi dan dikembangkan bersama-sama ahli untuk mengatasi masalah yang berlaku berulang-ulang dalam domain atau bidang pengetahuan ahli.

Menerusi buku Cultivating Communities of Practice: A Guide to Managing Knowledge, Wenger dan rakan-rakannya telah menggariskan tujuh prinsip untuk membudayakan amalan komuniti praktis. Pertama, merancang perkembangan komuniti. Kedua, mengadakan sesi dialog untuk meneroka perspektif dari dalaman dan luaran komuniti. Ketiga, memastikan penyertaan ahli yang terdiri daripada pelbagai tahap, seperti ahli baharu, ahli lama dan koordinator. Keempat, membina ruang interaksi yang bersifat umum dan peribadi dalam komuniti. Kelima, memberikan penekanan terhadap nilai. Keenam, menggabungkan elemen keakraban dengan kegembiraan dalam komuniti. Ketujuh, menetapkan rutin untuk komuniti.

Sehubungan dengan itu, penyampai radio bolehlah merangka komuniti praktis masing-masing berpandukan prinsip komuniti praktis tersebut, selain mengambil kira beberapa panduan seperti yang telah dicadangkan oleh Marco Antonio de Carvalho-Filho dan rakan-rakannya dalam makalah “Twelve Tips for Implementing a Community of Practice for Faculty Development”.

Antara panduan tersebut termasuklah pembentukan kumpulan utama. Kumpulan utama ini perlu terdiri daripada ahli yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang penyiaran. Setelah membentuk kumpulan utama, ahli komuniti perlu menetapkan matlamat, objektif dan isu yang ingin difokuskan. Dalam hal ini, isu yang menjadi tumpuan ialah cara memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam program yang bersifat rasmi dan membendung penggunaan bahasa rojak dan bahasa Melayu bertaraf rendah dalam program bukan formal. Penetapan perkara ini amat penting supaya setiap ahli komuniti dapat mengetahui dengan jelas hasil yang perlu dicapai.

Ahli komuniti juga boleh memulakan aktiviti dengan sesuatu tugasan khusus. Tugasan tersebut harus berorientasikan penyelesaian masalah. Selain itu, ahli komuniti perlu berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada majikan atau institusi yang mempunyai hubung kait dengan komuniti praktis yang ditubuhkan. Antaranya termasuklah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sokongan tersebut boleh berbentuk peruntukan geran atau wang tunai, prasarana, seperti tempat berhimpun, internet, bantuan teknikal, dan ganjaran kepada ahli yang sentiasa melibatkan diri secara aktif dalam program yang dianjurkan oleh pihak komuniti.

Di samping itu, Marco Antonio de Carvalho-Filho dan rakan-rakan juga mencadangkan agar pelaksanaan komuniti praktis dijalankan secara dalam talian. Menerusi kaedah ini juga, interaksi secara santai dapat dilakukan pada bila-bila masa, seterusnya dapat meningkatkan semangat kekitaan dan persefahaman dalam kalangan ahli komuniti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.