20 Julai 2022, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu dengan kerjasama IPG Kampus Tun Hussein Onn dan IPG Kampus Gaya menganjurkan Kolokium Pemantapan Bahasa Melayu (KOLOPEM BM) dan Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan 2022 pada 20 Julai 2022 hingga 21 Julai 2022.

KOLOPEM BM yang berlangsung selama dua hari ini bertemakan “Pemantapan Penyelidikan Bahasa Melayu dan Inovasi Peneraju Kecemerlangan Pendidikan” dan dimulakan dengan ucap utama oleh pakar bahasa, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, yang bertajuk “Isu, Cabaran dan Hala Tuju Pemantapan Bahasa Melayu”.

Menerusi ucap utamanya, beliau berpendapat bahawa tajuk ini amat penting dan relevan dalam perkembangan bahasa Melayu pada masa ini. Perbincangan ini terbahagi kepada tiga aspek, iaitu pemantapan bahasa Melayu, isu dan cabaran proses pemantapan bahasa Melayu di Malaysia serta hala tuju bahasa Melayu pada abad ke-21.

Menurut beliau, pemantapan bahasa Melayu dilihat dari dua sudut, iaitu pemantapan bentuk atau binaan bahasa Melayu dan pemantapan penggunaan bahasa Melayu pada masa ini. Pemantapan dari segi bentuk atau binaan bahasa merujuk struktur-struktur yang menjadikan bahasa Melayu suatu bahasa yang tersendiri. Yang paling utama dapat dilihat ialah dari segi kosa kata atau perbendaharaan kata. Hal ini kerana kosa kata merupakan asas bahasa. Penggunaan kosa kata yang tidak sesuai, tidak tepat dan tidak mencukupi akan menyebabkan mesej tidak dapat disampaikan dengan baik.

Proses pemantapan bahasa juga dilihat daripada binaan bahasa itu sendiri. Antaranya termasuklah proses pengimbuhan. Pemantapan bahasa Melayu perlu kerana bahasa Melayu terpinggir semasa zaman penjajah.

Tambah beliau, bahasa Melayu seperti juga bahasa lain dipilih sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi bagi menggantikan bahasa penjajah memerlukan perancangan bahasa. Hal ini bagi memantapkan bahasa itu yang tertinggal penggunaannya dari pelbagai aspek semasa zaman penjajahan. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam merancang bahasa Melayu untuk memikul tugas baharunya sebagai bahasa rasmi negara melalui Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahkan proses perancangan bahasa di negara ini merupakan antara yang terbaik semasa abad ke-20.

Pemantapan penggunaan bahasa juga dilihat pada sistem penyebaran bahasa untuk membolehkan bahasa Melayu tersebar luas penggunaannya. Usaha menyebarluaskan bahasa Melayu bukan sekadar dalam khalayak penutur asalnya semata-mata, bahkan kepada khalayak bukan penutur asal.

Menurut beliau lagi, bahasa Melayu perlu dimantapkan agar berjaya sebagai bahasa kebangsaan. Pemantapan dari pelbagai aspek seperti bahasa pentadbiran, bahasa ilmu dan sebagainya perlu untuk mengangkat maruah bahasa Melayu. Sememangnya terdapat pelbagai cabaran dalam proses pemantapan bahasa Melayu kerana penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja kurang memuaskan dalam kalangan penutur bukan asal, bahkan dalam kalangan penutur bahasa asal itu sendiri. Oleh itu, proses pemantapan memerlukan perancangan yang rapi dan komitmen semua pihak.

YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim ketika menyampaikan ucap utama.

Antara cabaran utama pemantapan bahasa Melayu termasuklah pengaruh bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris lebih dihormati kerana nilai ekonominya yang tinggi. Selain itu, psikologi masyarakat kita yang memandang tinggi akan bahasa Inggeris turut menyebabkan bahasa Melayu semakin sukar dimantapkan. Kepentingan bahasa Inggeris memang diakui tetapi kita tidak boleh mengetepikan terus bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara. Masyarakat kita juga tidak mempunyai rasa setia terhadap bahasa dan rasa bangga akan bahasa yang menjadi cabaran kepada pemantapan bahasa Melayu. Cabaran terakhir dalam usaha pemantapan bahasa Melayu ialah globalisasi kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa global tetapi bahasa Melayu bukanlah bahasa global.

Selain itu, beliau turut menyenaraikan hala tuju bahasa Melayu pada abad ke-21, iaitu bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang merangkumi bahasa rasmi, bahasa ilmu, bahasa perhubungan dan sebagainya. Oleh itu, semua pihak harus menerima hakikat tersebut. Beliau juga menyeru pemimpin negara untuk percaya kepada kemampuan bahasa Melayu. Pemantapan bahasa Melayu pada abad ke-21 sememangnya perlu dibantu dan sikap berasa bangga dan setia akan bahasa perlu dipupuk melalui gerakan cintai bahasa dan sebagainya.

Ucap utama ini boleh ditonton secara dalam talian melalui saluran youtube IPG Kampus Bahasa Melayu https://www.youtube.com/c/RasmiIPGKampusBahasaMelayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.