4 Julai 2022, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Zaman kesultanan Melayu telah menyaksikan tulisan Jawi sebagai nadi penting yang menjadi komunikasi tulisan antara kerajaan Melayu untuk berhubungan antara satu sama lain menerusi pengutusan warkah malahan pihak Eropah juga telah belajar dan menggunakan tulisan Jawi serta menggunakan medium yang sama untuk berurusan dengan pemerintah kerajaan Melayu.

Hal ini membuktikan bahawa tulisan Jawi mempunyai keistimewaannya tersendiri sehingga diangkat sebagai tulisan penghubung masyarakat dunia. Walaupun penaklukan bumi bertuah ini telah terjadi dan berkembangnya tulisan Rumi Latin yang tidak dapat disekat, dokumen pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tetap ditulis dalam tulisan Jawi.

Tulisan yang melambangkan kemajuan dan kemegahan tamadun Melayu ini acap kali menghadapi onak durinya yang tersendiri. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menyebut, “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa tulisan ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi bagi bahasa kebangsaan” sebenarnya telah memberikan cabaran tersirat kepada tulisan Jawi.

Tanpa disedari, penggunaan tulisan Jawi semakin menapak ke belakang, ditinggalkan oleh tulisan Rumi yang semakin mekar dan berasimilasi dalam kehidupan masyarakat. Perkara yang paling sadis apabila terdapat ideologi yang menjajah minda dan menimbulkan persepsi negatif kepada tulisan Jawi yang kononnya tidak mesra pengguna, bersifat ortodoks dan tidak relevan untuk diaplikasikan dalam arus perdana.

Profesor Dr. Kang Kyoung Seok, pakar Jawi dari Korea sering kali menyatakan dalam kajian yang dilakukannya bahawa tulisan Jawi akan mengalami kepupusan dalam jangka masa 10 tahun hingga 20 tahun jika tidak lagi dipraktikkan. Seharusnya pernyataan daripada sarjana ini diambil dengan langkah serius. Sikap membungkamkan tulisan Jawi seharusnya dibuang dengan tidak menjadikannya sebagai tulisan alternatif atau digunakan semasa perlu sahaja. Masyarakat perlu sentiasa sedar bahawa tulisan ini ialah identiti kepada masyarakat Malaysia.

Kita sangat berbangga dengan hasil manuskrip Melayu yang telah menjadi robekan bangsa asing untuk mengetahui falsafah dan pemikiran bangsa Malaysia, tetapi tetap membiarkan ilmu yang terkandung di dalamnya terbengkalai tanpa waris penelaah. Respons membatu terhadap situasi tersebut menyebabkan nasib tulisan Jawi ibarat nyawa di hujung tanduk. Kesan yang paling nyata apabila bahan berharga tersebut hanya selayaknya menjadi pameran tanpa diulit dengan sebaik-baiknya.

Pendigitalan manuskrip Melayu yang tidak dinafikan menelan perbelanjaan yang tinggi juga tidak akan menjadi pemangkin kepada penyelongkaran ilmu watan jika gagal menguasai tulisan Jawi. Kelekaan yang berpanjangan seperti ini akan merugikan kita sendiri. Walau bagaimanapun, terdapat usaha gigih daripada para pejuang tulisan Jawi untuk membendung masalah ini daripada berterusan.

Evolusi sistem tulisan Jawi yang bermula daripada Sistem Ejaan Jawi Pakatan sehinggalah Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan bertujuan untuk merekayasa tulisan Jawi agar sentiasa relevan dan mengikut peredaran masa serta dapat digunakan dalam semua bidang. Selain dapat berdaya saing di persada Revolusi Industri 4.0, slot seperti Klinik Jawi yang dikendalikan oleh pakar dan disiarkan di radio dan di Facebook Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merupakan suatu inisiatif bagi menjelaskan padanan penggunaan ejaan dengan istilah dalam bidang profesional. Slot-slot seperti ini perlu diperluaskan di semua saluran radio agar setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa serta agama mendapat manfaat daripadanya dengan lebih memahami kaedah yang betul mempelajari tulisan Jawi.

Penulis sangat kagum dan bangga apabila membaca tulisan Jawi yang digunakan pada nama bangunan, gedung perniagaan, papan iklan, nama jalan dan juga pejabat. Hal ini menandakan bahawa tulisan Jawi menjadi pilihan utama berselang seli dengan tulisan lain. Jika pergi ke beberapa negeri, misalnya ke Kelantan, Terengganu dan Johor, mata dan mulut kita akan turut sama berkolaboratif dengan tulisan tersebut.

