15 Ogos 2022, 21:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Seminar Jawi dan Teknologi yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP turut disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP. Sesi kedua seminar yang bermula pada pukul 12.45 tengah hari itu menampilkan tiga orang pembentang, iaitu dari Akademi Jawi Kebangsaan Malaysia, Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS) dan dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan Malaysia.

Encik Muhammad Syukri Rosli dari Akademi Jawi Kebangsaan Malaysia.

Encik Muhammad Syukri Rosli dari Akademi Jawi Kebangsaan Malaysia dengan kertas kerjanya yang bertajuk “Pemetaan Kerja Jawi dan Teknologi” menerangkan tiga konsep Jawi dengan tujuan untuk menjadikan tulisan Jawi sebagai satu bentuk persuratan. Contohnya, tulisan Jawi dijadikan sebagai cap mohor dan ditulis dalam manuskrip. Selain itu, perlu ada satu disiplin ilmu untuk dapat mewarnai dan menghargai khazanah tamadun bangsa.

Tambah beliau, dari segi teknologi, terdapat tiga pendekatan yang dapat dilaksanakan, iaitu dapat memudahkan kerja dan menyelesaikan kerja pada waktu yang singkat, dapat menambah ilmu dan maklumat dengan pantas secara meluas dan dapat menambah kecerdasan akal fikiran. Menurutnya lagi, tulisan Jawi merupakan tulisan kedua terbanyak penggunaannya di dunia, iaitu tulisan Jawi muncul disebabkan oleh kewujudan teknologi.

Selain itu, usaha giat perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak dengan memperbanyak penerbitan bahan bacaan dalam tulisan Jawi, mengadakan sistem pengarkiban bersama, menyediakan satu bentuk rupa taip yang mirip dengan huruf Jawi yang ada dan yang hampir pupus. Masyarakat perlu menggunakan tulisan Jawi kerana tulisan Jawi boleh berkembang sebagai satu bidang yang lebih besar pada masa akan datang.

Encik Mat Yusof Abd Rahman pula mewakili PENJAWIS.

Sesi pembentangan seterusnya pula diteruskan oleh Encik Mat Yusof Abd Rahman dari PENJAWIS, yang juga Pengerusi Persatuan Munsyi Dewan. Dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Teknologi Sokongan Tulisan Jawi”, terdapat teknologi yang boleh diguna pakai pada sistem komputer yang menyokong penggunaan tulisan Jawi bagi memudahkan usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam tulisan Jawi.

Antaranya, termasuklah paparan papan kekunci android seperti Gboard, dan JawiUKM, yang menyediakan kemudahan untuk menaip tulisan Jawi. Terdapat juga kemudahan kekunci pada iPhone. Selain itu, terdapat perisian yang menyokong aplikasi transliterasi komputer daripada tulisan Rumi kepada tulisan Jawi seperti perisian e-jawi.net, dan aplikasi Jawi secara dalam talian pula seperti eJawiMakmur, ejawi2u, dan jawigram (perisian dalam telegram).

YBrs. Dr. Abd. Rahman Hamzah, selaku Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Akademi Tamadun Islam UTM muncul sebagai pembentang terakhir.

Sementara itu, YBrs. Dr. Abd. Rahman Hamzah, selaku Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan dan pensyarah kanan Akademi Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia pula berkongsi pandangannya dengan hadirin melalui kertas kerjanya yang berjudul “Anjakan Futuristik Seni Tulisan Jawi dalam Era Industri 4.0”. Katanya, aktiviti tulisan Jawi cantik melalui seni khat kini semakin mendapat sambutan daripada masyarakat Malaysia.

Tambah beliau, seiring dengan era digital, tulisan Jawi dan seni khat turut mengalami pemodenan dengan pengenalan pelbagai teknologi. Pelbagai aplikasi baharu turut berkembang yang melibatkan setiap peringkat dan aktiviti yang dijalankan.

Dari segi estetika, seni tulisan Jawi cantik, iaitu gaya melentur lembut banyak digunakan oleh masyarakat di Alam Melayu. Bentuk gaya tulisan Jawi lama tertumpu manuskrip yang jelas dapat dilihat pada Batu Bersurat Terengganu, manuskrip lama, batu nesan dan lain-lain.

Menurut beliau, tulisan Jawi juga mengalami proses pengindahan mengikut pelbagai faktor seperti tulisan lain yang bersumberkan huruf Arab. Pada zaman awal Islam, gaya tulisan Arab secara amnya boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu ciri lembut melentur dengan gaya tulisan tangan bebas untuk kegunaan harian dan bentuk kaku, bersudut dan kemas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.