6 September 2022, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan telah mengadakan Program Mesra dan Apresiasi Bahasa dan Sastera bersempena dengan Kembara Ilmu Inap Desa Pelajar Jurusan Bahasa Melayu, Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) pada pukul 10.00 pagi tadi di Stor Teater DBP. Program ini diadakan bagi mempromosikan bahasa dan sastera ke peringkat antarabangsa, mengetengahkan produk dan perkhidmatan DBP dan membina jaringan kerjasama DBP dengan organisasi di luar negara.

Dalam ucapan alu-aluan oleh YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi (Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), beliau menyatakan bahawa DBP merupakan tempat berlangsungnya pelbagai acara dan kegiatan kebahasaan dan sastera dalam usaha menyemarakkan perjuangan bahasa Melayu di Malaysia. Sehubungan dengan itu, kedatangan para pelajar TUFS ke DBP sangat dialu-alukan.

Program ini merupakan inisiatif dan semangat “samurai” YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dalam usaha pengembangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa seperti di Tokyo, China dan sebagainya. Hal ini berkait rapat dengan satu daripada visi DBP, iaitu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia.

Tambah beliau, para pelajar seterusnya akan dibawa melawat ke beberapa bahagian di DBP untuk mempelajari dan menimba sedikit pengalaman berkaitan dengan ilmu penerbitan dan pengembangan bahasa dan sastera.

Mashaki Haruka selaku wakil pelajar TUFS.

Sementara itu, menurut Mashaki Haruka atau nama timangan Melayunya, Haliza, selaku wakil pelajar dari TUFS sempat berkongsi pandangannya di DBP.

Saya dan kawan-kawan sangat berterima kasih kepada DBP. Saya yakin banyak ilmu pengetahuan berkaitan dengan bahasa Melayu yang akan kami peroleh sepanjang berada di DBP. Pengalaman ini amat berharga buat kami kerana dapat menambahkan lagi minat kami untuk berusaha  mempelajari bahasa Melayu. Kami juga banyak mempelajari bahasa Melayu melalui bahan bacaan hasil tulisan YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan semasa berada di Jepun.

Itchika Hiramatsu ketika mendeklamasikan puisi.

Dalam majlis tersebut, beberapa orang pelajar TUFS turut membuat persembahan masing-masing. Itchika Hiramatsu atau nama timangan Melayunya, Hidayah dan Mashaki Haruka (Haliza) telah mendeklamasikan puisi dalam bahasa Melayu yang sangat menarik.

Kato Wakana ketika menyampaikan pidato.

Kato Wakana atau nama timangan Melayunya, Wan Ana pula menyampaikan pidatonya yang berkaitan dengan kelebihan belajar bahasa asing. Menurut beliau, antara kelebihan mempelajari bahasa asing ialah seseorang itu dapat memahami budaya dan masyarakat asing terutama dalam urusan perniagaan dan juga dapat mengelak berlakunya salah faham yang seterusnya dapat mengeratkan perhubungan.

Tambahnya lagi, seseorang itu akan lebih seronok untuk berkawan dengan bangsa asing kerana akan lebih mudah untuk berkomunikasi, mendapat lebih banyak ilmu dan maklumat terbaharu dalam bahasa asing, dapat meluaskan fikiran dan pandangan serta dapat mengaktifkan otak untuk mengurangkan risiko penyakit nyanyuk.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika berkongsi ilmu dan turut mendeklamasikan puisi.

Mengakhiri program ini ialah penyampaian wacana ilmu dan bacaan puisi oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, yang juga selaku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam ceramahnya yang berjudul “Kembara Bahasa: Dari Pentas Negara ke Pentas Antarabangsa”, beliau menerangkan bahawa hasil kajian beberapa orang sarjana dunia telah mengemukakan teori berkenaan dengan bahasa Melayu yang sudah wujud di Pentas Sunda atau Kepulauan Melayu sejak 15 000 tahun silam. Tambahnya lagi, orang Melayu merupakan penduduk asal Pentas Sunda.

Tambahnya lagi, bahasa Melayu penting dalam pembinaan negara. Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) menjadi satu daripada skema perancangan pembinaan negara. Namun begitu, agak menyedihkan kerana negara masih lagi mengalami “Gerhana bahasa Melayu” disebabkan  bahasa Melayu masih belum digunakan sepenuhnya dalam kalangan masyarakat termasuklah di pentadbiran negara.

Masih ada dalam kalangan masyarakat yang keliru dengan sistem ejaan bahasa Melayu, tatabahasa bahasa Melayu dan sebagainya. Oleh itu, DBP berusaha untuk meluaskan penggunaan bahasa Melayu baik di dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa. Pada peringkat antarabangsa, DBP berperanan penting sebagai Urus Setia Bahasa Melayu.

Program yang berlangsung selama dua jam setengah itu diakhiri dengan deklamasi sajak oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang berjudul “Menganyam Tikar Peradaban”. Yang turut hadir ialah Encik Sharrul Rizal Hashim (Ketua Bahagian Komunikasi Korporat) dan Puan Khalidah Mohammad selaku Pensyarah Pelawat yang mengiringi pelajar TUFS, pegawai DBP dan para pelajar TUFS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.