19 Julai 2022, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok Pensyarah Tokyo University of Foreign Study, Profesor Madya Dr. Hiroki Nomoto berkongsi ilmu berkenaan dengan dialek Melayu dan bahasa serumpun melalui wacana anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) di platform Webex pada pagi tadi. Wacana yang disampaikan pada kali ini bertajuk “Ayat Pasif: Kelihan terhadap Dialek Melayu dan Bahasa-bahasa Serumpun” merupakan program Bicara 2022 siri yang ketiga.

Menurut Dr. Hiroki, ayat pasif merupakan satu daripada bidang kemahirannya dan mengakui bahawa perbincangan tentang ayat pasif ini sedikit sukar kepada peserta yang pertama kali mengikuti topik ini.

Terdapat variasi antara ayat pasif di dalam dialek bahasa Melayu. Ada dialek yang mengekalkan ciri ayat pasif bahasa Melayu dahulu dan ada pula dialek yang tidak mengekalkan ciri ayat pasif bahasa Melayu dahulu.

Hal ini bermakna, sesetengah dialek bahasa Melayu sudah tidak mengekalkan ciri bahasa Melayu klasik dan dalam dialek-dialek seperti itu, lahirlah pola yang baharu untuk mengungkapkan ataupun mengganti ayat bagi bentuk yang lama.

Tambah beliau, terdapat dialek yang ayat pasifnya menunjukkan ciri-ciri yang serupa dengan bahasa serumpun.

Hal ini juga sesuatu yang menarik kerana kalau kita lihat dialek-dialek bahasa Melayu yang terdapat di Malaysia, mungkin kita akan terkejut melihat ciri-ciri yang agak berbeza daripada dialek standard. Namun begitu, apabila meluaskan pandangan ke luar Malaysia, kita masih dapat mencari bahasa-bahasa yang serupa dengan dialek-dialek yang nampaknya sangat luar biasa dari perspektif Malaysia.

Dr. Hiroki menggunakan buku Tatabahasa Dewan dan Syntax sebagai rujukan dalam menentukan ayat pasif.

Pensyarah dari negara matahari terbit ini pernah menterjemahkan cerpen karya Sasterawan Negara ketujuh, Arena Wati yang bertajuk “Cikgu Rukiah” dan merupakan graduan Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Minnesota Amerika Syarikat.

Dr. Hiroki Nomoto dan Dr. Tarmizi Hasrah selaku pengerusi bersama-sama peserta program.

Program menarik yang berdurasi selama sejam setengah ini dipengerusikan oleh Pensyarah Kanan SLCP UUM, Dr. Tarmizi Hasrah dan turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Pendidikan dan Inovasi SLCP UUM, Profesor Madya Dr. Mohd. Hilmi Hamzah, para pensyarah, mahasiswa SLCP UUM, dan orang awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.