Oleh Nazrul Aziz
19 Ogos 2022, 23:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kubu Baru − Dengan mengambil semangat dan roh bulan kebangsaan, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah mengadakan Sayembara Deklamasi Puisi Piala Komandan ABPM Wilayah Tengah yang berlangsung di Auditorium Haji Mansur, ABPM Wilayah Tengah.

Selain pakar dalam memadamkan api serta menyelamatkan nyawa dan harta benda, siapa sangka para pegawai bomba turut hebat dalam mendeklamasikan puisi. Dengan membawakan puisi yang berjudul “Tanah Airku Menjelang Kemerdekaan” nukilan Usman Awang, Rusydi Zahari muncul sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Piala Komandan ABPM Wilayah Tengah. Tempat kedua pula dimenangi oleh Muhammad Khuzir dan tempat ketiga disandang oleh Mohd Nazrullah Abdul Aziz. Johan sayembara ini membawa pulang piala pusingan, wang tunai dan hadiah iringan manakala naib johan, tempat ketiga dan sagu hati membawa pulang wang tunai dan hadiah iringan.

Dari kiri: Mohd Nazrullah Abdul Aziz, Rusydi Zahari dan Muhammad Khuzir.

Sebanyak lapan orang peserta telah mengambil bahagian dalam sayembara ini yang terdiri daripada pegawai kadet yang sedang menjalani program Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan dan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan di ABPM Wilayah Tengah.

Antara objektif sayembara ini diadakan adalah untuk menanam sikap patriotik dalam kalangan pegawai kadet dan kakitangan ABPM Wilayah Tengah. Sayembara ini turut dapat menyemai rasa cinta akan bangsa dan negara di samping dapat mencungkil bakat terpendam dalam kalangan pegawai kadet ABPM Wilayah Tengah.

Sayembara Deklamasi Puisi Piala Komandan ini telah dirasmikan oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Muhammad Azmi Ismai, Komandan ABPM Wilayah Tengah. Yang turut hadir ialah Timbalan Komandan, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abdul Halim Mohamed Jadi serta pegawai, jurulatih dan kakitangan ABPM Wilayah Tengah.

Dalam ucapan Komandan ABPM Wilayah Tengah, beliau tidak menyangka bahawa terdapat banyak bakat baharu yang boleh mendeklamasikan puisi dengan baik. Beliau berharap agar para pegawai kadet ini tidak mensia-siakan bakat mereka dan teruskan usaha untuk mendalami ilmu deklamasi serta pengucapan.

Komandan juga menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur yang terdiri daripada Pegawai Perhubungan Awam, pegawai kadet platun ALPHA, pegawai kadet DPSK dan DLSK yang bertungkus lumus menjayakan sayembara puisi ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.