Oleh Awang Sariyan
4 Julai 2022, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bahasa dikurniakan Tuhan kepada manusia untuk menjadi wahana komunikasi, sama ada untuk penyampaian ilmu, maklumat atau perasaan. Demikian isyarat firman Allah SWT dalam surah al-Rahman, ayat 4. Disebut juga dalam surah al-Baqarah, ayat 31 tentang bahasa sebagai ilmu dan kemahiran yang dikurniakan kepada Nabi Adam untuk menjadi wahana ilmu dan komunikasi.
Bahasa menjadi wahana pewarisan falsafah, pemikiran, sistem nilai dan budaya (budaya ketara dan budaya tak ketara) sesuatu masyarakat daripada generasi kepada generasi sehingga tamadun masyarakat dapat memenuhi ciri kesinambungan dan pada waktu yang sama memenuhi ciri perkembangan menurut keperluan semasa. Semua unsur ilmu, nilai, budaya dan aspirasi bangsa dan negara dicetuskan dan dikembangkan menerusi bahasa.
Lebih asas lagi, bahasa menjadi teras makna diri atau jati diri, di peringkat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Istilah “haiwan natiq” atau “rational animal” yang digunakan oleh ahli falsafah dan ulama bagi manusia menjelaskan peranan bahasa sebagai ciri teras manusia (makhluk yang berakal dan berbahasa) di peringkat diri. Di peringkat masyarakat dan negara, kewujudan sesuatu kelompok ras dan bangsa ditandai salah satunya oleh faktor bahasa.
Etnik yang berbagai-bagai di negara ini sebagai contoh, dikenal salah satunya berdasarkan faktor bahasa, termasuklah dialek. Bagi negara Malaysia yang warganegaranya berbilang keturunan, bahasa Melayu menjadi teras jati diri sepunya bagi semua warganegara. Semua pemilik kad pengenalan (MyKad dan MyKid) ialah pemilik bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Maka tanggungjawab menjaga dan memajukan bahasa Melayu ialah tanggungjawab semua tanpa mengira kaum.
Usaha mengembangkan bahasa kurniaan Tuhan menjadi tanggungjawab setiap bangsa. Kita dapat menyaksikan pembangunan tamadun bangsa sedunia, dari zaman ke zaman yang seiring dengan usaha memajukan bahasanya. Tamadun Yunani atau Greek sejak abad kelima sebelum Masihi dikembangkan melalui bahasa Yunani yang kemudiannya diwarisi oleh orang Barat melalui bahasa Latin dan seterusnya bahasa-bahasa Barat seperti bahasa Perancis, Belanda, Jerman, Inggeris, Sepanyol dan yang lain.
Demikian juga, tamadun China berkembang sejak lima abad lalu melalui bahasa Cina yang pada zaman kini diwakili oleh bahasa Mandarin. Tamadun  Parsi, Arab, India dan Tamadun Melayu pun berkembang melalui bahasa masing-masing. Seperti yang dirumuskan oleh sarjana seperti Van Linschoten, Francois Valentijn dan yang lain, bahasa Melayu dalam beberapa abad pada zaman Kesultanan Melayu, khasnya pada abad ke-15 dan seterusnya sebelum dijajah oleh kuasa Barat, telah menjadi bahasa perhubungan awam di rantau Alam Melayu dan bahkan masyhur hingga di Parsi.
Bahasa Melayu menjadi bahasa keagamaan, undang-undang, pensejarahan, perubatan, persenjataan, susastera dan diplomasi. Peranannya pula merentas ratusan etnik di alam Melayu sehingga menjadi wasilah pemersatu. Maka itu, Indonesia mengisytiharkan bahasa Melayu menjadi bahasa nasionalnya apabila merdeka pada tahun 1945 meskipun bahasa Jawa jauh lebih besar penuturnya, walaupun nama bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Indonesia untuk tujuan keutuhan nasionalisme negara itu. Malaysia, Brunei Darussalam dan bahkan Singapura mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Pemupukan minat dan keterampilan dalam berkomunikasi melalui bahasa menjadi tanggungjawab besar keluarga, institusi pendidikan dan persatuan. Keluarga sebagai agen sosialisasi pertama wajib memupuk kemahiran bahasa dan komunikasi secara seimbang dalam dua komponen. Komponen pertama ialah sistem bahasa yang menjadi medium komunikasi (tatabahasa, kosa kata, sebutan dan intonasi).
Komponen kedua ialah budaya bahasa yang berkaitan dengan adab (kesantunan bahasa). Kurangnya perhatian kepada pelaksanaan tanggungjawab itu menyebabkan wujudnya generasi yang tidak peka akan peranan bahasa sendiri dan juga adab berbahasa. Erti bahasa sebagai jiwa bangsa mesti dipupuk bermula dalam keluarga.
