Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Kolokium Perkamusan Melayu: Kamus Dewan Perdana Khazanah Unggul Negara pada 27 September 2022 di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP, Kuala Lumpur. Kolokium yang berlangsung selama separuh hari ini diadakan untuk memperkatakan pelbagai aspek dalam kamus terbaharu DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana (KDP) dari sudut pandang sarjana linguistik.
Dalam kolokium tersebut, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP ketika mewakili Ketua Pengarah DBP menyatakan bahawa walaupun tempoh penerbitan kamus ini mengambil masa selama tiga dekad, kamus bahasa Melayu ini dilengkapi dengan pelbagai maklumat dan penyusunannya menerapkan kaedah ilmu leksikografi terkini.
Kamus yang menyimpan khazanah kekayaan kosa kata bahasa Melayu ini juga merakamkan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dalam tempoh lebih daripada satu abad dengan jumlah entri melebihi 120 ribu kata akar, termasuklah kata terbitannya.
Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ahli Lembaga Pengelola DBP yang diundang menjadi perasmi bagi kolokium ini sungguh berbangga dengan penerbitan KDP kerana DBP berjaya menerbitkan sebuah lagi kamus umum berbahasa Melayu yang dapat mencerminkan perkembangan kosa kata bahasa Melayu selari dengan perkembangan pelbagai bidang ilmu.
Penyusunan kamus ini juga dapat memenuhi aspirasi negara dalam usaha pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu serta penerbitan, sejajar dengan akta DBP serta dapat melambangkan kedudukan tertinggi bahasa Melayu dalam perlembagaan persekutuan.
Bagi pembentang pertama, Profesor Antarabangsa Tersohor, Profesor Emeritus Dr. James T. Collins, KDP ialah kamus terbaik dalam tempoh 500 tahun yang mampu mengatasi semua kamus yang diterbitkan sebelumnya. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian terhadap kandungan KDP ini, terutamanya dari segi prosedur operasi standard kemasukan etimologi.
Terdapat kata yang tiada maklumat etimologinya. Selain itu, terdapat kata yang kategori katanya sama ada kata warisan atau kata pinjaman yang bertukar dan sumber kata asal yang tidak tepat.
Pembentang seterusnya, iaitu Dr. Hasmidar Hassan menimbulkan isu tatabahasa yang terdapat dalam KDP. Tatabahasa yang terdapat dalam KDP sepatutnya menggunakan buku panduan tatabahasa yang telah mantap di Malaysia yang menjadi rujukan bagi semua guru dan pelajar di Malaysia. Namun begitu, KDP yang menggunakan data korpus sebagai asas penghasilannya ini memberikan ayat contoh yang menunjukkan penggunaan tatabahasa yang bercanggah daripada rujukan tatabahasa utama di Malaysia, iaitu Tatabahasa Dewan. Hal ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan pendidik bahasa di sekolah.
Profesor Madya Dr. Hishamudin Isam yang sangat berminat menjadikan media sosial sebagai sumber data kajiannya pula menimbulkan isu perubahan penggunaan kata tertentu yang sepatutnya berubah seiring dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup masyarakat.
Kepekaan terhadap isu perubahan dan peluasan makna yang seiring dengan zaman moden perlu diberikan perhatian serius dalam KDP. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa entri dalam KDP yang telah ditambah baik dari segi pecahan maknanya yang merupakan suatu perkara yang harus dipuji.
Pembentang keempat, iaitu Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz memperkatakan sistem ejaan Jawi yang terdapat dalam KDP. Berbanding dengan Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4), KDP mengalami pertambahan huruf Jawi, iaitu ta marbutah yang menjadikan keseluruhan huruf Jawi yang terdapat dalam KDP ini berjumlah 37 huruf. Pembentang ini turut membangkitkan isu penggunaan rujukan Jawi yang masih menggunakan pedoman lama dalam penghasilan KDP ini.
Bagi Datin Dr. Hasnah Mohamad yang merupakan pemakalah terakhir pula membincangkan kebergunaan KDP dari aspek penggunanya. Menurut pemakalah ini, pengguna biasanya merujuk kamus untuk mendapatkan makna satu-satu kata, bukannya untuk mempelajari bahasa, apatah lagi tatabahasa.
Bagi gandingan pemakalah ini yang turut membincangkan isu yang sama, iaitu Dr. Junaini Kasdan, walaupun pengguna kamus lebih memfokuskan makna yang terdapat dalam kamus, masih terdapat pengguna yang menggunakan kamus untuk mendapatkan etimologi, kelas kata dan ejaan. Bagi golongan yang berusia 60 tahun ke atas pula, penggunaan kamus tidak terhad kepada tujuan umum sahaja tetapi turut digunakan untuk melihat penggunaan kata tersebut menerusi ayat contoh yang diberikan.
Pada akhir sesi, penganjur turut memberikan ruang kepada peserta untuk bertanyakan soalan kepada pemakalah. Sesi soal jawab agak hangat apabila terdapat peserta yang kurang bersetuju dengan pandangan pemakalah. Majlis berakhir dengan sesi soal jawab dan sesi bergambar kenangan.