Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata nafi ialah kata tugas yang menafikan atau menyangkal sesuatu perkara atau keadaan. Dalam bahasa Melayu, terdapat dua kata nafi, iaitu bukan dan tidak. Kata nafi bukan menafikan kata nama dan frasa sendi nama, manakala kata nafi tidak menafikan kata kerja dan kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia bukan guru. (kata nama)
1b. Dia bukan dari Ipoh. (frasa sendi nama)
2a. Dia tidak berusaha. (kata kerja)
2b. Dia tidak jujur. (kata adjektif)
Kata nafi bukan dapat juga menafikan kata kerja dan kata adjektif jika terdapat pertentangan maklumat dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:
3a. Dia bukan belajar tetapi bermain. (kata kerja)
3b. Dia bukan sombong tetapi pendiam. (kata adjektif)
3c. Dia bukan kedekut tetapi tiada duit. (kata adjektif dan frasa kerja)
Kata nafi bukan dapat juga membentuk kata hubung gabungan berpasangan seperti bukan sahaja … tetapi juga, atau bukan sahaja … malahan juga. Dalam hal ini, perkaitan maknanya adalah sehala atau serasi, dan tidak terdapat unsur pertentangan maklumat. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Dia bukan murid sahaja tetapi pengawas juga. (FN)
4b. Dia bukan ke Ipoh sahaja tetapi ke Langkawi juga. (FS)
4c. Dia bukan menyanyi sahaja tetapi menari juga. (FK)
4d. Dia bukan malas sahaja tetapi nakal juga. (FA)
Kata nafi tidak dapat membentuk frasa dengan kata tunggal atau kata terbitan, dan sesetengah frasa itu dapat ditambah imbuhan. Sila lihat contoh yang berikut:
Dengan Kata Tunggal
tidak + adil = tidak adil
tidak adil + ke-…-an = ketidakadilan
Dengan Kata Terbitan
tidak + selaras = tidak selaras
tidak selaras + ke-…-an = ketidakselarasan
tidak + berperikemanusiaan = tidak berperikemanusiaan
tidak berperikemanusiaan + ke-…-an = ketidakberperikemanusiaan
Kata nafi tidak mempunyai bentuk singkatan tak. Kata tak boleh digunakan dalam bahasa percakapan, puisi atau istilah. Sila lihat contoh yang berikut:
Bahasa Percakapan
Dia tak nak datang.
Puisi (sinkope)
Ribut di luar terus membadai
ribut di hati pun tak reda
tak kunjung padam.
Istilah
ketaknormalan
kata kerja tak transitif
kata bilangan tak tentu
Kata nafi bukan dan tidak dapat digunakan bersama-sama dalam ayat tertentu. Hal sedemikian menegaskan maksud yang hendak disampaikan. Sila lihat contoh yang berikut:
5a. Dia bukan tidak tahu bahawa dia bersalah.
5b. Bukannya dia tidak tahu bahawa dia bersalah.
5c. Tidak lain dan tidak bukan dia bersalah.
Kata nafi bukan dan tidak boleh digandakan untuk mendukung maksud tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:
6a. Dia sering bercakap tentang hal yang bukan-bukan.
6b. Dia sering bercakap tentang hal yang tidak-tidak.
Dalam kelompok ayat 6, kata ganda bukan-bukan dan tidak-tidak berfungsi sebagai adjektif dan bererti “tidak benar” atau “tidak munasabah”. Dalam ayat 7, kata ganda bukan-bukan berfungsi sebagai penguat yang bermaksud “amat sangat”.
Kata nafi bukan dan tidak dapat juga ditambah imbuhan untuk mendukung maksud tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:
8a. Mereka berusaha seia sebukan.
8b. Dia membukankan peraturan sekolah.
9a. Dia bertidak akan tuduhan itu.
9b. Dia menidakkan peraturan sekolah.
Dalam ayat 8a, frasa seia sebukan bererti “seia sekata”. Dalam ayat 8b, kata membukankan bererti “mengingkari”. Dalam ayat 9a, kata bertidak bererti “tidak mengaku”. Dalam ayat 9b, kata menidakkan bererti “menjadikan atau menganggap tidak ada”, iaitu sama erti dengan kata mempertidak dan mempertidakkan.
Kata nafi tidak boleh juga ditambah imbuhan dan kemudiannya digandakan. Sila lihat contoh yang berikut:
10a. Setidaknya dia sudi menolong kita.
10b. Setidak-tidaknya dia sudi menolong kita.
Dalam kelompok ayat 10, kata setidaknya atau setidak-tidaknya berfungsi sebagai kata adverba dan mendukung maksud “sekurang-kurangnya”.
Kata nafi bukan dapat juga bergandingan dengan kata lain untuk berfungsi seperti kata penguat yang bererti “amat sangat” atau “luar biasa”. Sila lihat contoh yang berikut:
11a. Bukan main nakalnya budak itu.
11b. Bukan kepalang nakalnya budak itu.
11c. Bukan buatan nakalnya budak itu.
11d. Bukan barang-barang nakalnya budak itu.
11e. Bukan sebarang nakalnya budak itu.