Institusi pendidikan formal pula seperti sekolah, maktab dan universiti bertanggungjawab memupuk kemahiran bahasa dan komunikasi secara sistematik berdasarkan kurikulum baku negara. Jika dalam keluarga berlangsung pemupukan bahasa secara tidak formal, di institusi pendidikan mesti dilaksanakan pendidikan bahasa secara formal.
Oleh sebab itu,  bahasa menjadi mata pelajaran teras dalam kurikulum sekolah dan sewajarnya juga di peringkat pengajian tinggi. Kesepaduan antara kemahiran bahasa yang empat, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis perlu dipastikan berlangsung supaya anak didik berketerampilan secara seimbang, seperti antara komunikasi tulisan dengan komunikasi lisan.
Keadaan kini menunjukkan bahawa wujudnya kemahiran yang kurang seimbang antara dua bentuk komunikasi itu. Penguasaan bahasa tulisan yang menurut acuan peperiksaan umum  seperti Sijil Pelajaran Malaysia mengurangkan perhatian kepada penguasaan bahasa lisan. Yang lebih malang ialah kepincangan dalam kedua-duanya sehingga modal insan negara tidak dapat memenuhi tanggungjawab dengan berkesan dan malah menimbulkan masalah krisis keinsanan dalam kehidupan keluarga, masyarakat dan negara. Bahasa sebagai wahana komunikasi tidak atau kurang dikuasai untuk menghasilkan komunikasi yang berkesan.
Selain itu, kesepaduan berkaitan juga dengan bahasa di satu sisi dengan ilmu dan maklumat di satu sisi lain. Bahasa bukan untuk bahasa, tetapi untuk menjadi wahana ilmu dan maklumat. Asas ilmu bahasa atau linguistik yang menjelaskan pentingnya kesepaduan itu ialah tabii atau sifat bahasa yang memadukan bentuk dan makna (kesempurnaan bentuk “welformedness” dan kesempurnaan makna “meaningfulness”). Bentuk dapat dilihat pada aras wacana dan laras yang berbeda (suasana seperti rasmi/tak rasmi dan faktor hubungan pembicara dan lawan bicara seperti usia, kelas sosial dll.).
Keterampilan khas yang berkaitan dengan hal itu ialah penguasaan retorik atau balaghah (penguasaan keberkesanan bahasa, termasuk gaya bahasa). Sistem pendidikan perlu ada agenda untuk melahirkan pemikir hebat yang menguasai ilmu dan maklumat dan pada masa yang sama menguasai retorik atau penyampaian yang berkesan.
Perancang dan penaksir dalam sistem pendidikan peringkat sekolah dan IPT perlu membuat semakan sama ada kurikulum dan penaksiran dalam sistem yang berlangsung dapat memenuhi agenda melahirkan modal insan yang cukup terampil dalam komunikasi tulisan dan lisan.Oleh itu, pentingnya aspek bahasa dan komunikasi diberi perhatian yang besar dalam pendidikan formal dan tak formal dan juga dalam bidang media am. Kita meraikan perkembangan kreativiti dalam berbahasa dan berkomunikasi tetapi pada saat yang sama perlu prihatin kepada aspek nilai dalam bahasa dan komunikasi.
Bahasa mesti digunakan dalam konteks. Penguasaan ragam bahasa rasmi penting untuk urusan yang berkaitan dengan budaya tinggi seperti pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan seni budaya. Ragam bahasa basahan digunakan dalam konteks keperluan sosial seperti keluarga dan rakan dan tidak sesuai untuk ehwal rasmi. Tidak pernah diharapkan bahawa bahasa baku atau rasmi digunakan dalam perhubungan biasa. Itulah fitrah bahasa.
Bahasa dan komunikasi tidak bebas nilai. Dalam hubungan ini, isi bicara bahasa dan komunikasi wajar meliputi isu-isu penakatan negara dalam semua bidang (agama, politik, ekonomi, pendidikan, bahasa, kebudayaan dan kemanusiaan sejagat). Peranan sebagai pemikir, pencetus, pengkritik, pendamai dan tanggungjawab sosial yang lain perlu senantiasa melatari keterlibatan kita dalam pelestarian bahasa dan seni komunikasi.
Maka itu, pidato dan tulisan mesti memancarkan kekayaan nilai, adab, ilmu, warisan dan cita-cita bangsa, bukan sekadar kehebatan sarungnya, iaitu retorik. Rumusan peranan ahli komunikasi dirangkumkan dalam gagasan Naratif Abadi yang menjadi premis pelaksanaan tugas penulis dalam bidang akademik dan gerakan sosial. Sesuatu yang kita lakukan ada kaitannya dengan perhitungan pahala dan dosa serta taklif kita sebagai hamba Tuhan.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!