Namun demikian, kita tidak ingin tulisan tersebut hanya menjadi seperti seni arca tontonan bacaan di samping terpesona akan bentuk tulisannya yang cantik semata-mata. Oleh itu, untuk menghidupkan suasana tersebut, kita perlu meraikan tulisan Jawi menjadi lebih berdimensi. Misalnya, dengan menggunakannya sebagai tanda pada harga, tulisan pada logo atau pakaian uniform pekerja dan plat nombor kenderaan.

Kempen “Hari Jumaat Hari Jawi” yang diperkenalkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada tahun 2020 merupakan iltizam bagi menzahirkan pemartabatan tulisan Jawi di rangkaian televisyen utama negara. Penggunaan tulisan Jawi di paparan Berita Al-Hijrah membuktikan bahawa tulisan ini berwibawa dan dapat menyampaikan maksud tanpa sebarang cacat cela.

Kempen seperti ini perlu digiatkan lagi dengan pemaparan tulisan Jawi pada setiap iklan televisyen dan juga perlu memberikan ruang slot secara visual untuk mempromosikan tulisan ini. Selain itu, bagi menyemarakkan lagi tulisan Jawi di seluruh negara, perlu ada satu acara sambutan seperti Dekad Bahasa Kebangsaan yang diadakan di setiap zon negeri secara berjadual.

Kepemimpinan melalui teladan yang ditunjukkan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Albakri juga perlu dicontohi. Beliau telah menggunakan tulisan Jawi dalam urusan rasmi jabatan tersebut melalui kenyataan media, kepala surat rasmi menteri dan juga media sosial rasmi jabatan tersebut. Tindakan ini telah mendapat sokongan penuh daripada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2021 dalam Majlis Pelancaran Buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia yang menggesa agar agensi kerajaan dan tidak terkecuali pihak swasta, bersama-sama mempromosikan penggunaan tulisan Jawi.

Walaupun dikotomi yang wujud dari pelbagai sudut, perjuangan untuk tulisan Jawi tidak pernah luntur. Penerbitan Kamus Dewan Perdana pada tahun 2020 ialah satu usaha mengangkat maruah tulisan Jawi sebagai tulisan bagi bahasa Melayu. Satu perkembangan yang sangat memberangsangkan apabila pelbagai aplikasi secara dalam talian dibangunkan untuk memasyarakatkan tulisan Jawi kepada tulisan Rumi di arena teknologi multimedia.

Antaranya termasuklah http://ebayt.muip.gov.my/jawi/, https://www.ejawi.net/converterV2.php?go=rumi dan Jawigram. Pembangunan aplikasi teknologi ini tidak pernah terpadam malahan tumbuh seperti cendawan selepas hujan untuk terus membantu masyarakat yang ingin mengetahui tentang pemodenan ejaan tulisan Jawi.

Pengetahuan tentang tulisan Jawi ini perlulah berkesinambungan, iaitu dari peringkat sekolah rendah dengan pembelajaran asas dan seterusnya dikembangkan dan diperkukuhkan lagi di peringkat menengah dan juga universiti. Gerak kerja ini bukanlah dipusatkan kepada kursus Pendidikan Islam semata-mata tetapi perlu diperluaskan menerusi subjek lain atau kursus yang berdiri sendirinya dengan nama yang cenderung tentang tulisan Jawi.

Memang tidak dapat disangkal, dengan mempelajari tulisan Jawi akan dapat membantu umat Islam membaca al-Quran. Namun begitu, janganlah hal ini dijadikan alasan utama kepada pihak lain untuk tidak mempelajari tulisan Jawi. Oleh itu, cadangan seperti aktiviti pembacaan prosa ataupun puisi dalam tulisan Jawi seperti  buku bacaan wajib dengan adanya penilaian peperiksaan perlu diperkenalkan. Perkara ini akan menyebabkan ahli masyarakat cakna dan mempelajari tulisan ini.

Walaupun pelbagai desakan untuk memartabatkan tulisan Jawi sering kedengaran namun hal ini tidaklah berpanjangan. Namun begitu, hal ini tidak pernah mematahkan semangat para pejuang tulisan Jawi yang silih berganti malahan perjuangan ini telah mewujudkan peminat tegar yang baru berkecimpung untuk meneruskan legasi ini. Tulisan Jawi tidak akan menjadi seperti lalang yang ditiup angin kerana prinsipnya teguh dan tidak pernah mengalah dalam arus globalisasi demi warisan bangsa dan negara.

 

 

********************************************************************************

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!