22 Jun 2022, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa tidak terikat dalam konteks rasmi semata-mata tetapi boleh juga melalui persembahan seperti dalam bidang seni muzik, iaitu lagu. Kreativiti dan kesenian muzik bukan sekadar hiburan semata-mata bahkan dapat membantu dalam menjanakan idea baharu yang penting untuk perkembangan dan penakatan bahasa Melayu.

Pelbagai program dan aktiviti tidak formal merupakan antara usaha yang boleh memasyarakatkan bahasa melalui aktiviti atau program yang bersifat santai dan hiburan mengikut minat masyarakat, seperti muzik jalanan. Muzik jalanan mempunyai peminatnya yang tersendiri kerana melalui lagu, bahasa turut diperkasakan.

Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja menganjurkan program Cabaran Seni Muzik Jalanan: Mengangkat Bahasa Melalui Lagu, yang berlangsung pada pukul 10.00 pagi tadi di Lobi Utama, Menara DBP. Program ini turut boleh ditonton secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.

 

Usaha mendekati golongan muda menerusi program sebegini mampu menyemai semangat cinta akan bahasa dan sastera dalam kalangan mereka. Puan Ariza Che Ismail.

Menurut Puan Ariza Che Ismail (Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja), seni muzik jalanan dilihat sebagai satu daripada usaha mendekati jiwa anak muda untuk memartabatkan bahasa Melayu yang menjadikan lagu sebagai wadah untuk berhibur.

Bait-bait lirik lagu dengan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul menggalakkan penghasilan lagu yang berkualiti dari sudut bahasa dan makna. Hal ini dapat diperhatikan pada hari ini bahawa seni muzik jalanan sedang melalui zaman kegemilangan kerana diminati oleh golongan remaja yang terdiri daripada penggiat mahupun penonton.

Tambahnya lagi, aktiviti ini mampu menyemai semangat cinta akan bahasa dan sastera melalui lirik lagu yang dipersembahkan. Bermula dengan usaha menyelami jiwa golongan remaja ini yang dekat dengan dunia hiburan, tidak mustahil pada suatu masa nanti mereka mampu menjadi pemain industri muzik yang menghasilkan lirik lagu yang berkualiti dan dapat memperkenalkan budaya dan tradisi bahasa serta seni tanah air hingga ke peringkat antarabangsa.

Dalam program Cabaran Seni Muzik Jalanan: Mengangkat Bahasa Melalui Lagu ini, sebanyak tujuh kumpulan beradu nasib seperti kumpulan Carma Band, Sanggar Mustika, Jaybonz, Dakwah Band, Malnero, Sopan Band dan Beta Band. Setiap kumpulan mempersembahkan dua buah lagu termasuklah lagu irama tradisional Melayu, yang bertemakan bahasa, budaya, kesenian, estetika dan kemasyarakatan.

Antara lagu rakyat popular yang dipersembahkan termasuklah lagu Rasa Sayang Hei yang dinyanyikan oleh kumpulan Sanggar Mustika. Lagu ini berunsurkan pengaruh Portugis dan ada kaitan dengan masyarakat Alam Melayu di Melaka pada ketika itu yang meminati muzik. Lagu lain yang dipersembahkan pula ialah lagu Lemak Manis, yang dipopularkan Roslan Madun.

Dalam cabaran tersebut, kumpulan Sanggar Mustika muncul johan dengan menerima hadiah wang tunai bernilai RM3000 berserta buku terbitan DBP dan turut memenangi anugerah Persembahan Terbaik, yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 dan juga buku terbitan DBP.

Tempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan Carma Band dengan hadiah wang tunai bernilai RM2000 berserta buku terbitan DBP, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Sopan Band yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1500 berserta buku terbitan DBP.

Tiga hadiah sagu hati yang bernilai RM1000 dan buku terbitan DBP pula telah dimenangi oleh kumpulan Jaybonz,  Malnero, dan Beta Band. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP) dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Md. Johari Hasan (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar)), Puan Ariza Che Ismail (Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja), para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta karyawan DBP.

Kumpulan Sanggar Mustika muncul johan bagi Cabaran Seni Muzik Jalanan: Mengangkat Bahasa Melayu melalui Lagu.

 

Kumpulan Sanggar Mustika turut memenangi kategori Persembahan Terbaik.

 

Kumpulan Carma Band muncul sebagai naib juara pertandingan.

 

Kumpulan Sopan Band pula memenangi tempat ketiga.

 

Kumpulan Malnero memenangi hadiah sagu hati.

 

Kumpulan Beta Band turut menerima hadiah sagu hati.

 

Hadiah sagu hati turut dimenangi oleh kumpulan Jaybonz.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.