4 September 2022, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai acara kayuhan basikal bersempena dengan sambutan ulang tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak yang ke-45 di Kuching, Sarawak semalam. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Encik Fazruddin Abdul Rahman dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai.

Yang turut serta dalam acara tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah JPA (Operasi), Datuk Ts. Kamel Mohamad, Ketua Perangkaan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato Mohd Azman Ahmad Sapri, Panglima 1 Divisyen Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Hassan Embong dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Dr. Sabariah Putit.

DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat mencemar duli menandatangani buku pelawat.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan peserta yang terlibat semasa program kayuhan.

Program kayuhan tersebut melibatkan kira-kira 100 orang peserta daripada Persatuan Berbasikal Sarawak yang mengiringi baginda dalam kayuhan sejauh 20 kilometer. Program kayuhan berkenaan bermula dari Pustaka Negeri Sarawak dan berakhir di Pejabat DBP Cawangan Sarawak.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan para peserta singgah di Masjid Al-Ghazali sebelum meneruskan kayuhan ke Masjid Al-Abyad, Matang Jaya.

Menerusi program tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan para peserta singgah di Masjid Al-Ghazali sebelum meneruskan kayuhan ke Masjid Al-Abyad, Matang Jaya melalui Kampung Temenggung Haji Gobil, Kampung Semerah Padi, Matang Jaya, Kampung Tupong dan Kampung Lintang.

Program yang dikelolakan oleh DBP Cawangan Sarawak itu mendapat kerjasama daripada Pustaka Negeri Sarawak, Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak, Kelab Berbasikal Matang Jaya dan pelbagai agensi peringkat persekutuan serta negeri Sarawak.

Objektif program tersebut adalah untuk mempromosikan peranan, fungsi serta kepentingan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai satu daripada elemen teras pembinaan tamadun bangsa dan negara bangsa Malaysia selain menjadi wadah untuk menyebarluaskan dan menyemarakkan bahasa dan sastera serta meningkatkan kepentingan bahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pelibatan kepelbagaian pihak dalam program ini mencerminkan keprihatinan masyarakat dalam memastikan penggunaan bahasa kebangsaan serta pengukuhan sastera mampu dimartabatkan dalam pelbagai bidang di negeri ini.

Sementara itu, DBP Cawangan Sarawak ditubuhkan sejak Januari 1977. Penubuhan DBP Cawangan Sarawak bertujuan untuk mengambil alih Biro Kesusasteraan Borneo yang telah ditubuhkan pada tahun 1959. Dengan pengambilalihan fungsi Biro Kesusasteraan Borneo ini, bermakna DBP Cawangan Sarawak merupakan agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal pembinaan, pengembangan dan pemartabatan bahasa dan sastera di Sarawak, di samping tugas yang amat penting untuk menyokong perkembangan bahasa dan sastera, iaitu penerbitan dan pemasaran buku terbitan DBP.

Sejak penubuhan itu, DBP Cawangan Sarawak menjadi pusat serta tumpuan para peminat, pengkaji dan khalayak bahasa dan sastera di Bumi Kenyalang. Pejabat cawangan ini menjalankan tugas pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera serta menjalankan tugas penerbitan dan pemasaran buku. Sehubungan dengan itu, DBP Cawangan Sarawak perlu terus bertindak dan berperanan sebagai sebuah organisasi yang mendukung usaha-usaha untuk memasyarakatkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.