6 Ogos 2022, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Perlis –Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Program Semarak Bahasa Melayu, anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Sekolah Muslim Wittaya Phuket, Thailand pada pagi ini.
Keberangkatan baginda disambut oleh Presiden Sekolah Muslim Wittaya Phuket, Kitti Islam dan diiringi oleh YB Dato’ Sri Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Program yang dianjurkan itu bertujuan untuk melestarikan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Muslim di Phuket. Menerusi program itu, Sekolah Muslim Wittaya Phuket telah memberikan kerjasama dan komitmen yang padu dalam menjayakan hasrat untuk terus memartabatkan bahasa Melayu di Wilayah-Wilayah Selatan.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah semasa berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Program Semarak Bahasa anjuran UiTM Cawangan Perlis.
Raja Muda Perlis semasa berkenan berangkat menyempurnakan  Majlis Perasmian Program Semarak Bahasa Melayu.

Dalam Majlis Perasmian Program Semarak Bahasa Melayu itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun antara Wilayah Selatan Thailand, Malaysia dan Indonesia. Selain itu, bahasa Melayu juga merupakan satu daripada wadah penyatuan selain menjadi lambang jati diri warga negara-negara serumpun. Oleh itu, baginda menyeru generasi muda agar terus melestarikan penguasaan bahasa Melayu kerana mereka merupakan pewaris yang bakal menjadi pemimpin masa depan. Menurut baginda, pelestarian bahasa Melayu amat penting untuk mengukuhkan jati diri generasi muda dalam mendepani arus kemodenan.

Raja Muda Perlis bersama-sama tetamu kehormat yang hadir.

Tetamu dan para pelajar yang hadir ke Program Semarak Bahasa.

Menurut baginda, seiring dengan perkembangan dunia semasa, nafas baharu perlu diberikan dalam pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu serantau. Proses pembelajaran dan pengajaran perlu ditambah nilai dengan teknik-teknik atau aktiviti yang mampu menarik minat para pelajar untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu. Sebagai contoh, penggunaan teknologi dan aplikasi terkini seperti video, podcast, dan gamifikasi dapat menarik minat pelajar khususnya generasi muda untuk mendekati bahasa ini.  Selain itu, usaha ini dapat meningkatkan literasi digital para pelajar. Titah baginda lagi:

Kita sedar bahawa program pembelajaran ini sudah tentu tidak dapat dijalankan dengan jayanya tanpa sokongan dari pelbagai sudut. Ini termasuklah pihak Majlis Agama Islam Phuket,  MAIPs, dan Pengurusan Tertinggi Sekolah Muslim Wittaya Phuket.  Saya doakan agar kerjasama ini terus berjaya dan diberkati agar kita dapat sama-sama mengangkat martabat bahasa yang pernah pada suatu masa dahulu menjadi lingua franca.
Baginda juga berharap agar kerjasama antara Malaysia dengan Thailand dapat diteruskan dan dipertingkat lagi pada masa depan dengan pelbagai idea yang lebih kreatif dan tindakan yang lebih proaktif supaya dapat memberikan impak yang tinggi dalam pembangunan masyarakat, budaya dan sosial antara kedua negara.
Dalam program tersebut, Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan wang pendidikan daripada MAIPs untuk sekolah.
Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan wang daripada MAIPs kepada pihak sekolah.
Majlis Program Semarak Bahasa yang diadakan pada pagi tadi diserikan dengan persembahan sajak berjudul “Bahasa Melayu Bahasaku” oleh pelajar dan persembahan nasyid oleh para pelajar sekolah rendah. Pada akhir majlis, Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyantuni para tetamu yang hadir dalam majlis tersebut.
Persembahan sajak oleh pelajar.
Persembahan nasyid oleh pelajar sekolah rendah.

 

Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyantuni dan bergambar dengan tetamu yang hadir.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.