2 Ogos 2022, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengantarabangsaan bahasa Melayu merupakan antara agenda yang diberi perhatian oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Setiap daripada kita merupakan duta bahasa Melayu termasuklah para pelumba motosikal. Sehubungan dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP telah menjemput Pelumba Supermotor S4, Khairulamirin Yahaya dan pelumba motosikal berkuasa tinggi, Kishore Dhanabalasingham sebagai tetamu istimewa bagi membincangkan isu “Keeksklusifan Bahasa di Grand Prix”. Siaran langsung selama lebih kurang satu jam setengah itu menampilkan Rafiq Rahman selaku moderator.

Menurut Khairulamirin Yahaya, amat sukar untuk menggunakan bahasa Melayu dalam dunia permotoran yang bukan sahaja pada peringkat antarabangsa bahkan di Malaysia. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa Melayu kurang dititikberatkan di negara ini. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia lebih senang menggunakan istilah “practice” daripada “latihan” dalam bahasa Melayu.

Beliau turut mengakui bahawa dirinya tidak mengetahui tentang perkataan “pendikit”. Beliau berkata, kemungkinan sikap ibu bapa yang gemar menggunakan bahasa campuran menyebabkan generasi kini kurang mahir atau kurang mengetahui sesuatu istilah dalam bahasa Melayu. Pada zaman ini, masyarakat juga gemar menggunakan perkataan singkatan dalam kehidupan seharian.

Dalam sukan permotoran, penggunaan bahasa Melayu adalah sukar kerana ada individu yang terlibat merupakan orang asing (dari luar negara) dan langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa Melayu. Menurut Khairulamirin, beliau sendiri tidak mampu untuk menjelaskan situasi pemanduan dalam litar dan keadaan motosikalnya dalam bahasa Melayu.

Namun begitu, situasi tersebut berbeza bagi masyarakat Sepanyol. Ketika berkelana dan mengikuti perlumbaan di sana, saya mendapati bahawa masyarakat Sepanyol mempunyai semangat jati diri yang tinggi dan menjaga nilai bahasa mereka. Mereka seboleh-bolehnya akan bercakap menggunakan bahasa Sepanyol walaupun sudah ada sedikit percampuran bahasa sebagaimana yang berlaku di negara kita.

Beliau berpendapat, amat sukar untuk menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam sukan permotoran kerana kebanyakan pelumba perlu berurusan dengan individu yang langsung tidak mengetahui bahasa Melayu.

Bagi pelumba motosikal berkuasa tinggi, Kishore Dhanabalasingham, beliau juga sukar untuk menggunakan bahasa Melayu dalam dunia permotoran kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Menurut beliau, dalam setiap satu rumah di negara ini juga akan menggunakan banyak bahasa dan tidak tertumpu kepada penggunaan satu bahasa semata-mata.

Dalam bidang permotoran pula, istilah dalam bahasa Melayu perlu diringkaskan bagi memudahkan penyampaian kerana ada kalanya para pelumba hanya menggunakan bahasa isyarat. Menurut beliau, bahasa Melayu sukar digunakan sepenuhnya dalam sukan permotoran di Malaysia sebaliknya penggunaan dwibahasa merupakan jalan terbaik.  Hal ini bagi membolehkan para pelumba dilengkapi dengan kemahiran berbahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa jika mereka terlibat dalam perlumbaan antarabangsa.

Tambah beliau, dalam usaha menonjolkan budaya Malaysia, para pelumba perlu membawa nilai kesopanan masyarakat Malaysia dalam diri masing-masing. Setiap pelumba perlu sentiasa bersopan-santun dan menggunakan bahasa yang baik ketika berkomunikasi.

Tetamu jemputan dan moderator ketika bersiaran di Studio DBP.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.