25 September 2022, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh Tanpa bahasa, sesuatu perkara atau maklumat tidak dapat disampaikan. Bahasa merupakan ayat yang membantu menterjemahkan idea abstrak kepada orang lain. Tanpa bahasa menerusi pertuturan, seseorang itu perlu melakukan pergerakan dalam bahasa isyarat agar mesej difahami orang lain.

Sehubungan dengan itu, menurut Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, iaitu Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Nordin Kardi, ahli antropologi tidak mementingkan bunyi sesuatu perkataan atau ayat yang disebut. Hal ini dinyatakan beliau sewaktu menyampaikan Ucap Utama Dialog Utara Ke-16 (DUTA16) di sebuah hotel terkemuka di Ipoh pada 24 September 2022.

Tanpa mengira disebut secara baku atau biasa, yang penting bagi mereka ialah pesanan dapat disampaikan dengan jelas.

Beliau juga tidak menafikan bahawa timbul juga pengertian bahasa yang berbeza daripada tiga orang yang ditemui dalam memberikan penjelasan mengenai sesuatu perkara.

Dengan tema “Kelestarian Alam dalam Bahasa, Sastera dan Budaya, DUTA16 bertujuan untuk meningkatkan lagi kesinambungan hubungan melalui maklumat, bahasa, sastera dan budaya serumpun dan memupuk serta memelihara persefahaman antara penulis, sasterawan dan budayawan di wilayah utara Malaysia, selatan Thailand, Sumatera Utara, dan Aceh, Indonesia dalam bidang bahasa, sastera dan budaya.

Mengenai “kelestarian” atau “lestari”, Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Nordin menarik perhatian peserta DUTA16 apabila menimbulkan pertanyaan tentang istilah yang sama dalam bahasa Inggeris.

Saya fikir, terjemahan itu terus daripada perkataan “sustainable”. Jika benar sedemikian, lestari merupakan istilah yang diambil dari luar. Oleh itu, orang Melayu perlu segera mencari istilah lain yang asli.

Menganjurkan kempen seperti membina kelestarian ini, tambah beliau memang usaha yang baik. Walau bagaimanapun, akan ada pihak lain pula yang menunggu untuk mengaut keuntungan dengan menjadi pengeluar bahan-bahan keperluan yang berkaitan.

“Terlambat mencari keaslian akan membuatkan kita terus terjajah sedangkan negara telah mencapai kemerdekaan lebih enam dekad,” tambah beliau yang bersetuju dengan hakikat bahawa mesej karya sastera memang disampaikan menerusi bahasa.

Majlis Perasmian DUTA16 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak, Encik Ahmad Saidi Mohamad Daud pada 23 September 2022 di sebuah hotel terkemuka dekat sini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jering, mewakili Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saraani Mohamad.

Yang turut hadir dan menyampaikan ucapan ialah Ketua Satu GAPENA, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, yang mewakili Ketua Pengarah DBP, iaitu Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Ketua Satu GAPENA, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan.

Idea DUTA dicetuskan oleh GAPENA pada tahun 1982 untuk mengeratkan ikatan persuratan di daerah berjiran di wilayah utara Malaysia (Perak Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), Selatan Thailand (Yala, Narathiwat dan Pattani), dan Utara Sumatera (Sumatera Utara dan Aceh) yang mempunyai kesamaan dari segi bahasa, budaya dan sejarahnya tersendiri.

DUTA bermula di Pulau Pinang (1982), diikuti oleh Medan, Indonesia (1984), Arau, Perlis (1986), Medan, Indonesia (1989), Alor Setar, Kedah (1991), Banda Aceh, Indonesia (1995), Ipoh, Perak (1997), Yala, Selatan Thailand (1999), Medan-Padang Sidempuan, Indonesia (2001), Yala, Selatan Thailand (2003), Lhokseumawe, Aceh (2005), Pulau Pinang (2007), Medan, Indonesia (2013), Yala, selatan Thailand (2015), dan Banda Aceh, Indonesia (2016).

Selepas berucap, Saidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering turut melancarkan dua buah buku, iaitu antologi puisi DUTA16 yang berjudul Sifat Rimba, dan kertas kerja Kelestarian Alam dalam Bahasa dan Sastera.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.