20 Julai 2022, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menggatal – Program Bersahabat dengan Kamus (BdK) anjuran Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) berjaya dilaksanakan untuk siri yang ke-5 dengan kerjasama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk, Menggatal, di SJKC Lok Yuk, Menggatal, Sabah.

Program yang dilaksanakan selama hampir sejam lebih ini melibatkan penyertaan sebanyak 97 orang murid Tahap Dua, enam orang guru dan empat orang pegawai DBPCS selaku urus setia. Ceramah Bdk ini disampaikan oleh Puan Julianah Kuli, Ketua Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBPCS.

Pada tahun ini, DBPCS merancang untuk melaksanakan program BdK sebanyak sembilan siri, iaitu enam siri yang bersifat pembudayaan bahasa Melayu atau bahasa sukuan secara umum dan tiga siri lagi berkaitan dengan pembudayaan Jawi.

Dalam pelaksanaan program BdK siri yang ke-5 ini, DBPCS amat berbesar hati kerana dapat menjalinkan kerjasama erat dengan SJKC Lok Yuk, Menggatal, Sabah yang diketuai oleh Puan Yee Goih Hong, selaku Guru Besar sekolah tersebut.

Sesi ceramah BdK sedang berlangsung.

Puan Chung Nyuk Kim, Penolong Kanan Kokurikulum SJKC Lok Yuk juga melahirkan rasa teruja dan bersemangat apabila melihat penglibatan murid-murid yang sangat baik dan berharap agar program ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

Program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar dan orang ramai tentang fungsi kamus, cara menggunakan kamus dengan betul dan tatacara pembinaan kamus. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memberikan maklumat kepada orang ramai bahawa DBP menerbitkan pelbagai jenis kamus ekabahasa, kamus dwibahasa, kamus istilah dan kamus bahasa sukuan, sekali gus membantu meningkatkan jualan kamus DBP.

Program ini juga menggalakkan khalayak memberikan saran kata baharu melalui medium yang betul. Di samping itu, program ini sebenarnya juga bertujuan untuk memperkenalkan Kamus Dewan Perdana kepada masyarakat umum terutama tentang maklumat baharu yang ada di dalam kamus ini seperti etimologi, fonetik dan ejaan Jawi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.