Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur –Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta seluruh warga kerja DBP yang memegang amanah menjaga maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas ketegasan beliau mengangkat bahasa negara di pentas dunia, lebih-lebih lagi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu forum tertinggi dunia.
Jelas Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan:
Semua warganegara Malaysia mesti memberikan penghargaan yang sama kepada YAB Perdana Menteri. Inilah kali pertama sejak merdeka dan sejak negara kita menjadi anggota PBB, 65 tahun lalu, Perdana Menteri negara kita mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa negara demikian tingginya.
Jelas beliau lagi, media kerajaan seperti RTM dan media lain di negara ini patut menyiarkan ucapan Perdana Menteri kita di PBB itu seluas-luasnya sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada langkah mulia dan terpuji YAB Perdana Menteri. Satu usaha dengan menyediakan ruangan khas perlu diadakan oleh semua media di negara ini untuk membolehkan seluruh lapisan rakyat menyampaikan pernyataan tahniah dan penghargaan kepada PM sebagai adiwira negara.
“Semua pemimpin lain di negara ini wajib menyusuli langkah mulia Perdana Menteri itu dengan berucap dalam bahasa negara di semua majlis dan forum antarabangsa. Jangan ada yang bersikap dingin dan tidak menyertai Perdana Menteri (apatah lagi bercanggah) dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Semua penjawat awam, pemimpin institusi pengajian ilmu, pemimpin korporat dan semua pihak lain juga mesti menyokong pendirian dan langkah terpuji Perdana Menteri itu.” Demikian harapan Pengerusi dan ahli Lembaga Pengelola DBP dalam memastikan bahasa Melayu terus dijulang ke persada antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran turut merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana menjulang bahasa Melayu ke persada antarabangsa.
Ucapan dalam bahasa Melayu tersebut juga membuktikan bahawa bangsa Malaysia mempunyai citra, tamadun dan susur galur ilmu yang tersendiri. Hal ini juga secara tidak langsung menimbulkan rasa megah dan percaya diri kepada bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia sememangnya merupakan bangsa yang berkeupayaan dan terbukti telah membina tamadun tinggi sejak dahulu.
Beliau juga menyatakan bahawa semua pihak harus menjadikan YAB Perdana Menteri sebagai teladan terbaik dalam usaha memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu. Keberanian YAB Perdana Menteri bagaikan langkah yang menggerakkan jiwa rakyat untuk terus berusaha meletakkan bahasa Melayu selayak-layaknya di peringkat antarabangsa.
Keberanian YAB Perdana Menteri berucap dalam bahasa Melayu itu turut mendapat pujian daripada tokoh bahasa Melayu, iaitu YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim.
Terima kasih dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri kerana membawa bahasa Melayu ke pentas antarabangsa, iaitu ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sudah lama kita merdeka dan mempunyai bahasa kebangsaan sendiri tetapi tidak banyak orang yang membawanya ke tahap yang lebih tinggi. Jadi, saya berasa amat gembira dan bangga dengan tindakan YAB Perdana Menteri. Semoga melalui usaha ini akan ada lebih banyak orang lain yang bersedia dan berani untuk bercakap dalam bahasa Melayu di arena antarabangsa. Rakyat Malaysia sungguh berbangga dengan YAB Perdana Menteri pada kali ini yang tidak henti-henti memperjuangkan bahasa Melayu, bukan sahaja dalam konteks negara tetapi juga membawanya ke taraf antarabangsa.
Hal tersebut dipersetujui oleh YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, iaitu Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut menyatakan penghargaannya.
Satu detik yang paling bersejarah setakat ini bagi perjuangan bahasa Melayu untuk dijulangkan pada tempat yang sewajarnya sebagai bahasa negara Malaysia. Penggunaannya buat julung-julung kalinya di arena dunia sepenting Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bukan sahaja berjaya meletakkannya di pentas dunia, bahkan lebih penting daripada itu ialah ranah penggunaannya pada tahap kuaternari, iaitu ikut melakar dasar urus tadbir dunia, adalah sehebat-hebat maqam martabatnya.