3 Ogos 2022, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada bulan Jun dan Julai 2022, hangat diperkatakan oleh warga siber di laman Facebook tentang kerelevanan pembelajaran pemahaman makna tersirat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah. Pelbagai persepsi dan buah fikiran telah dikemukakan oleh warga siber. Kebanyakannya tidak bersetuju dengan pelaksanaan pembelajaran tersebut, khususnya pada Tahap Satu. Penulis berpandangan bahawa isu ini bersifat subjektif.

Oleh sebab itu, terpulanglah kepada pihak yang berkepentingan untuk menilai isu ini dengan mendapat pandangan yang jujur daripada pakar pendidikan bahasa Melayu, ahli linguistik dan ahli psikologi. Pandangan yang jujur tersebut pula hendaklah berpaksikan kajian yang komprehensif dan holistik. Hal ini dikatakan demikian kerana sememangnya terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pembelajaran makna tersirat tidak releven untuk kanak-kanak yang belajar di sekolah rendah.

Namun begitu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berusia lima tahun hingga 11 tahun mampu memahami makna tersirat. Dalam makalah “Children’s Ability to Recognize Implicit and Explicit Reasoning of Story Book Characters”, Szabo dan Brakas mendapati bahawa kanak-kanak di sekolah rendah sudah berupaya untuk memahami maklumat tersirat yang terdapat dalam teks dengan menggunakan penaakulan berasaskan pemikiran kritis.

Kajian yang dilakukan oleh Szabo dan Brakas ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berusia sembilan tahun dan 10 tahun sudah mula membina pemikiran operasi formal, iaitu keupayaan untuk berfikir secara abstrak, serta mampu memanipulasikan  idea dan menggunakan logik untuk menghasilkan jalan penyelesaian yang kreatif terhadap sesuatu masalah.

Noor Azmira Mohamed dalam disertasi doktor falsafahnya, “Pemahaman Makna Tersirat dalam Interaksi Kanak-Kanak Prasekolah”, menyatakan bahawa kanak-kanak yang berusia empat tahun hingga enam tahun telah menguasai pemahaman makna tersirat verbal dan bukan verbal yang tidak mengandungi unsur kiasan, peribahasa dan simpulan bahasa dengan baik. Faktor persekitaran dan penggunaan bahasa oleh orang dewasa menjadi faktor utama yang menyebabkan kanak-kanak ini berupaya untuk memahami makna tersirat.

Asmah Haji Omar dalam makalahnya yang berjudul “Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu” pula berpendapat bahawa bahasa melambangkan pengalaman dan pemahaman manusia terhadap alam sekelilingnya. Oleh sebab itu, semakin kerap kanak-kanak terdedah dengan perkataan, ayat atau ujaran yang mengandungi makna tersirat, semakin banyak pengalaman mentafsir makna tersirat yang akan diperoleh. Berdasarkan pengalaman tersebut, kanak-kanak ini berupaya mentafsirkan makna tersirat dengan baik.

Konteks pemahaman terhadap sesuatu makna berbeza antara kanak-kanak perempuan dengan kanak-kanak lelaki. Dalam makalah “Makna Ungkapan dalam Perbualan Kanak-Kanak Perempuan Berdasarkan Teori Imej”, Norajihah Muda dan Raja Masittah Raja Ariffin menyatakan bahawa perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak perempuan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lelaki. Oleh sebab itu, kanak-kanak perempuan yang berusia tujuh tahun hingga 10 tahun sudah cenderung untuk memikirkan sesuatu perkara secara mendalam. Pada masa yang sama, perbualan kanak-kanak perempuan juga mempunyai unsur pragmatik yang selaras dengan perkembangan bahasa kanak-kanak tersebut.

Sehubungan dengan itu, bagi membolehkan pengajaran pemahaman makna tersirat kepada murid sekolah rendah dilaksanakan, guru terlebih dahulu perlu menguasai ilmu semantik dan pragmatik, khususnya guru bukan opsyen Bahasa Melayu. Pengetahuan tentang ilmu semantik dan pragmatik yang mendalam dapat memudahkan dan memandu guru untuk menyusun strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Menurut Mat Taib Pa dalam makalah “Konsep Makna dan Jenisnya”, secara mudahnya makna tersirat merujuk makna sampingan bagi makna tersurat untuk satu-satu perkataan. Makna tersirat tidak bersifat tetap dan umum tetapi berbeza berdasarkan budaya, masa atau pengalaman. Sebagai contohnya, bagi perkataan lelaki, makna tersuratnya ialah jantina yang berlawanan dengan perempuan. Makna sampingannya pula boleh difahami sebagai ciri fizikal, psikologi dan sosial yang tertentu, seperti gagah, tegak, sukar menangis, kasar, pandai bertukang dan meminati permainan bola sepak.

