21 September 2022, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi Perhimpunan ahli linguistik di Pusat Penyelidikan Langkawi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Tuanku Abdul Halim Mua’zam Shah, Langkawi, Kedah pada 21 September 2022 dapat membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memartabatkan bahasa Melayu menerusi penyelidikan yang telah dilakukan. Perhimpunan yang dianjurkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), DBP dan UKM ini adalah bersempena dengan Seminar Linguistik Kebangsaan (SLiK) 2022.

YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, ketika menyampaikan ucapan perasmiannya menyatakan bahawa bidang bahasa dan ilmu linguistik tentunya tidak terkecuali daripada menerima kesan perubahan akibat pandemik COVID-19. Pihak perancang bahasa, khususnya perancang bahasa Melayu perlu bersiap siaga dengan segala prasarana dalam menghadapi cabaran untuk pemerkasaan bahasa Melayu dalam kebiasaan baharu.

YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP ini juga berharap agar pertemuan ilmiah dengan perkongsian pelbagai dapatan kajian yang diperoleh ini mampu melonjakkan kewibawaan bahasa Melayu dalam menyalurkan pelbagai ilmu menerusi pelbagai ranah. Resolusi yang diperoleh pada akhir seminar pula diharap dapat membantu DBP untuk membangunkan bahasa Melayu dengan lebih baik.

YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, selaku Presiden PLM menyerahkan cenderahati kepada YBrs. Dr. Hazami Jahari.

YBrs. Dr. Mardian Shah Omar, selaku Pengarah Bersama SLiK 2022 ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pula berkata bahawa matlamat utama penganjuran SLiK 2022 ini adalah untuk menghimpunkan masyarakat linguistik di Malaysia dalam satu pertemuan pada peringkat nasional bagi membolehkan mereka bertukar-tukar fikiran dan berkongsi wawasan ilmiah tentang penyelidikan terkini masing-masing. Dengan tema “Bahasa Melayu dalam Era Norma Baharu”, Dr. Mardian Shah Omar berharap agar SLiK 2022 ini berjaya mengumpulkan kertas kerja dan hasil penyelidikan yang meneliti kesan pandemik COVID-19 terhadap bahasa Melayu dan penggunanya dalam menghadapi era kebiasaan baharu.

Menurut Dr. Mardian Shah Omar lagi, kesan pandemik COVID-19 ini mungkin terlihat dari pelbagai aspek kehidupan pengguna bahasa dengan berubahnya bentuk pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi serta perubahan ekonomi dalam kehidupan masyarakat di negara ini. Oleh sebab itu, menerusi SLiK 2022, penganjur berharap agar banyak kertas penyelidikan yang dapat menghimpunkan maklumat impak kebiasaan baharu ini terhadap kehidupan manusia sejagat.

YBrs. Dr. Mardian Shah Omar ketik menyampaikan ucapan alu-aluan.

Perhimpunan selama dua hari dalam SLiK 2022 ini berjaya menghimpunkan sebanyak 65 kertas kerja, termasuklah dua kertas ucap utama dan tiga kertas sidang pleno. Perbincangan ahli linguistik dalam SLiK 2022 meliputi pelbagai bidang, termasuklah fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, pragmatik dan lain-lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.