21 September 2022, 22:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

LANGKAWI – Bersempena dengan Seminar Linguistik Kebangsaan (SLiK) 2022 yang diadakan selama dua hari bermula pada 21 September 2022, beberapa orang pembentang berjaya membentangkan hasil dapatan masing-masing untuk menyelesaikan isu dalam pengajaran bahasa Melayu. Pembentang lain pula banyak memfokuskan isu kebahasaan yang lebih teknikal dalam pelbagai bidang linguistik, seperti fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, pragmatik dan lain-lain.

Dr. Azizul Ismail, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membentangkan dapatan kajiannya tentang kebolehterimaan pengajaran kursus bahasa Melayu secara dalam talian. Seperti yang dimaklumi oleh semua pihak, pandemik COVID-19 membawa norma baharu dari aspek medium pengajaran, termasuklah kursus bahasa Melayu, iaitu secara dalam talian.

Selepas berbulan-bulan melalui fasa pembelajaran secara dalam talian ini, Dr. Azizul Ismail mendapati bahawa banyak responden dalam kajian yang dilakukannya mulai selesa dengan kaedah sebegini. Walau bagaimanapun, peratusan responden yang menginginkan pembelajaran secara bersemuka masih melebihi peratusan responden yang menginginkan pembelajaran secara dalam talian. Oleh sebab itu, Dr. Azizul Ismail mengemukakan kaedah hibrid, iaitu gabungan secara bersemuka dan secara dalam talian sebagai kaedah terbaik untuk pengajaran kursus bahasa Melayu.

Dr. Azizul mengemukakan persoalan tentang kaedah penyampaian kursus bahasa Melayu.

Dr. Noorul Khairien Abdul Malek dari Institut Pendidikan Guru pula mengemukakan permasalahan pelajar yang tidak mampu menguasai istilah kejuruteraan dalam bahasa Melayu.

Apabila pelajar membaca buku teks, mereka tidak memahami istilah tersebut kerana kebanyakan istilah tersebut dibentuk secara terjemahan langsung menerusi penyesuaian bunyi dalam bahasa Melayu. Maka itu, pelajar sukar menggambarkan istilah yang dibaca.

Keadaan ini berbeza daripada negara maju di seluruh dunia yang menggunakan istilah dalam bahasa ibunda yang membolehkan masyarakatnya mudah memahami setiap istilah yang dicipta. Dalam kajian yang dilakukannya, pembentang ini menyarankan penggunaan leksikal daripada bahasa ibunda yang mampu meningkatkan tahap visualisasi pelajar, seterusnya memudahkan pelajar menguasai istilah dalam bidang kejuruteraan.

Dr. Noorul membincangkan permasalahan penguasaan istilah kejuruteraan dalam bahasa Melayu.

Bagi Sofia Hani Izyan Mohd Sopian dari Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa, Universiti Putra Malaysia, isu pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa bukanlah suatu perkara asing di universiti. Tempoh pembelajaran yang singkat antara punca yang menyebabkan pelajar antarabangsa sukar mempelajari, apatah lagi menguasai bahasa Melayu. Proses pembelajaran pula banyak bergantung pada guru bahasa Melayu semata-mata. Bagi mengatasinya, pemakalah ini memperkenalkan kaedah suku kata berwarna yang dapat membantu pelajar antarabangsa membunyikan suku kata dengan betul.

Puan Sofia Hani mengetengahkan isu pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa.

Durgadevi Kupusamy dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pula mendedahkan masalah kemahiran bertutur yang rendah dalam pengajaran bahasa Melayu yang dihadapi oleh murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Masalah ini berada pada tahap yang agak membimbangkan.

Murid lebih cenderung untuk membuat terjemahan langsung daripada bahasa ibunda mereka apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Hal ini menyebabkan murid tidak mampu menyebut satu-satu perkataan dengan betul. Oleh sebab itu, pembentang ini mengemukakan penggunaan aplikasi tertentu yang boleh dimuat turun secara percuma yang dapat diubah suai berdasarkan konsep pengajaran dalam bahasa Melayu.

Masalah kemahiran bertutur bahasa Melayu dalam kalangan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil menjadi fokus Puan Durgadevi Kupusamy.

Menerusi SLiK 2022 ini, penganjur berharap agar setiap hasil penyelidikan yang dibentangkan ini tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya dapat diteruskan dengan penulisan yang lebih mendalam dari aspek analisis supaya dapat dihantar kepada mana-mana jurnal yang berkaitan, seperti Jurnal Linguistik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.