Oleh Kho Thong Eng
15 September 2022, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata tunggal ganda separa ialah kata tunggal yang terdiri daripada kata dasar dengan gandaan di hadapan. Kata ganda ini meliputi sesetengah kata nama, kata kerja dan kata tugas tugas. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata nama (KN)

siku – sesiku (KN)

pijat   – pepijat (KN)

tikus – tetikus (KN)

 

Kata kerja (KK)

sekat – sesekat (KN)

sentuh – sesentuh (KN)

sondol – sesondol (KN)

 

Kata tugas (KT)

sudah – sesudah (KT)

sungguh – sesungguhnya (KT)

baru – bebaru (KN)

 

Gandaan itu merupakan suku pertama kata dasar yang bunyi vokalnya dikekalkan sebagai bunyi vokal e pepet atau dilemahkan bunyi vokalnya untuk menjadi bunyi vokal e pepet. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Dasar Gandaan Vokal Asal Vokal Gandaan Kata Ganda Separa
gelang ge e pepet e pepet gegelang
tebeng te e taling tetebeng
jari je a jejari
pijat pe i pepijat
pohon pe o pepohon
kuda ke u kekuda

Kata nama tunggal mendukung makna dan fungsi yang pelbagai. Dalam bahasa Melayu, hanya terdapat dua kata nama tunggal yang mendukung maksud jamak sesudah kata dasar digandakan secara separa, iaitu kata daun dan pohon.  Sila lihat contoh yang berikut:

dedaun:   pelbagai jenis daun, seperti daun

pepohon: pohon-pohon

Kata “dedaun” boleh ditambah imbuhan untuk menjadi “dedaunan” yang bererti “daun-daunan”, iaitu pelbagai jenis daun.

Dengan proses penggandaan separa, kebanyakan kata nama tunggal yang merupakan kata umum untuk kegunaan biasa berubah untuk menjadi kata istilah yang digunakan dalam bidang khusus. Selain itu, penggandaan tersebut mungkin melibatkan perubahan dari segi golongan kata. Sila lihat contoh yang berikut:

 

1a.  tingkat: jendela (KN)

1b.  tetingkat: kawasan bersegi empat pada tabir paparan komputer

(KN)

 

2a.  sentuh: kena sedikit (KK), sejenis tumbuhan (KN)

2b.  sesentuh: alat yang menghubungkan sesuatu pengalir elektrik

dengan yang lain (KN)

 

3a.  sondol: menolak atau menangkis dengan kepala (KK)

3b.  sesondol : bahagian yang menonjol keluar dari roda atau aci untuk

mengubah pergerakan (KN)

 

4a.  baru belum lama (KT), baru, baru-baru (KN)

4b.  bebaru sejenis tumbuhan (KN)

 

Kata ganda tunggal mungkin bervariasi dengan kata ganda semu dari segi maknanya. Sila lihat contoh yang berikut:

jejamu = jamu-jamu (tumbuhan)

kekuda = kuda-kuda (alat)

kekura = kura-kura (amfibia)

sesibur = sibur-sibur (serangga)

sesibar = sibar-sibar (serangga))

bebaru = baru-baru (tumbuhan)

 

Ada kalanya kata tunggal dengan kata tunggal ganda separa mendukung maksud yang berbeza, dan ada kalanya mempunyai kaitan makna. Sila lihat contoh yang berikut:

Makna Berbeza

  1. “jari”dengan “jejari”

1a.  jari (Kamus Dewan Edisi 4 (KDE4), 2016: 611)

i. hujung tangan atau kaki yang beruas

ii. sukatan panjang

iii.  benda yang menyerupai jari

iv.  sejenis tumbuhan

v.  sejenis binatang laut

 

1b.  jejari  (KDE4, 2016: 617)

i. bilah besi yang menghubungkan pusat dengan lingkaran

ii. garis lurus dari pusat ke keliling bulatan

 

2.   “tangga”dengan “tetangga”

2a.  tangga (KDE4, 2016:1598)

i. tempat tumpuan kaki yang bertingkat-tingkat

ii. alat tumpuan memanjat

iii. peringkat

 

2b.  tetangga (KDE4, 2016: 1676)

i. jiran

 

Ada Kaitan Makna

“tamu”dengan “tetamu”

1a. tamu (KDE4, 2016: 1591)

i. orang jemputan

ii. pelanggan

iii. tokoh yang ditempatkan di sesebuah institusi untuk menghasilkan karyanya

iv. (Brunei) pasar sehari

 

1b. tetamu  (KDE4, 2016: 1676)

i. tamu, orang jemputan

 

2. “tampan”dengan “tetampan”

2a. tampan  (KDE4, 2016: 1676)

i. elok

ii. layak

iii. perawakan

iv. roman (muka)

v. padan

vi. corak

vii. rupanya

viii. menahan

ix. talam, tetampan, penampan

 

2b. tetampan (KDE4, 2016: 1676)

i. talam, tampan, penampan

ii. sejenis selampai yang disebaikan pada bahu

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.