Selain itu, Yule dan Widdowson dalam buku Pragmatic berpendapat bahawa pemahaman tentang makna tersirat hanya dapat difahami berdasarkan konteksnya. Hal yang sama dijelaskan oleh Thomas dalam bukunya Meaning in Interaction: An Introduction to Pragmatics. Menurut Thomas, makna tersirat bagi sesuatu ujaran perlu merujuk makna konteks, iaitu dengan mengambil kira konteks fizikal dan persekitaran, konteks sosial dan budaya, dan konteks linguistik bagi sesuatu ujaran. Tambah Thomas lagi, makna tersirat perlu difahami berdasarkan niat penutur, sama ada berbentuk penegasan, arahan, komisif, ekspresif atau pengisytiharan.

Oleh sebab makna tersirat hanya dapat difahami berdasarkan konteks dan konteks pula dapat memberikan pengertian yang pelbagai, pembelajaran pemahaman makna tersirat perlulah berpandukan konteks. Sekiranya pihak berkepentingan menetapkan bahawa pembelajaran tentang pemahaman makna tersirat perlu diajar di sekolah rendah, guru haruslah mengambil inisiatif untuk mengajar pemahaman makna tersirat secara terancang dan kreatif.

Dari segi pelaksanaannya, guru tidak sepatutnya bergantung kepada sebuah teks atau sekeping gambar semata-mata ketika mengajar. Guru perlu mempelbagaikan penggunaan bahan bantu mengajar supaya murid dapat meneroka makna tersirat berdasarkan konteks fizikal, persekitaran, sosial, budaya dan linguistik. Penggunaan bahan bantu mengajar yang berasaskan grafik, multimedia interaktif, audio, video, web dan digital pula akan memudahkan murid untuk menganalisis konteks.

Di samping itu, guru juga harus berani untuk menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang bersesuaian. Pengaplikasian strategi pemahaman bacaan yang pelbagai dan kaedah drama sangat relevan digunakan oleh guru untuk mengajar pemahaman makna tersirat. Menerusi teknik teater pembaca, teater bercerita, boneka, pantomim, simulasi, main peranan, memos dan monodrama, murid akan memperoleh banyak rangsangan untuk meneroka makna tersirat berdasarkan konteks.

Selain itu, George Romiko Bujang dan Mary Fatimah Subet dalam makalah “Merungkai Makna Sajak Istimewanya Kita: Pengaplikasian Semantik Inkuisitif dalam Kalangan Murid Tahun Empat” pula berpendapat bahawa pendekatan semantik inkuisitif yang digunakan oleh guru dapat membantu murid sekolah rendah memahami makna tersirat dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Menerusi penggunaan bahan bantu mengajar dan pengaplikasian strategi pembelajaran yang pelbagai serta bersesuaian, murid sekolah rendah dapat belajar meneroka sesuatu makna tersirat secara berpandu, terancang dan menyeronokkan.

Dalam isu ini, perkara yang paling mustahak ialah pihak berkepentingan tidak wajar menetapkan peraturan atau prosedur yang menyebabkan pembelajaran pemahaman makna tersirat di sekolah rendah berorientasikan hasil dan penaksiran semata-mata. Sebaliknya, pembelajaran pemahaman makna tersirat di sekolah rendah haruslah berorentasikan proses, iaitu proses meneroka makna tersirat. Oleh sebab itu, pembelajaran pemahaman makna tersirat boleh dilaksanakan menerusi aktiviti menghasilkan inferens atau ramalan. Dengan cara ini, murid sekolah rendah tidak terbeban untuk belajar mentafsir makna tersirat seperti pelajar dewasa. Secara tidak langsung, kemahiran berfikir dan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan murid dapat dibina secara berperingkat berdasarkan tahap pembangunan kognitif masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.