22 September 2022, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Saranan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu dilihat mampu mengembalikan kedudukan dan martabat bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan. Perihal mengantarabangsakan bahasa Melayu telah pun bermula sejak dahulu yang menyaksikan banyak jurusan Pengajian Bahasa Melayu dibuka di universiti dan kolej luar negara. Bagi mengupas lanjut berkaitan dengan isu ini, BERNAMA Radio telah menjemput Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam slot Dalam Radar, kelolaan penyampainya, Shuhadah Armawan.

Menurut  Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dasar meningkatkan hubungan antarabangsa melalui kebudayaan telah digiatkan oleh kerajaan apabila Menteri Luar Negeri pada 7 Disember 2021 telah mengumumkan untuk mengadakan Program Diplomasi Kebudayaan yang merangkumi perkembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu pada peringkat antarabangsa melalui kedutaan Malaysia di luar negara.

Pihak DBP sebenarnya telah meningkatkan usaha untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu sejak tahun 1980-an lagi dengan menghantar tenaga pengajar di beberapa buah negara asing termasuklah di China, selain mengadakan pelbagai program dan promosi bahasa serta sastera di luar negara termasuklah di Eropah, Asia Timur dan sebagainya.

Tambah beliau, pengumuman YAB Perdana Menteri untuk mengembangkan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa oleh para pemimpin dan penjawat awam di negara ini merupakan antara langkah terbaik dalam usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, sudah tentu terdapat pelbagai cabaran dalam usaha dan hala tuju pemantapan bahasa Melayu pada abad ke-21 ini. Beliau berpendapat, cabaran yang terbesar ialah penjajahan budaya melalui media kerana dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan ini menyebabkan pelbagai kebudayaan luar mudah meresap dalam masyarakat walaupun sebenarnya tidak secocok dengan tradisi masyarakat negara ini. Atas dasar itu jugalah, DBP telah pun menerbitkan 70 peratus bahan bahasa dan sastera dalam pelbagai bidang ilmu melalui buku, kamus, majalah dan sebagainya secara elektronik dan digital.

Tambahnya, usaha ini dilaksanakan agar ilmu bahasa Melayu dalam pelbagai bidang dapat disebar luas kepada masyarakat dunia secara lebih berkesan. Contohnya, JendelaDBP mampu menyiarkan sesuatu makalah dengan cepat dan mutakhir supaya masyarakat dunia boleh mengikuti segala perkembangan yang berlaku di negara ini.

YAB Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sewaktu bersiaran secara langsung dalam slot Dalam Radar dan penyampainya, Shuhadah Armawan.

Cabaran kedua ialah sistem pendidikan. Sistem pendidikan negara ini perlu mencontohi negara Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Perancis yang mempunyai perisai dan nilai-nilai kenegaraan negara.

Banyak produk yang mesti dihasilkan bagi menampung ilmu dalam bahasa Melayu yang tersimpan dalam manuskrip Melayu lama dengan menggunakan media elektronik. Kerajaan sewajarnya memberikan dana yang cukup bagi melantik pakar yang dapat mengkaji manuskrip-manuskrip tersebut dan seterusnya disampaikan dalam bahasa moden serta dipadukan dengan ilmu semasa.

Selain itu, penyampaian pelbagai ilmu dalam bahasa Melayu perlu dimanfaatkan dengan pelbagai aplikasi. Di China contohnya, penduduk di kawasan pedalaman mampu berinteraksi dan memahami bahasa asing dengan menggunakan kamus bersuara.

Pengantarabangsaan bahasa Melayu sudah tentu mempunyai cabarannya yang tersendiri. Menurut beliau, Malaysia perlu mempunyai jurubahasa yang cekap agar tidak berlakunya salah faham semasa berkomunikasi yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik negara. Para pemimpin dan ahli masyarakat juga sewajarnya menyahut saranan dan hasrat YAB Perdana Menteri yang mahu melihat penggunaan bahasa Melayu berkembang di peringkat antarabangsa.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga sempat berkongsi dengan para pendengar BERNAMA Radio berkaitan dengan penganjuran Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu. Kongres yang bertemakan “Memperkasakan Bahasa dan Tamadun Alam Melayu” bakal berlangsung selama dua hari, iaitu pada 28 September dan 29 September 2022 di Bilik Senat dan Bilik Majlis, Bangunan Canselori, UKM, yang merupakan lanjutan daripada penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada bulan Mei yang lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.