4 Ogos 2022, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pada 4 Ogos 2022, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan DBP menganjurkan Pertandingan Lagu Puisi bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022. Pertandingan Lagu Puisi yang berlangsung di Dewan Serbaguna, KPM disertai oleh sembilan orang peserta yang terdiri daripada warga KPM.

Penganjuran Pertandingan Lagu Puisi pada kali ini bertepatan dengan satu daripada objektif DBK 2022, iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang berbangga akan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu dan pembina tamadun dan jati diri bangsa. Hal ini turut diakui oleh Tuan Haji Rozman Shafie atau lebih dikenali sebagai LY, seorang komposer dan penulis lirik tersohor tanah air yang bertindak sebagai Ketua Juri Pertandingan Lagu Puisi pada kali ini.

Beliau mengatakan bahawa lagu puisi memainkan peranan yang sangat penting kepada negara kerana bait-bait puisi berupaya memberikan kesedaran kepada kita sebagai rakyat Malaysia, dan secara tidak langsung dapat melahirkan perasaan cinta akan negara.

LY memberikan ulasan keseluruhan Pertandingan Lagu Puisi bersempena dengan DBK 2022 Sektor Pendidikan, KPM.

Yang menariknya, Pertandingan Lagu Puisi ini julung-julung kali diadakan di KPM dengan tujuan untuk membina bakat penyampaian puisi dalam kalangan warga KPM. Hal ini sekali gus dapat membentuk pemahaman bahasa yang betul dan mengayakan kosa kata khususnya dalam karya puisi.

Juri Pertandingan Lagu Puisi yang terdiri daripada LY, Baiduri dan Dr. Azerai Azmi.

Menerusi pertandingan ini, juri yang terdiri daripada LY, Baiduri atau nama sebenarnya Puan Hajah Norkhayati Haji Mohd Hashim dan Dr. Azerai Azmi telah memilih enam orang pemenang. Tempat pertama dimenangi oleh Puan Ratna Sariayu Osman dari Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM dengan nyanyian lagu Penantian yang disampaikan dengan baik dan penuh penghayatan.

Puan Ratna Sariayu Osman.

Sementara itu, Encik Mohd Harith Mohd Rahim@Mohd Noor dari Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM memenangi tempat kedua dengan mempersembahkan lagu Permata Buat Isteri yang dipopularkan oleh kumpulan Kopratasa. Tempat ketiga pula dimenangi oleh staf dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM yang diwakili oleh Encik Tajul Effendy Hassan, Puan Nurbaity Ahmad dan Puan Saripah Faridah Syed Khalid yang menghiburkan hadirin dengan lagu Berita kepada Kawan.

Encik Mohd Harith Mohd Rahim@Mohd Noor.
Wakil dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM.

Tempat keempat dimenangi oleh Encik Ahmad Fadhli Abdul Mujib dari Bahagian Matrikulasi, KPM menerusi lagu Pertama Buat Isteri. Encik Moh Nazir Mohd Ghazali dari Bahagian Profesionalisme Guru, KPM pula memenangi tempat kelima melalui lagu Suatu Masa, manakala Yang Berbahagia Datin Nik Shareeza Roslyn Mohd Rosli dari Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian, KPM yang mempersembahkan lagu Doa mendapat tempat keenam. Setiap pemenang menerima wang tunai dan hadiah iringan daripada DBP dan KPM.

Sebahagian daripada peserta Pertandingan Lagu Puisi.

Kesemua peserta menerima cenderamata daripada DBP yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Latip Muhammad, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM. Program Pertandingan Lagu Puisi ini turut dihadiri oleh Encik Aznan Mad Natar, Ketua Penolong Pengarah Unit Penggalakan Kokurikulum dan Seni, KPM dan Puan Ritah Yahaya, Editor Kanan Bahagian Majalah, DBP yang mewakili Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.