Oleh Suyuthi Yusuf
4 Julai 2022, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Penerapan sikap cinta dan kasih akan bahasa Melayu perlu dipupuk sejak peringkat awal kehidupan. Hal tersebut boleh diaplikasikan melalui pelbagai bentuk program dan aktiviti yang sesuai mengikut peringkat umur, termasuklah menerusi aktiviti kebahasaan di peringkat sekolah.

Atas dasar dan semangat tentang betapa perlunya mengembangkan bahasa ibunda merentas pelbagai kaum, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum telah mengadakan program “Indahnya Bahasaku Semarak Bahasa Kebangsaan 2022” di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khoon Aik, Kangar, Perlis pada pagi tadi.

Program tersebut melibatkan hampir 800 murid daripada beberapa buah sekolah di sekitar Perlis. Antara sekolah yang terlibat termasuklah SJKT Kangar, SJKC Khay Beng, SJKC Choon Siew, SK Kuala Perlis, SMK Perlis, SMK Kuala Perlis, dan SMK Dato Ali. Program tersebut bermula dengan pengisian aktiviti pertandingan “Saya Tahu” dan “Susun Kad Kata” yang dikendalikan oleh Encik Azimin Daud dan disusuli dengan Wacana Ilmu: Bahasa Melayu Bahasa Ilmu, yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Kamel Mohamad [Mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia].

Encik Azimin Daud, pegawai DBP daripada Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum sedang mengendalikan aktiviti pertandingan.
Kumpulan murid sedang melakukan satu daripada aktiviti pertandingan.

Yang menariknya dalam Wacana Ilmu: Bahasa Melayu Bahasa Ilmu, Dato’ Ts. Kamel Mohamad memulakan ucapannya dengan menceritakan serba sedikit pengalamannya ketika kecil. Beliau menjelaskan bahawa semangat cinta akan negara perlu dipupuk dan disemai sejak awal peringkat kehidupan. Ketika masih kecil, beliau pernah melihat ayahnya turun dari basikal semata-mata untuk menghormati bendera kebangsaan dan perkara tersebut sedikit banyak menunjukkan betapa tebalnya sikap patriotik generasi dahulu yang seharusnya dicontohi oleh generasi muda sekarang.

YBhg. Dato’ Ts. Kamel Mohamad berkongsi pengalaman dan menjelaskan kepentingan bahasa Melayu kepada para murid.

Selain itu, beliau juga menyedari bahawa sepatutnya kini setiap orang sudah mampu bertutur dalam sekurang-kurangnya tiga bahasa, dan bukan lagi masa untuk berdebat tentang penting atau tidak bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

Kita seharusnya fasih berbahasa Melayu, mahir bahasa Inggeris dan mampu bertutur bahasa ketiga selain daripada kedua-dua bahasa tersebut.

Kefasihan dalam berbahasa Melayu harus ditunjukkan melalui percakapan, penulisan, dan dalam bidang kesenian dan kebudayaan yang lain. Beliau menyarankan agar para murid mengetahui disiplin, ilmu dan tatabahasa bahasa Melayu. Hal ini termasuklah dengan memperkaya perbendaharaan kata melalui kamus dan mempelajari hukum dan tatabahasa bahasa Melayu.

Selanjutnya, beliau juga memberikan penekanan terhadap usaha mempelajari bahasa Melayu melalui persembahan seni dan kebudayaan seperti mendengar bacaan deklamasi puisi, menonton teater dan sebagainya. Tindakan tersebut secara tidak langsung boleh mencetuskan kreativiti dan ekspresi selain boleh menajamkan keupayaan bertutur dan menulis.

Beliau menutup ucapannya dengan memberikan pesanan yang amat berharga kepada para murid:

Murid-murid yang ada di hadapan saya ini harus ada semangat untuk terus belajar. Anak-anak merupakan generasi pewaris negara. Sayangilah bahasa kebangsaan kita dan kentalkan diri dengan rasa juang yang tinggi demi negara.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran sedang memberikan ucapan.
Upacara penyampaian hadiah.
Para tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan dengan para murid yang menerima hadiah pertandingan.

Program tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi aktiviti pertandingan yang telah diadakan. Yang turut sama dalam program tersebut ialah YBrs. Puan Anns Tor Lay Yee (Wakil Pengarah Bahagian Kampung Baru Cina, Kementerian Perpaduan Negara), YBrs. Puan Wan Norlita Md. Noor (Wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis), YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP) dan YBrs. Puan Kung Hong Lian (Guru Besar SJKC Khoon Aik).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.