21 Ogos 2022, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Dengan gerak tubuh memukau, gema lantunan suara mantap serta penghayatan mendalam, Noorazli Sudin, Pembantu Makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, Teluk Intan, telah dinobatkan sebagai johan dalam sayembara tersebut. Noorazli mendeklamasikan puisi yang berjudul “Sumbangsih buat Nusa Bangsa” karya Jamilah Harun dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2022, yang diadakan di pekarangan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Perak pada 20 Ogos 2022.

Naib Johan pula disandang oleh jurulatih senam tari, Rozarina Mohd Rusli yang mendeklamasikan puisi yang berjudul “Citra Jiwa Merdeka” karya Abdul Karim Gulam, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Shazrien Baharudin dengan puisi yang berjudul “Apakah Masih Gelintar” karya Amiruddin Ali.

Berdasarkan rekod, Noorazli pernah mewakili negeri Perak ke sayembara peringkat kebangsaan pada tahun 2019 dan tahun 2020 serta pernah memenangi tempat kedua dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-34 Peringkat Kebangsaan pada tahun 2020.

“Kemenangan saya pada kali ini merupakan rezeki dan hasil sokongan sahabat deklamator serta ahli keluarga saya sendiri yang membuatkan saya terus berani berdiri di pentas sayembara untuk membuktikan kecintaan saya dalam dunia puisi ini,” ujar Noorazli yang bakal mewakili negeri Perak dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-36 Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur pada bulan September kelak.

Sementara itu, hadiah sagu hati pula telah dimenangi oleh Mohamad Abu Hasan (“Tanggam Warisan” karya Shapiai Muhammad Ramly), Suhaila Zambri (“Jangan Gendang Bertingkah Lagi” karya Ab Rani Embi) dan Wan Muhammad Huzaini (“Milik Siapakah Tanah ini” karya Mohd Ghazali Taib).

Johan, naib johan dan pemenang tempat ketiga pula masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.00, RM700.00 dan RM500.00 berserta hadiah iringan. Pemenang sagu hati pula masing-masing menerima hadiah wang tunai RM200.00 berserta hadiah iringan.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Abdul Rashid Abdullah, Pengarah JKKN Perak dan Temasya Budaya Negeri Perak 2022 pula telah dirasmikan oleh Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Tempatan, Pengangkutan dan Pelancongan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Pada kali ini,  JKKN Perak turut mengisi sambutan bulan kemerdekaan dengan penganjuran Temasya Budaya Negeri Perak 2022. Antara aktiviti lain yang diadakan dan mendapat sambutan ramai termasuklah acara Sepak Raga Ratus dan Terompah Gergasi, Nyanyian Lagu Loghat Perak dan Klinik Seni Budaya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.