Oleh Julianah
25 Julai 2022, 20:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beluran – Program Bersahabat dengan Kamus (BdK) siri yang ke-6 dan Majalah dalam Kelas (MDK) siri pertama yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) berjaya dilaksanakan dengan kerjasama SK Sualok.

Program yang disertai oleh 190 orang murid dan 15 orang guru ini diadakan di SK Sualok dan turut dihadiri oleh pelajar dari SK Lidong, SK Ladang Sabapalm, SK Tagas-Tagas, SK Pamol, SK Nangoh dan SK Basai Baru bersama-sama guru pengiring masing-masing.

Sesi ceramah Bersahabat dengan Kamus sedang berlangsung.

 

Sesi ceramah MDK siri pertama sedang berlangsung.

Program yang berlangsung selama tiga jam ini disampaikan oleh Puan Julianah Kuli, Ketua Unit Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBPCS untuk Program Bersahabat dengan Kamus dan Encik Mohd Fazrin Jaimat, Ketua Unit Pemasaran dan Pengedaran untuk program MDK.

Antara objektif program ini termasuklah untuk meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa kebangsaan melalui kamus dan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan mudah dengan maklumat menarik dan interaktif yang terkandung di dalam majalah.

Puan Jahalah Hammid, iaitu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Sualok dalam ucapan alu-aluannya berharap agar program ini dapat memberikan pendedahan kepada pelajar dan guru tentang fungsi kamus, cara menggunakan kamus, keistimewaan majalah terbitan DBP dan sekali gus menyemai semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar dan guru. Pihak sekolah juga berharap agar program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Selain itu, DBPCS turut mengadakan jualan buku terbitan DBP, sesuai dengan satu daripada objektif kedua-dua program tersebut, iaitu mempromosikan kamus dan majalah terbitan DBP. Jualan buku DBP mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada para pelajar, ibu bapa dan guru-guru yang hadir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.